SK Menerong [TBA 5014] merupakan sebuah sekolah yang terletak di dalam daerah Hulu Terengganu. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) Luar Bandar. Proses P & P di sekolah ini berjalan pada sidang pagi sahaja. Pada waktu petang, bilik-bilik darjah digunakan untuk kelas Fardhu Ain (KAFA) bagi murid Tahun 2, 3, 4, dan 5 yang diadakan pada hari Ahad, Isnin, dan Rabu sahaja.
Talian Tel. : 09-6125625
Talian faks.: 09-6129954
Alamat email : skmenerong@gmail.com

Renungan...

Tuesday 27 March 2012

Akademik: Hulu Terengganu mampu bersaing

MOHD. Norizal Nawang (kanan) menyerahkan replika cek tajaan Utusan Malaysia kepada Haji Shafruddin Ali Husin sambil disaksikan YB Haji Mohd. Nor Othman (tengah)

HULU TERENGGANU 25 Mac 2012 : Tahap pencapaian akademik pelajar daerah pedalaman ini disasarkan mampu menyaingi, malah mengatasi daerah lain di negeri ini dalam tempoh setahun lagi.

Pegawai Pelajaran Daerah, Shafruddin Ali Husin berkata, perkembangan tahap pencapaian kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum menunjukkan daerah itu sudah berada pada landasan yang cukup baik.

''Kini persoalan seperti sumber kewangan dan kemudahan bukan lagi halangan, cuma peluang tetapi bagaimana untuk menterjemahkan segala perancangan dengan berkesan melalui usaha dan penglibatan semua pihak.

''Walaupun di kawasan hulu, kita mahu turut menjadi pendahulu," katanya kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Pelancaran Projek Hulu Terengganu Cemerlang (HUTeC) 2012 di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd. Nor Othman.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 warga pendidik, ibu bapa dan pelajar cemerlang, Mohd. Nor turut menyampaikan peruntukan khas sebanyak RM40,000 bagi menampung pembiayaan perancangan HUTeC.

Pejabat Pelajaran Daerah menggerakkan usaha terancang melalui HUTeC-2012 bagi memperkasakan pendidikan daerah pedalaman ini seiring dengan perkembangan arus perdana.

Ia melibatkan perkongsian pintar dengan pelbagai pihak turut menyasarkan kecemerlangan kokurikulum dan sahsiah diri yang merangkumi semua aspek jasmani dan rohani.

''HUTeC-2012 merupakan satu penilaian semula segala program yang telah dirancang agar ia terus menggerakkan arus perubahan bagi mencetuskan tradisi kecemerlangan dalam pendidikan di daerah ini," ujarnya.

Beliau menarik perhatian dengan kejayaan Muhammad Nabil Aiman Hasbullah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan di sini merupakan pelajar pertama di daerah ini yang mendapat gred cemerlang tertinggi dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2011.

Pelajar yang melakar sejarah merintis pencapaian cemerlang itu memperoleh 10A+ dan meletakkannya di tangga keempat terbaik peringkat negeri.

''Lebih membanggakan, kejayaannya turut diikuti oleh 15 pelajar Hulu Terengganu yang mendapat semua A berbanding dengan hanya empat pelajar pada tahun sebelumnya," ujarnya.

Pada majlis itu juga, Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) melalui Ketua Pegawai Eksekutif KIST Kampus Terengganu, Mohd. Norizal Nawang menyerahkan tajaan 10,500 naskhah Utusan Malaysia kepada enam sekolah menengah bagi memanfaatkan sisipan Akhbar Dalam Pendidikan (ADaP) sebagai bahan pengajaran.

Naskhah itu akan diedarkan pada setiap hari persekolahan sepanjang tahun ini kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Intan, SMK Ajil, SMK Bukit Diman, SMK Imtiaz, SMK Jenagor dan SMA Mahmudiah.

Sumber :

Utusan Malaysia Online

26 Mac 2012

http://www.utusan.com.my/

No comments:

Warga SK Menerong...

Warga SK Menerong...

www.satisfaction.com