SK Menerong [TBA 5014] merupakan sebuah sekolah yang terletak di dalam daerah Hulu Terengganu. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) Luar Bandar. Proses P & P di sekolah ini berjalan pada sidang pagi sahaja. Pada waktu petang, bilik-bilik darjah digunakan untuk kelas Fardhu Ain (KAFA) bagi murid Tahun 2, 3, 4, dan 5 yang diadakan pada hari Ahad, Isnin, dan Rabu sahaja.
Talian Tel. : 09-6125625
Talian faks.: 09-6129954
Alamat email : skmenerong@gmail.com

Renungan...

Saturday 31 December 2011

Selamat Menyambut Tahun Baru Masihi 2012 ...

Friday 30 December 2011

SIARAN AKHBAR: YANG BERBAHAGIA DATO’ SRI ABD GHAFAR MAHMUD SAMBUNG PERKHIDMATAN SEBAGAI KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

Yang Berbahagia Dato’ Sri Abd Ghafar Mahmud yang bersara wajib pada 7 Disember 2011, disambung perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia selama setahun lagi bermula 8 Disember 2011 hingga 7 Disember 2012 atas keperluan perkhidmatan.


Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia
9 Disember 2011

Diterbitkan Oleh: Unit Komunikasi Korporat

Friday 16 December 2011

SBPA - Sistem Baru Perkhidmatan Awam


Sila akses alamat-alamat berikut untuk mendapatkan maklumat berkaitan Sistem Baru Perkhidmatan Awam :

1. Perkhidmatan Umum - http://www.jpa.gov.my/umum/index.html
2. Perkhidmatan Guru - http://www.jpa.gov.my/guru/index.html
3. Perkhidmatan Polis [PDRM] - http://www.jpa.gov.my/pdrm/index.html

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut sila berhubung terus kepada
sbpa@jpa.gov.my

Monday 12 December 2011

Daulat Tuanku ... Keberangkatan Balik DYMM Sultan & Sultanah Terengganu

12 Disember 2011 [2.00 hingga 5.00 petang]
Selamat keberangkatan pulang DYMM Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah untuk memerintah Terengganu setelah tamat tempoh sebagai Yang Di Pertuan Agong Malaysia yang Ke- XIII. Patik semua mendoakan Tuanku terus dilimpahi rahmat Allah untuk memerintah Terengganu tercinta ... Daulat Tuanku ... Daulat Tuanku ... Daulat Tuanku

Sunday 4 December 2011

Selamat Bersara ... Yang Berbahagia Encik Razali Daud, Pengarah JPNTr


Warga SK Menerong mengucapkan selamat bersara kepada Encik Razali Daud, 58, yang telah bersara wajib pada 28 November 2011. Beliau telah berkhidmat serta berbakti selama 34 tahun dalam Sektor Pendidikan.

Friday 2 December 2011

PEMBERITAHUAN : URUSAN KENAIKAN PANGKAT TIME-BASED PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (PPP) SECARA KHAS UNTUK PENYANDANG (KUP) DI KPM

 DARI GRED DGA29 KE GRED DGA32
 DARI GRED DG41 KE GRED DG44
 DARI GRED DG44 KE GRED DG48

Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sedang giat melaksanakan urusan pemangkuan/ kenaikan pangkat PPP selaras dengan persediaan bagi pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) mulai 01 Januari 2012.

Sehubungan itu, tuan/puan adalah dipohon untuk menyemak status kenaikan pangkat masing-masing melalui Ketua Jabatan. Sekiranya tuan/puan telah memenuhi syarat iaitu:

i. Cukup tempoh perkhidmatan,
ii. Bebas daripada senarai peminjam tegar Institusi Pinjaman Pendidikan, dan
iii. Telah mengisytiharkan harta serta bebas daripada hukuman tatatertib

tetapi masih belum dinaikkan pangkat, maka tuan/puan boleh terus berurusan dengan Ketua Jabatan masing-masing bagi mengemukakan maklumat yang diperlukan untuk tindakan BPSM selewat-lewatnya pada atau sebelum 15 Disember 2011.

Thursday 10 November 2011

Majlis Pengumuman Analisis Keputusan UPSR 2011

SIARAN AKHBAR

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN

UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH

TAHUN 2011

Majlis Pengumuman Analisis Keputusan UPSR 2011 akan diadakan pada hari Khamis, 17 November 2011 pada jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya.

Pada tahun ini seramai 497,691 orang calon telah menduduki UPSR di 8,235 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama.

Lembaga Peperiksaan

Kementerian Pelajaran Malaysia

9 November 2011

Wednesday 9 November 2011

Pertandingan Mencipta Logo Inovasi

Penciptaan logo inovasi ini perlulah memenuhi objektif berikut :

 Trademark atau simbolik yang mencerminkan cetusan idea, kreativiti dan penekanan kepada inovasi di kalangan warga Malaysia.
 Melambangkan keupayaan penghasilan kreativiti dan inovasi yang berimpak tinggi.
 Memupuk kesedaran budaya kreativiti, inovasi dan pemikiran di luar kotak di kalangan warga Malaysia.

SPESIFIKASI:

 Rekaan logo hendaklah dihasilkan menggunakan kertas bersaiz A4 (ukuran 21 cm x 29.7cm) berwarna putih dan ditampalkan pada mounting board.
 Rekaan logo digalakkan menggunakan grafik komputer dan dan juga disediakan dalam bentuk softcopy menggunakan format AI (Adobe IIlustrator) dan JPEG dengan resolusi minimum 1280x960.
 Rekaan logo menggunakan TIDAK LEBIH dari lima (5) warna termasuk hitam dan putih.
 Rekaan logo hendaklah merangkumi perkataan ‘Inovasi Malaysia’ sebagai sebahagian daripada logo yang dihasilkan.
 Simbol mentol dan penggunaan pensil warna tidak digalakkan.
 Paparan logo yang dihasilkan perlulah jelas dalam semua bentuk bahan cetak dan elektronik.
 Pereka hendaklah memberi keterangan atau penjelasan (rasional) ke atas reka bentuk dan warna yang digunakan dan ditampalkan di belakang mounting board.
 Ciptaan mestilah ASLI dan tidak mengandungi unsur atau elemen yang boleh dianggap sensitif dan boleh menyinggung mana - mana pihak.

SYARAT PENYERTAAN

 Terbuka kepada semua warganegara Malaysia, individu atau berkumpulan.
 Penyertaan adalah PERCUMA.
 Boleh menghantar seberapa banyak penyertaan.
 Keputusan adalah muktamad.
 Semua penyertaan adalah menjadi hak milik MAMPU dan tidak akan dikembalikan.
 Penyertaan hendaklah dikemukakan bersama-sama dengan Nama, Alamat surat-menyurat, No.K/P, Telefon dan alamat e-mel serta cd softcopy logo.
 Pemenang-pemenang akan menerima sijil dan ganjaran wang tunai berjumlah RM30,000.
 Hanya pemenang sahaja yang akan dimaklumkan secara rasmi.

PENGHANTARAN PENYERTAAN

Semua penyertaan hendaklah dialamatkan kepada :

Urus setia Pertandingan Mencipta
Logo Inovasi
Bahagian Inspektorat dan Pengiktirafan
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU),
Jabatan Perdana Menteri
Aras 4, Blok B2
Kompleks Jabatan Perdana Menteri
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 PUTRAJAYA

Aturcara Perjumpaan Khas Pengarah bersama-sama Pengetua dan Guru Besar

Tarikh : 9 November 2011 [Rabu]
Tempat: SM Teknik Terengganu, Jalan Lapangan Terbang, Kuala Terengganu

ATURCARA:


09.00 pagi : Pendaftaran

09.30 pagi : Ketibaan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu
09.32 pagi : Nyanyian Lagu Negaraku
09.35 pagi : Bacaan Al-Quran
09.45 pagi : Ucapan Aluan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah
09.55 pagi : Ucapan dan Taklimat Pengarah Pelajaran
- MBMBI
- Tatacara Pengurusan Bantuan Persekolahan 2012 ( Pendahuluan
RM100,
Baucar Buku RM200 dan Penghapusan Yuran Persekolahan
Tahun 2012)

12.00 tgh : Sesi dialog / soaljawab
01.00 tgh : Bacaan doa
01.15 tgh : Bersurai

*Jadual ini hanya cadangan awal tertakluk pada pindaan.


Sumber Laman Blog Unit Sekolah Rendah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

Tuesday 8 November 2011

KENYATAAN AKHBAR : MENGENAI PELAKSANAAN SOFT-LANDING PPSMI

KENYATAAN AKHBAR

YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA
DAN MENTERI PELAJARAN

MENGENAI PELAKSANAAN SOFT-LANDING PPSMI

Kerajaan pada tahun 2009 telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, Bahasa Cina di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT. Manakala di sekolah menengah, Bahasa Malaysia akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matematik dan Sains.

Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009 juga telah membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan soft-landing.

Berdasarkan keputusan tersebut, Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 telah menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada tahun 2011 di mana murid Tahun 1 pada tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Sebagai langkah intervensi untuk mempercepatkan proses peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia di semua peringkat persekolahan, Kementerian juga memutuskan bermula tahun 2012, murid Tingkatan 1 akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Walaubagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan 1 bermula tahun hadapan telah menimbulkan kerisauan ibubapa kerana dibimbangi anak-anak mereka yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa secara mendadak.

Setelah mengambil kira pandangan ibu bapa, kabinet pada hari ini memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah kohort PPSMI untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, bahasa Malaysia sepenuhnya atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun hadapan.

Ini bermakna semua murid kohort PPSMI yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dibenar untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5.

Perlu diperjelaskan di sini juga, murid Tahun 3 hingga Tahun 6 2012 dibenarkan untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan ; bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa di SJKC; dan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa di SJKT seperti yang diputuskan oleh jemaah Menteri pada bulan Julai 2009.

Bagi murid yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Dengan keputusan ini, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.

Bagaimanapun, kerajaan berharap keputusan yang membenarkan murid kohort PPSMI, iaitu murid Tahun 2 hingga Tingkatan 5 tahun ini untuk meneruskan pembelajaran dalam BI sehingga tamat tingkatan 5 dapat melegakan hati ibubapa. Kerajaan yakin dengan keputusan ini pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tidak akan terjejas.

Dengan pendekatan soft-landing ini, pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua matapelajaran ini adalah pada tahun 2021.

Kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah Kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.

Dapatan kajian menunjukkan, kurang 5 peratus daripada jumlah kelas di 7,495 buah sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains. Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang 9 peratus daripada jumlah kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains. Berdasarkan dapatan ini, kebanyakan murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia.Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana yang dihasratkan.

Hasil kajian lapangan yang dijalankan oleh Kementerian dengan mengumpulkan maklumat melalui pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temubual murid-murid mendapati murid sukar memahami matapelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep matematik dan sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua matapelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan.

Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris. Di bawah dasar MBMMBI, Kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Antara inisiatif tersebut ialah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Kementerian Pelajaran juga sedang mengkaji beberapa inisatif baru untuk dilaksanakan seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan lisan dalam kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.

Kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu sains dan matematik di kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri
4 November 2011

MAKLUMAT GURU-GURU OPSYEN & BUKAN OPSYEN BAHASA INGGERIS BAGI PROGRAM MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBI) SR DAN SM NEGERI TERENGGANU

Dengan segala hormat dan sukacitanya dimaklumkan bahawa Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu sedang mengemaskinikan maklumat guru-guru opsyen dan bukan opsyen Bahasa Inggeris yang telah mengikuti Kursus MBI Tahun 2010-2011 dan guru-guru yang dijangka akan menjalani kursus yang sama pada tahun 2012.

2. Sehubungan dengan itu, tuan diminta melengkapkan:

a) BORANG A - Nama guru opsyen Bahasa Inggeris yang belum mengikuti Kursus MBI tahun 2010/2011 (Kursus Pedagogi)

b) BORANG B - Nama guru bukan opsyen Bahasa Inggeris yang belum mengikuti Kursus MBI tahun 2010/2011 (Kursus Profisiensi)
c) BORANG C - Senarai nama guru Bahasa Inggeris yang telah mengikuti Kursus MBI tahun 2010/2011 (Kursus Pedagogi & Profisiensi)

3. Sila muat turun fail Borang Kursus Guru MBI Tahun 2012.xls yang telah disertakan sekali dalam emel bersama surat ini. Borang-borang tersebut disediakan dalam fail tersebut. Mohon kerjasama tuan lengkapkan borang-borang itu dan dikembalikan kepada jabatan dan satu salinan ke PPD yang berkenaan (rujuk lampiran A) melalui emel sebelum atau pada 17 NOVEMBER 2011 (Khamis) waktu pejabat.

4. Untuk sebarang pertanyaan, tuan boleh menghubungi Cik Nurul Huda Omar (No. telefon bimbit: 019- 9059681) di Unit Bahasa Inggeris, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu) di talian 09-6213352.

Sekian, terima kasih.

”Melestarikan Pendidikan Terbilang”
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

(HAJI MOHD ZUBIR BIN EMBONG)
Ketua Sektor,
Sektor Pengurusan Akademik
b.p. Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu

Saturday 5 November 2011

Hari Raya Aidiladha ...

Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit Hari Raya Aidil Fitri.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.

Di petik dari Wikipedia
http://sumijelly.com/2009/11/26/definisi-hari-raya-aidil-adha/

Salam Aidiladha 1432 Hijrah

Friday 4 November 2011

Kepentingan Ilmu Pengetahuan dan Sumbernya Menurut Islam

Monday, April 21, 2008
Dipetik daripada http://ainulyaqin.blogspot.com


1. Definisi Ilmu Pengetahuan

Perkataan ilmu dari sudut bahasanya adalah berasal daripada perkataan arab iaitu calima, yang bererti mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk mengetahui tentang sesuatu dengan sebenarnya. Sementara ilmu dari segi istilah memberi erti tentang segala pengetahuan atau kebenaran tentang sesuatu yang datang dari Allah s.w.t yang diturunkan kepada rasul-rasulnya dan alam ciptaannya termasuk manusia yang memiliki aspek lahiriah dan batiniah.

Secara umumnya, ilmu didefinisikan sebagai pengetahuan dan kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut kaedah dan metod tertentu yang dapat digunakan untuk menerangkan sesuatu yang berkait dengan bidang ilmu tersebut. Ilmu pengetahuan pada lazimnya terdapat dalam dua bentuk iaitu ilmu pengetahuan nyata (explicit
knowledge) dan ilmu pengetahuan tidak nyata (tacit knowledge). Ilmu pengetahuan nyata boleh didapati kebanyakannya dalam bentuk dokumen bercetak manakala ilmu pengetahuan tidak nyata pula terdapat dalam idea, minda, amalan harian, pengalaman, memori dan seumpamanya yang kebiasaannya sukar dilihat dengan mata kasar. (Noraziah Sharuddi, 2002)

Dalam zaman moden ini pengertian ilmu telah disempitkan dan dimodenkan kepada pengetahuan maklumat dan kemahiran sahaja. Dalam pengertian barat moden, ilmu hanyalah merujuk kepada pengenalan atau persepsi yang jelas tentang fakta. Fakta pula merujuk kepada perkara-perkara yang boleh ditanggapi oleh pancaindera zahir dan bersifat empiris. Kewujudan perkara lain di luar keupayaan pancaindera tersebut dianggap bukan fakta dan tidak termasuk dalam bidang ilmu. Mengikut pandangan mereka secara automatik ajaran agama terkeluar daripada takrif dan ruang lingkup ilmu dan dianggap sebagai kepercayaan semata-mata.

Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu. Tidak ada sebarang penentangan antara agama dan ilmu kerana dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Ilmu menurut perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Manakala istilah ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai perkara iaitu al-Quran, syariah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan.

2. Kepentingan Ilmu Pengetahuan

Ilmu merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Perkembangan dan kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini berkait rapat dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada sesuatu bangsa itu sendiri. Justeru, Islam mengingatkan tentang hakikat ini menerusi pelbagai ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan bahawa Islam adalah satu agama yang memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu. Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya; “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa menuntut ilmu itu adalah suatu perkara yang penting dan menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam. Antara kepentingan ilmu pengetahuan ialah;

2.1 Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan diletakkan ditempat yang lebih tinggi. Dengan erti kata lain, ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 ;
يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت. والله بما تعملون خبير
Maksudnya; "Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan"

2.2 Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah dalam surah al-Zumar, ayat 9 ;
قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون. انما يتذكر أولولوا الألبب
Maksudnya; “Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana"

2.3 Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan seseorang itu bertaqwa dan cintakan Allah s.w.t dan RasulNya. Firman Allah dalam surah al-Fathir, ayat 28 ;
انما يخشى الله من عباده العلمؤا
Maksudnya ; “Sesungguhnya yang takutkan Allah daripada hambanya ialah orang-orang yang berilmu”

2.4 Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagian hidup di dunia dan di akhirat, memberikan kekuatan ketika dalam kesusahan dan ketika berhadapan dengan musuh.

2.5 Dengan ilmu manusia dapat menjalankan ibadah dengan sempurna, samada ibadah umum atau ibadah khusus dan dapat melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya.

2.6 Ilmu agama atau ilmu yang terdapat dalam al-Quran dan Al-sunnah akan menjadi benteng yang dapat mencegah seseorang itu dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau dalam mengejar kebendaan duniawi.

2.7 Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti ilmu kejuruteraan, ilmu kedoktoran, ilmu pertanian dan sebagainya dapat membantu kemaslahatan hidup manusia di dunia.

2.8 Ilmu adalah salah satu langkah bagi menjana pembangunan negara kerana melalui ilmu sahajalah yang dapat membezakan antara yang hak dan yang batil.

3. Sumber-sumber Ilmu Pengetahuan

Secara umumnya, sumber ilmu pengetahuan adalah diperolehi melalui wahyu, pancaindera, akal dan intuisi atau ilham.

1. Wahyu

Wahyu adalah pemberitahuan daripada Allah s.w.t kepada seorang hambanya yang dipilih di kalangan hambanya dengan secara sulit dan rahsia berlainan dari apa yang dialami oleh manusia biasa. Tidak dapat dinafikan lagi wahyu adalah merupakan sumber pengetahuan yang terpenting yang telah disampaikan oleh Allah s.w.t kepada manusia sama ada ianya disampaikan melalui Nabi Muhammad s.a.w atau melalui nabi-nabi yang terdahulu. Wahyu merupakan teras kepada segala ilmu kerana di dalam al-Quran terkandung pelbagai jenis ilmu pengetahuan yang amat diperlukan oleh manusia untuk kemasalahatan hidup juga perkara-perkara ghaib yang tidak dapat dijangkau oleh akal pemikiran manusia.

2. Pancaindera

Semua pancaindera seperti sentuhan, ciuman, penglihatan, pendengaran dan deria rasa merupakan seumber pengetahuan yang utama dan amat berguna bagi manusia untuk berinteraksi dengan alam sekelilingnya dengan mudah dan betul. Kelima-lima pancaindera ini merupakan satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan melalui beberapa percubaan dan pengalaman yang berulang-ulang. Bagaimanapun kebenaran yang diperolehi tidak semestinya selalu betul dan tepat. Pancaindera kadangkala di dalam keadaan tertentu gagal memberikan gambaran atau penglihatan umpamanya matahari kelihatan kecil oleh mata sedangkan kenyataannya adalah sebaliknya.

3. Akal

Akal adalah merupakan sumber utama pengetahuan manusia, malah perbezaan antara manusia dan haiwan adalah melalui hasil tamadun yang diusahakan oleh manusia berpunca dari pemikiran akal manusia yang kreatif. Dengan akal manusia dapat menimbang dan membezakan antara yang baik dan buruk, walaupun mungkin ianya tidak bersifat kebenaran secara mutlak namun ianya memadai untuk mengatasi masalah kehidupan seharian. Bagaimanapun Allah s.w.t menyuruh manusia menggunakan semaksima mungkin kedua-dua daya akal dan pancaindera yang dianugerahkan kepadanya agar dapat sampai kepada pengetahuan sahih dan kebenaran yang tidak menyesatkan. Al-Quran banyak menyebut seruan serta galakan daripada Allah s.w.t agar manusia dapat memerhatikan alam sekeliling mereka dengan akal dan pancaindera bagi mencari kebenaran yang hakiki.

4. Intuisi atau Ilham

Intuisi atau ilham juga boleh menjadi sumber pengetahuan manusia yang amat berguna. Ianya merupakan pengetahuan yang diperolehi tanpa melalui proses pemikiran yang tertentu. Contohnya seseorang yang mempunyai masalah yang sedang menumpukan pemikiran nya terhadap penyelesaian masalah tersebut, tiba-tiba menjadi jalan penyelesaian tanpa perlu berfikir panjang seolah-olah kebenaran yang dicari datang sendiri. Dalam Islam ilham ini boleh dikenali dengan istilah "firasat" atau pun pandangan bashirah (tembus) yang dikurniakan oleh Allah kepada para Ulama.

Walaupun begitu, ada juga di kalangan sarjana yang berpendapat bahawa sumber ilmu itu datangnya juga daripada sumber lisan dan tulisan serta kajian sejarah. Ilmu yang diperolehi melalui sumber lisan wujud dalam sistem pendidikan secara tidak formal seperti ilmu pertukangan dan sebagainya yang diperolehi melalui warisan secara tidak langsung daripada keluarga atau masyarakat. Pengajaran-pengajaran secara lisan daripada tokoh-tokoh ilmu juga dianggap sebagai sumber lisan. Ilmu yang sumbernya dari tulisan dapat dilihat melalui ilmu perubatan, matematik, dan undang-undang. Sementara ilmu yang diperolehi daripada kajian sejarah pula dapat dilihat melalui kajian-kajian dan penulisan-penulisan yang khusus tentang peristiwa sejarah yang telah berlaku.

RUJUKAN

Al-Qasimi, Muhammad Jamaluddin. t.th. Maucizah al-mu`minin min ihya` ulum al-din. t.tp : Maktabah Misr.

Khazali. (tanpa tarikh). Konsep Ilmu. http://khazalii.googlepages.com/udi30521konsepilmu [13 April 2008]

Noraziah Sharuddin. 2002. Forum memori korporat UTM. Skudai : Universiti Teknologi Malaysia

Thursday 3 November 2011

Tahniah ... Atas Pelantikan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian

YH Dato Haji Mazlan bin Mohamad
telah dilantik sebagai
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian,
Kementerian Pelajaran Malaysia berkuatkuasa 21 Oktober 2011.

Wednesday 26 October 2011

DIDIK ANAK ISTIMEWA SESUAIKAN DIRI DALAM DUNIA SOSIAL

Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa perlu menyesuaikan diri mereka menghadapi pelbagai masalah emosi dan psikologi. Ini adalah bahagian akhir dari tiga siri rencana mengenai isu yang dihadapi ibu bapa anak istimewa

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Anak berkeperluan khas akan menempuh masalah dalam perkembangan psikososial mereka. Bergantung kepada jenis kecacatan, anak istimewa akan mengalami perkembangan emosi yang tidak seimbang.

Mendidik anak istimewa bertindak mengikut suasana dan situasi adalah perkara utama aspek keibubapaan.

Anne adalah ibu kepada Nishi, 4 tahun, yang dilahirkan sebagai autisme berkata bahawa masalah yang dihadapi ibu bapa anak istimewa pada setiap hari adalah jauh berbeza dari apa yang ditempuhi oleh ibu bapa yang mempunyai anak normal.

Masalah yang akan muncul adalah dari segi aspek perkembangan anak, perangai serta kelakuan, nutrisi dan pemakanan, pengambilan ubat, pendidikan dan intervensi awal selain dari hak undang-undang, kemudahan dan kaunseling.

Katanya kesihatan anak istimewa, kehidupan sosial dan masa depan bergantung kepada bagaimana ibu bapa mengendalikan masalah terbabit dan cara mereka menyesuaikan masalah itu dalam kehidupan sekeluarga.

"Adalah penting bagi ibu bapa yang mempunyai anak istimewa mengingati bahawa kehidupan anak mereka tidak boleh sekali-kali dianggap kurang berharga kerana semata-mata mereka mempunyai keperluan khas," kata ibu muda itu.

BELAJAR BENDA BARU

Menurut Anne, ibu bapa anak istimewa setiap masa cuba mempelajari benda-benda yang baru yang boleh dipraktikkan dalam strategi keibubapaan mereka.

"Ide sosial mempunyai banyak kapasiti. Ibu bapa dan anak mereka boleh melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti seperti perbualan, bermain, bercerita sebelum tidur, bersama membuat kerjarumah atau juga pergi membeli-belah bersama.

"Melalui aktiviti ini, anak istimewa akan belajar pengetahuan yang luas tentang dunia fizikal dan sosial dan bagaimana untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain," kata beliau.

Katanya, keluarga anak istimewa, seperti juga keluarga lain yang mempunyai anak normal, mahu menjalani kehidupan yang bermakna, mengembirakan serta penuh kejayaan. Semua ahli keluarga akan memberi sokongan moral serta ketenangan bagi memenuhi keperluan anak istimewa.

Ibu bapa juga melindungi anak mereka dan cuba membuatkan mereka berdikari dalam kehidupan sosial. Kejayaan program intervensi bergantung kepada usaha ibu bapa dan pandangan mereka sendiri terhadap kecacatan, pandangan masyarakat serta kelakuan dan persepsi masyarakat dan keluarga.

Kata Anne, saat-saat positif bagi anak istimewa ini adalah bila ibu bapa mereka berupaya membantu mereka hidup sebagai seorang insan yang sosial.

MENCONTOHI IBU BAPA

Anne, yang juga juru pulih pediatrik menjelaskan bahawa anak juga belajar kelakuan yang sepatutnya dalam sekitaran sosial dari ibu bapa mereka.

Katanya kelakuan itu dipelajari dari pemerhatian, mencontohi dan membentuk selain dari proses pengukuhan.

"Anak akan belajar dan mencontohi ibu bapa," jelas beliau sambil menambah ibu bapa anak istimewa terpaksa melalui beberapa peringkat perubahan emosi.

"Ramai dalam kalangan mereka mempunyai keresahan terhadap kecacatan anak serta risau akan masa depan anak itu. Anak istimewa mempunyai risiko dua kali ganda mengalami masalah kesihatan mental dibandingkan dengan anak normal.

"Risikonya adalah tiga kali ganda jika anak itu mengalami kecacatan yang lain," katanya.

"Bagi semua anak istimewa, mereka akan mengalami belenggu dan masalah dalam persekolahan, pergerakan serta komunikasi. Ini adalah masalah utama dalam kehidupan harian mereka dan akan memberi had terhadap aktiviti," tambah beliau.

Menurut Anne, anak itu perlu merasai dirinya menerokai kehidupan dengan sokongan ibu bapa serta program penyesuaian.

Katanya ibu bapa harus mendidik anak mereka bagi menyesuaikan diri dalam dunia sosial.

"Peraturan sosial termasuk berkelakuan mesra, memandang kepada orang bila bercakap dengan mereka atau ketika mendengar pertuturan mereka selain daripada memberi reaksi bagi menunjukkan anda mendengar apa yang dipertuturkan.

"Ini boleh diterjemahkan sebagai mempunyai keupayaan sosial dan menjadi tugas ibu bapa membantu kehidupan sosial anak istimewa," katanya.

-- BERNAMA --

Sunday 23 October 2011

Majlis Khatam Program Pintar Al-Quran Kanak-kanak Tadika Terengganu 2011


22 Oktober 2011 [Sabtu] : YAB Dato Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu telah merasmikan Majlis Khatam Program Pintar Al-Quran Kanak-kanak Tadika peringkat negeri di Stadium Tertutup Kompleks Sukan di Gong Badak, Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Khazan Che Mat dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah.

Seramai 7,930 kanak-kanak tadika di seluruh negeri telah menyertai program tersebut yang menggabungkan pelajar-pelajar tadika empat jabatan iaitu Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNTr) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Daripada jumlah itu, seramai 3,525 kanak-kanak daripada JPNTr, KEMAS (2,375), YIT (1,780) dan JPNIN (250).

Dalam pada itu, Menteri Besar dalam ucapannya berkata, sejak dilancarkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2006, seramai 24,445 kanak-kanak telah menerima Sijil Khatam al-Quram melalui Program Pintar al-Quran ini.

Katanya, ia merupakan pertambahan 1,684 berbanding tahun lalu dan termasuk dalam jumlah itu, 332 kanak-kanak berjaya hafaz Surah Yasin dan 176 mampu menghafaz surah itu bersama terjemahannya.

"Program ini adalah sebahagian daripada agenda merakyatkan pembangunan seiring dengan usaha menjadikan negeri ini sebagai 'anjung ilmu' yang akan dilakukan berterusan malah akan terus ditingkatkan," ujar beliau.

Unit Komunikasi Negeri
http://www.terengganu.gov.my/

2,642 orang Guru UPSR Terengganu Terima Laptop

KUALA TERENGGANU - Pendidikan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu. Justeru pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan agar guru yang diberi tanggungjawab mendidik anak bangsa berupaya membina tamadun dan mampu bersaing. Beliau berharap melalui pembudayaan ICT di kalangan pendidik dan pelajar ianya mampu mengubah cara berfikir dan budaya landskap pendidikan negeri ini.

Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Penyerahan Laptop kepada Guru-Guru UPSR Terengganu di Wisma Darul Iman pagi tadi. Seramai 2,642 orang Guru UPSR Terengganu menerima laptop daripada Menteri Besar Terengganu yang bernilai hampir RM3.7 juta. Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Setiuasaha Kerajaan Negeri, Exco dan Timbalan Exco Pelajaran Negeri Terengganu, Pengarah dan Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Pelajaran Negeri serta Pegawai Pelajaran Daerah seluruh negeri.

Tiga tahun yang lepas kerajaan negeri telah memperkenalkan e-book kepada murid-murid tahun 6. Biarpun terdapat pandangan dan tohmahan kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Dato' Haji Ahmad bin Said secara konsisten meneruskan program berkenaan dan di jangka menjelang akhir tahun ini sebanyak hampir seratus ribu e-book diagihkan kepada pelajar. Keyakinan kerajaan terhadap peri mustahaknya penguasaan ICT maka sistem pembelajaran kelas maya telah dilaksanakan di beberapa buah sekolah di negeri ini dan bakal diperluaskan di setiap Dewan Undangan Negeri pada tahun depan.

Sesungguhnya warga pendidik dan pelajar negeri ini amat bertuah berbanding dengan negeri lain kerana keperihatinan dan kecaknaan sebegitu rupa daripada kerajaan dan pimpinan negeri Terengganu. Pelaburan besar ini mestilah dibayar dengan keupayaan untuk terus cemerlang dan terbilang dalam pendidikan di negara ini. Terengganu mesti mampu melahirkan tenaga manusia yang berkompetensi dari segi ilmu, kemahiran dan nilai. Tugas besar ini diamanahkan kepada pendidik sebagai arkitek bangsa agar hasrat kerajaan negeri menjadikan "Terengganu Negeri Anjung ilmu" akan menjadi kenyataan. Kita amat yakin guru Terengganu amat tahu bersyukur dengan menterjemahkan rasa syukur ini menunaikan amanah mendidik dengan penuh keinsafan dan penuh iltizam.

Petikan daripada Blog Unit Sekolah Rendah, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

Saturday 22 October 2011

MAJLIS PENYAMPAIAN LAPTOP KEPADA GURU-GURU UPSR TERENGGANU

YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said akan menyampaikan sumbangan laptop kepada setiap guru UPSR Negeri Terengganu 2011.

Majlis tersebut akan diadakan sepertimana perincian berikut:

Tarikh : 22 Oktober 2011 (Sabtu)
Masa : 8.30 pagi
Tempat : Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, Terengganu.

Jika terdapat sebarang pertanyaan berhubung program di atas, sila hubungi Haji Ghazali bin Mohamad (Talian : 019-9102575) di Unit Rendah, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu di talian 09-6213027 dan no. faks : 09-6213028.


Tahniah... Kepada Para Penerima daripada SK Menerong:
  1. Muhammad Syafiq Ta Oo bin Abdullah
  2. Roziana binti Sulong
  3. Wan Rosdi bin Wan Hasan

Thursday 6 October 2011

Belanjawan 2012


Belanjawan 2012 bertemakan Belanjawan Transformasi: Membela Rakyat, Mensejahtera Negara akan dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 7 Oktober 2011 [Jumaat].

Kementerian Kewangan Malaysia mengambil inisiatif untuk membangunkan Laman Rasmi Belanjawan 2012 bagi menyalurkan maklumat dan informasi secara terus kepada masyarakat Malaysia berkenaan Belanjawan 2012.

Laman ini menyediakan siaran secara langsung, pembentangan Ucapan Belanjawan 2012 oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dari Parlimen Malaysia melalui audio dan video.

Laman ini turut menyediakan kemudahan muat turun teks ucapan Belanjawan 2012, Laporan Ekonomi 2011/2012 dan Cadangan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2012.

www.treasury.gov.my

PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN (OTI 6) SEKOLAH RENDAH NEGERI TERENGGANU 2011

Ruj. Kami : P.T. 18003-10 (13 )
Tarikh : 4 Oktober 2011

Peperiksaan Akhir Tahun akan diadakan pada 30 Oktober 2011 hingga 03 November 2011. Untuk makluman, tiada ujian bagi murid Tahun 1.

Sehubungan dengan itu, semua guru diminta memasukkan keputusan Peperiksaan Akhir Tahun ke dalam sistem ePantau dan dihantar ke Setiausaha Peperiksaan Sekolah pada atau sebelum 21 November 2011 ( Isnin ) .

Sebarang pertanyaan berhubung perkara di atas, sila hubungi Encik Mustaffa bin Mohd ( No. h/p : 013-9810750 ) di Unit Kurikulum Rendah, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu ditalian 09-6213018, no. faks : 09-6213028.

Kenangan ... Majlis Persaraan Cikgu Hajjah Hasmah Hamzah

UJIAN LISAN TAHAP 2 MATA PELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM 2011

P.T. 08013-Jld.4/3(40).
03 Oktober 2011


Pelaksanaan Ujian Lisan Tahap 2 Mata Pelajaran Pendidikan lslam bermula 6 Oktober 2011 hingga 30 Oktobet 2011.

Sebarang pertanyaan sila berhubung dengan Cik Rusmawati @ Siti Fatimah bt. Mohamed (Penolong Pengarah Operasi Pendidikan lslam Teras Rendah) ditalian 09-6213363.

Awi bin Salleh
Ketua Penolong Pengarah
Sektor Pendidikan Islam
Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu

Pengumpulan Data Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 dan DG44 yang Telah Berkhidmat Selama 8, 9 dan 10 Tahun pada Tahun 2012

Merujuk Surat Siaran KP (PP) SULIT 0063/57/10 Jilid 49 (11) berkaitan Pengumpulan Data Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 dan DG44 yang Telah Berkhidmat Selama 8, 9 dan 10 Tahun pada Tahun 2012 di Kementerian Pelajaran Malaysia bertarikh 19 September 2011.

Mohon semua guru yang terlibat hubungi Tuan Guru Besar. Sila ambil segera dan kembalikan borang ke Unit Naik Pangkat Siswazah2, KPM sebelum 30 Oktober 2011.

Tahniah ... Encik Mohd Ariffin Ismail Pen. PPDHT KGSK


Mulai 16 September 2011, dimaklumkan bahawa Encik Ariffin bin Ismail telah bertukar ke Unit Pengursan Sekolah, JPNT sebagai Pegawai Data dan ABM. Sehubungan itu segala tugasan beliau di Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Terengganu dipangku sementara oleh Encik Jalaludin bin Ismail (Penolong PPD Pengurusan Sekolah) dan Encik Wan Muhammad Affandi bin Wan Ahmad (Penolong PPD Pengurusan Sekolah Murid - Menengah).

Warga SK Menerong megucapkan selamat bertugas dan semoga lebih berjaya di samping tugasan baru.

Warga SK Menerong...

Warga SK Menerong...

www.satisfaction.com