SK Menerong [TBA 5014] merupakan sebuah sekolah yang terletak di dalam daerah Hulu Terengganu. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) Luar Bandar. Proses P & P di sekolah ini berjalan pada sidang pagi sahaja. Pada waktu petang, bilik-bilik darjah digunakan untuk kelas Fardhu Ain (KAFA) bagi murid Tahun 2, 3, 4, dan 5 yang diadakan pada hari Ahad, Isnin, dan Rabu sahaja.
Talian Tel. : 09-6125625
Talian faks.: 09-6129954
Alamat email : skmenerong@gmail.com

Renungan...

Wednesday 23 May 2012

Petikan : Guru jangan mudah merajuk - Tokoh Guru Terengganu



AHMAD Said menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Negeri 2012 kepada Mohd. Nor Othman (kiri) sambil diperhatikan oleh Zakaria Hussin (kanan) pada Majlis Sambutan Hari Guru ke-41 Peringkat Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 21 Mei - Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd. Nor Othman, 60, dipilih sebagai sebagai penerima anugerah Tokoh Guru Terengganu 2012 sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri di sini hari ini.

Beliau yang bersama profesion perguruan selama 33 tahun itu menerima wang tunai RM5,000, senaskah al-Quran, satu set persalinan dan trofi yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 3,000 warga pendidik dan pelajar berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran negeri, Zakaria Hussin.

Turut menerima anugerah ialah Azran Ibrahim (Guru Pendidikan Khas Cemerlang), Zainudin Mat Ali (Guru Kelainan Upaya Cemerlang), Nik Mohd. Azhani Nik Jusoh (Penderma Darah Berjasa) dan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu bagi kategori pengurusan PPD cemerlang.

Juga Masitah Mohamed (Guru Pra Sekolah Inovatif), Zalina Bidin (Guru Sekolah Rendah Inovatif) serta Mohd. Yusri Ibrahim, Nor khatimah Ismail dan Wan Mohd. Amir Fazamin Wan Hamzah (Guru Sekolah Menengah Inovatif) dan Kamarulzaman Ismail (Tokoh Nilam) .

Sementara itu, Mohd Nor ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut berkata, sebagai guru mereka harus kuatkan semangat ketika berdepan dengan kerenah para pelajar.

"Sebagai guru, kita jangan mudah sangat merajuk dengan anak murid dan pelajar-pelajar kita. Ini penting demi masa depan mereka," katanya.

Beliau yang berasal dari Kampung Buluh Kuala Berang dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia memulakan tugas sebagai pendidik pada tahun 1976 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai dekat sini.

Sepanjang tempoh menjadi pendidik, beliau yang juga penerima Anugerah Guru Khidmat Cemerlang Kebangsaan pada tahun 1996 pernah ditugaskan di beberapa buah sekolah antaranya di SMK Tengku Ampuan Intan, SMK Landas, SMK Menerong dan SMK Ajil.

''Sebagai guru, tiada yang lebih penting selain sikap dan komitmen guru yang bersungguh-sungguh dan ikhlas mahu melihat anak bangsanya berjaya,"

"Ramai yang dakwa, perkembangan teknologi maklumat pada masa kini menjadi cabaran utama guru hari ini kerana perlu melengkapkan diri dengan arus perubahan pendidikan misalnya penggunaan e-Book dan kelas maya.

"Namun bagi saya, cabaran lebih besar adalah sikap guru yang mudah terasa hati dengan pelajar-pelajar merupakan antara faktor proses pembelajaran itu terbantut," ujarnya yang juga bekas Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusian, Jabatan Pelajaran.

Katanya bermula dengan rasa hati yang gembira seorang guru untuk menyampaikan ilmu membolehkan pelajar-pelajar mendapat keberkatan daripada itu.

''Kalau ada sedikit perangai pelajar yang tidak disukai, pejam mata sahaja dan teruskan usaha menyampaikan ilmu itu," katanya.

Utusan Malaysia Online: 22 Mei 2012

Dipetik daripada Blog Perkhidmatan Pelajaran
http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com

Monday 21 May 2012

HARI GURU MALAYSIA 2012 : TEKS UCAPAN YAB MENTERI PELAJARAN MALAYSIA



YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN HARI GURU KALI KE-41
PADA 16 MEI 2012 (RABU);
PUKUL 10.00 PAGI
BERTEMPAT DI DEWAN JUBLI PERAK,
KUALA KANGSAR, PERAK


TEMA: “GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
 
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir, MB Perak;
Yang Berhormat Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran I; 
Yang Berhormat Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi, Timb. Menteri Pelajaran II; 
Yang Berbahagia Dato' Dr. Rosli bin Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Dato' Sri Abdul Ghafar bin Mahmud,  Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd. Idris bin Haji Ramli, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perak
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, 
Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia,
Ketua-Ketua Bahagian Kementerian Pelajaran Malaysia,
Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri,
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan dan para pendidik yang saya hormati sekalian.
  
1.  Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan limpah izin dan kurnia-Nya, dapat kita sama-sama berkumpul di Bandar DiRaja Kuala Kangsar, Perak pada hari ini sebagai tanda pengiktirafan dan terima kasih kita yang tidak  terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru, warga Kementerian Pelajaran dan semua insan yang bergelar pendidik di negara kita.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Haji Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak atas kesudian kerajaan negeri Perak menjadi tuan rumah sambutan Perayaan Hari Guru yang ke-41 pada tahun ini.

GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

2.  Malaysia sedang berada di ambang negara maju. Untuk tempoh lapan tahun dari sekarang, negara  kita akan melalui satu fasa transformasi penting yang akan menentukan samada kita berjaya melangkah ke gerbang negara maju apabila fajar tahun 2020 menyinsing. Dalam era transformasi ini, seluruh minda dan kudrat rakyat perlu digembleng untuk memacu kemajuan negara dalam persekitaran global yang lebih mencabar.

3.  Sepanjang perjalanan kita melalui liku zaman transformasi, bukan sedikit cabaran yang bakal kita hadapi. Bagi para guru, cabaran paling  getir adalah bagaimana untuk melonjakkan kualiti dan ekuiti pendidikan dalam tempoh yang terdekat. Tujuannya ialah, pertama, supaya sistem pendidikan negara kita mampu melahirkan insan yang berupaya memacu kemajuan pesat negara dan mengisi keperluan sebuah masyarakat maju. Dan kedua, supaya setiap murid di negara kita, tanpa mengira kaum, agama, wilayah dan status sosial berpeluang untuk mengecap nikmat pendidikan yang berkualiti secara adil dan saksama. 

4.  Lantaran itu, kerajaan memberikan tumpuan utama  kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara secara menyeluruh. Ini kerana kita tahu bahawa menyediakan pendidikan yang berkualiti untuk rakyat adalah satu-satunya wadah bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, kreatif,  inovatif dan berdaya saing. Modal insan inilah yang akan memacu kemajuan negara kita ke tahap yang lebih tinggi. Di pundak merekalah letaknya harapan kita untuk melihat kemajuan dan pembangunan negara dijana dengan lebih pesat dan mapan, demi kesejahteraan  dan kemakmuran masa depan kita bersama. 

5.  Usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara telah kita mulakan. Sejak tiga tahun yang lalu, kita telah melaksanakan empat inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan, yang bertujuan untuk memperluas akses kepada pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan. Alhamdulillah, berkat kegigihan para guru di segenap pelusuk negara dan sokongan padu seluruh warga Kementerian, kita telah menempa kejayaan yang membanggakan. Dalam tempoh yang singkat, kadar penyertaan murid pra-sekolah berjaya kita tingkatkan, sasaran penguasaan literasi dan numerasi murid mampu kita capai, bilangan sekolah berprestasi tinggi bertambah dan bai’ah dengan pengetua dan guru besar terlaksana. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua guru dan warga kementerian yang telah menggerakkan seluruh kudrat dan ikhtiar untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

6.  Kita pastinya berbangga dengan kejayaan besar yang dicipta oleh guru-guru kita. Selama lebih lima dekad berada di persada pendidikan negara, guru-guru kita telah memberi sumbangan yang amat bermakna kepada kemajuan dan pembangunan yang kita kecapi hari ini. Berkat sentuhan para gurulah, lahirnya insan-insan yang terdidik dengan ilmu dan adab, yang kini berada di setiap lapangan ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan sebagainya untuk menggerakkan kemajuan bangsa dan nusa. Kejayaan negara kita beralih daripada sebuah negara berasaskan ekonomi pertanian kepada sebuah negara perindustrian baru yang pesat berkembang, sebahagian besarnya adalah kerana jasa dan bakti para guru. Justeru, tidak ada sesiapapun yang boleh memandang rendah dan memperleceh peranan serta sumbangan besar para guru terhadap kemajuan yang dicapai oleh negara kita hari ini. 

7.  Sementara kita menghargai segala jasa guru, kita tidak mengambil sikap mudah berpuashati dengan pencapaian sedia ada. Dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit, kita tahu bahawa sistem dan amalan pendidikan di negara kita perlu ditransformasi. Kualiti guru-guru kita perlu dimantapkan, mutu kepimpinan sekolah perlu ditingkatkan, kurikulum dan sistem pentaksiran perlu diperkemaskan, prasarana sekolah perlu ditambahbaik, sumber dan sistem penyampaian pendidikan perlu diurus dengan lebih cekap.

Pendek kata, keseluruhan sistem pendidikan kita perlu disemak dan dimantapkan kualitinya secara bersepadu. 

8.  Sehubungan itu, Kementerian telah memulakan proses Kajian Semula Pendidikan Negara. Satu laporan awal yang menggariskan aspek-aspek utama yang perlu diberi perhatian telah pun disediakan oleh kumpulan pakar. Kita juga telah memulakan proses Dialog Nasional Pendidikan Negara untuk mempelawa pandangan dan saranan daripada seluruh rakyat, tentang cara bagaimana  kita boleh meningkatkan mutu dan tahap pendidikan negara kita agar setanding dengan negara-negara maju. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengundang guru-guru menyertai dialog pendidikan negara dan tampil dengan idea-idea bernas untuk meningkatkan mutu pendidikan kita.

9.  Apatah lagi, aspek paling penting dalam proses kajian semula pendidikan ini ialah kualiti guru. Hanya guru yang berkualiti dapat mewujudkan pendidikan yang berkualiti. Saya percaya, guru-guru yang telah lama berkecimpung dalam bidang pendidikan dapat mengemukakan saranan terbaik tentang bagaimana kualiti guru, termasuk kualiti pengajaran dan pembelajaran, dapat kita tingkatkan.

GURU BERKUALITI, GURU BERINOVASI

Saudara dan saudari yang saya hormati,

10.  Dalam menempuh era globalisasi yang semakin diwarnai oleh ekonomi berteraskan ilmu dan inovasi, maka pada hemat saya, guru yang berkualiti adalah guru yang berinovasi. Izinkan saya memberi sedikit huraian tentang apa yang dimaksudkan dengan guru berinovasi. Pada pengamatan saya, guru berinovasi ialah guru yang mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara kritis, kebijaksanaan menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi. Dalam konteks ini, sebelum melangkah masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai.

Ketika berada di dalam bilik darjah, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, tetapi sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah dan pendekatan baru yang lebih berkesan. Yang penting, objektif pembelajaran dicapai. 

11.  Selanjutnya, seorang guru berinovasi juga akan memberi tumpuan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh merangsang daya fikir dan daya kreativiti murid. Keutamaan guru berinovasi ialah untuk memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajar di dalam bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan, tetapi untuk membolehkan mereka menyelesaikan permasalahan yang dihadapi di dunia nyata.

Bermaksud, guru berinovasi ialah guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir. Seterusnya, guru berinovasi juga berupaya menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik, serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya mereka dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar. 

12.  Ini bermakna, guru berinovasi ialah guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di alam nyata. Untuk itu, guru berinovasi akan sentiasa menggunakan pelbagai kaedah dan cara untuk mengasah daya fikir, daya kreativiti dan daya tahan murid, dan seterusnya menjadikan mereka insan yang berdaya saing dan berakhlak mulia. Sekiranya semua guru  di negara kita adalah guru berinovasi, saya yakin matlamat kita untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan berketrampilan akan tercapai. 

KEJAYAAN GURU DAN SEKOLAH BERINOVASI

13.  Keyakinan saya berasaskan kepada fakta  bahawa pada masa ini di sekolah-sekolah kita di segenap ceruk tanah air, terdapat mutiara inovasi yang bergemerlipan. Antaranya, murid Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, Subang Jaya telah merangkul pingat emas dalam Pertandingan World Robotic. Olympiad di Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu pada bulan November tahun lalu.

Kejayaan ini membuktikan pendidikan berteraskan kreativiti dan inovasi mampu melahirkan murid yang berjaya menempa kecemerlangan di peringkat antarabangsa. Tahniah saya ucapkan kepada murid dan guru SMK USJ 4, Subang Jaya.

14.  Saya juga mengucapkan tahniah kepada Cikgu Harris Ganae bin Nanar dari Sekolah Menengah Sains Kepala Batas yang berjaya memenangi Pingat Emas bagi kategori Modul Pengajaran Terbaik dalam pertandingan ASEAN Camp for Gifted In Science pada tahun 2011. Cikgu Harris juga patut dipuji kerana hasil inovasi beliau, Sekolah Menengah Sains Kepala Batas telah meraih banyak kejayaan dalam Pertandingan Rekacipta di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ini termasuk Pertandingan Inovasi Sains SBP Kelapa Sawit anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan The Second APEC Conference for the Gifted In Science di Korea. 

15.  Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Cikgu Khairuddin bin Nasa dan Cikgu Abdul Razak bin Haron dari Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun Perak, yang telah berjaya merangkul Anugerah Guru Inovatif 2012. Semoga kejayaan anda berdua akan mendorong guru-guru di seluruh negara untuk menjadi guru berinovasi, bersesuaian dengan tema Hari Guru tahun ini. 

MEMANTAPKAN BUDAYA INOVASI DI SEKOLAH 

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

16.  Kementerian akan terus berusaha untuk meningkatkan pembudayaan inovasi di sekolah. Bermula tahun 2011, Kementerian telah melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang menekankan aspek pemikiran kritis, kreatif dan inovatif sejak peringkat awal persekolahan. Saya yakin transformasi kurikulum yang dilaksanakan akan membuka peluang kepada guru untuk mengenalpasti strategi penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran secara berterusan. KSSR diharap menjadi landasan kepada guru untuk menjana pelbagai kaedah pengajaran dan seterusnya mengatasi masalah murid lemah menerusi teknik pembelajaran secara intervensi.  

17.  Kementerian Pelajaran juga telah  bekerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui Program i-Think. Program ini adalah antara pendekatan baru yang sesuai diguna pakai oleh guru untuk meningkatkan pena’akulan dalam kalangan murid.  Program ini telah dirintis di sepuluh buah sekolah dan diharapkan dapat diperluaskan ke seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. 

18.  Selain itu, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sedang merangka Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif untuk membudayakan inovasi dan kreativiti dalam kalangan murid. Melalui pelan ini, sekolah akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara kreatif bagi melahirkan modal insan yang inovatif.

Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif diharap akan digunakan sepenuhnya oleh guru sebagai garis panduan untuk mencapai hasrat negara meningkatkan keupayaan daya saing negara yang diukur berdasarkan kemampuan rakyat untuk berinovasi. 

MEMARTABAT PROFESYEN KEGURUAN

19.  Usaha membudayakan inovasi di sekolah tidak akan tercapai tanpa guru-guru yang berkualiti. Oleh itu, Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan kualiti guru melalui sokongan dasar, latihan dan insentif. Dalam hubungan ini, Kementerian komited untuk mencapai sasaran 60 peratus guru siswazah di sekolah rendah dan 90 peratus guru siswazah di sekolah menengah menjelang tahun 2015. Sehingga kini, program pensiswazahan guru telah berjalan lancar dengan 69.6 peratus daripada 66,124 guru yang disasarkan telah menerima tawaran mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi. 

20.  Biarpun mengharap dedikasi guru yang tidak terhingga dalam mendidik anak bangsa, kerajaan tetap mengambil perhatian serius terhadap keluhan guru yang terbeban dengan pelbagai tugas dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan organisasi sekolah. Oleh itu, Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru. Antaranya, Jawatankuasa Kerja ini memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah yang merupakan satu sistem tunggal kemasukan data untuk mengurangkan beban tugas guru yang menggunakan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini.

Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah, dan dijadualkan semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang tahun 2013. 

21.  Selain itu, KPM juga sedang menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 sehingga  Jun 2012 untuk melihat impak penempatan Pembantu Tadbir bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru.

Seterusnya satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi perluasan penempatan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah di bawah Kementerian. Bagi menangani isu beban tugas guru ini juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambahbaik pengendalian ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah. Oleh itu, pada tahun ini hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan. Pemansuhan sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan dikuatkuasakan mulai tahun 2013, di mana semua ujian akan dijalankan dalam waktu pengajaran dan pembelajaran.

22.  Selaras dengan usaha kerajaan untuk menambah baik Skim Perkhidmatan Pendidikan, peruntukan tempoh minimum kenaikan pangkat secara Time-Based berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana diumum oleh YAB Perdana Menteri pada 8 Mac yang lalu. Bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah gred DG41, hanya 8 tahun diperlukan untuk kenaikan ke gred DG44, 8 tahun untuk gred DG44 ke DG48, 6 tahun untuk gred DG48 ke DG52, dan hanya 3 tahun untuk DG52 ke DG54. Manakala bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma gred DGA29, hanya 8 tahun diperlukan untuk naik ke gred DGA32, 8 tahun untuk gred DGA32 ke DGA34, dan hanya 5 tahun untuk gred DGA34 ke DGA38.

23.  Lanjutan pengumuman YAB Perdana Menteri, seramai 390 orang guru telah dinaikkan ke gred DG54, manakala 676 orang ke gred DG52, 3,938 orang ke gred DG48 dan 19,805 orang ke gred DG44. Bagi Guru Bukan Siswazah pula, seramai 399 orang dinaikkan ke gred DGA38, manakala 2,639 orang dinaikkan ke gred DGA34 dan 9,519 orang ke gred DGA32. Dianggarkan seramai 8,222 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat apabila memenuhi syarat tempoh perkhidmatan mulai 1 Jun 2012 sehingga 31 Disember 2012. Guru-guru boleh membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini. 

24. Selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan memartabatkan profesion keguruan, saya ingin memaklumkan bahawa proses kenaikan pangkat Pengetua dari gred DG48 ke DG52 dan Penolong Kanan dari DG44 ke DG48 telah dilaksanakan oleh Kementerian.

Setakat ini seramai 854 orang Pengetua telah dinaikkan pangkat dari DG48 ke DG52 dan 4,270 orang Penolong Kanan telah dinaikkan pangkat dari DG44 ke DG48. Kenaikan pangkat ini melibatkan Pengetua  dan Penolong Kanan yang merupakan penyandang sedia ada sebelum atau pada 31 Disember 2011, dan yang memangku jawatan sebelum atau pada 31 Disember 2010. Tarikh kuatkuasa kenaikan pangkat ini adalah pada 1 Januari 2012. Baki penyandang jawatan Pengetua dari  gred DG48 ke DG52 seramai 430 orang dan baki penyandang jawatan Penolong Kanan Gred DG44 ke Gred DG48 seramai 2,655 orang akan diperakukan secara berperingkat mulai Jun 2012 setelah calon-calon memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

25.  Bagi melaksanakan semua urusan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, kerajaan telah memperuntukkan 934 juta ringgit, iaitu satu jumlah besar yang membuktikan kesungguhan kerajaan memberi pengiktirafan kepada usaha para guru dalam membentuk modal insan yang berpersonaliti unggul. Justeru, saya berharap agar peluang kenaikan pangkat ini akan memberi semangat dan dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan
prestasi.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

26.  Saya yakin guru berinovasi akan dapat mentransformasi pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan murid yang berdaya saing, berakhlak mulia dan bersemangat waja. Saya berharap guru juga sentiasa memelihara kemuliaan akhlak dan ketinggian budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi suri teladan kepada murid dan masyarakat. 

27.  Untuk memastikan ilmu pengetahuan dapat diterima dengan sebaiknya oleh murid, saya amat berharap agar guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi bertindak sebagai murabbi yang berperanan mendidik rohani, jasmani, akal dan emosi murid supaya mereka dapat menghayati dan mengamalkan ilmu yang dipelajari. Maka, guru menggalas amanah yang amat mulia dalam memperbaharui dan memperbaiki kehidupan manusia. Tajdid pendidikan akan terhasil apabila guru dapat membangun jiwa, membina akal dan membentuk akhlak manusia dengan asuhan ilmu dan adab yang mulia.

28.  Sesungguhnya, tidak terhitung jasa dan bakti guru kepada bangsa dan negara. Justeru, saya bagi pihak kerajaan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para guru dan semua insan yang bergelar pendidik, baik yang berada di sekolah, di institut pendidikan guru, di kolej-kolej matrikulasi, di institusi pengajian tinggi, di institusi-institusi latihan atau di mana jua anda berada, samada yang masih berkhidmat atau telah bersara. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas segala sumbangan dan pengorbanan anda semua dalam menggalas amanah mulia mendidik anak bangsa dan mengangkat martabat nusa. Kepada guru-guru pesan saya, sayangilah murid anda, dan kepada murid nasihat saya, hormatilah dan hargailah jasa guru anda.

Akhir kalam, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-41 Tahun 2012. 

Selamat Hari Guru! Terima Kasih Cikgu! 

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dipetik dari laman sesawang :
Kementerian Pelajaran Malaysia
 http://www.moe.gov.my/?id=13&aid=2663

Selamat Menjalani Ujian Pertengahan Tahun 2012

Hari 1 : 20 Mei 2012 [Ahad]
Hari 2 : 22 Mei 2012 [Selasa]
Hari 3 : 23 Mei 2012 [Rabu]
Hari 4 : 24 Mei 2012 [Khamis]

Info daripada Setiausaha Peperiksaan dan Penilaian, SK Menerong

Majlis Sambutan Hari Guru 2012 Negeri Terengganu


Diulangsiar daripada Laman Blog Unit Rendah, JPNTr

Peserta daripada SK Menerong :

1. Cikgu Sulaiman bin Muda, Guru Besar
2. Cikgu Roziana binti Sulong, GPK Pentadbiran
3. Ustazah Siti Zainun binti Ismail @ Muda, GPK Hal Ehwal Murid
4. Ustaz Mohd Adnan bin Seman, Guru j-Qaf
5. Cikgu Robaiyyah binti Alias, Guru Media

SEMAKAN KEPUTUSAN URUSAN KENAIKAN PANGKAT


Perhatian kepada semua guru,

Anda boleh membuat semakan berkaitan keputusan urusan kenaikan pangkat di pautan
ini.
Diterbitkan Oleh: Bahagian Pengurusan Maklumat, Kementerian Pelajaran Malaysia

http://www.moe.gov.my/naikpangkat/

Nasional : Hadiah Hari Guru 2012

Berita Harian bertarikh 17 Mei 2012 - HADIAH GURU 



Warga SK Menerong...

Warga SK Menerong...

www.satisfaction.com