SK Menerong [TBA 5014] merupakan sebuah sekolah yang terletak di dalam daerah Hulu Terengganu. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) Luar Bandar. Proses P & P di sekolah ini berjalan pada sidang pagi sahaja. Pada waktu petang, bilik-bilik darjah digunakan untuk kelas Fardhu Ain (KAFA) bagi murid Tahun 2, 3, 4, dan 5 yang diadakan pada hari Ahad, Isnin, dan Rabu sahaja.
Talian Tel. : 09-6125625
Talian faks.: 09-6129954
Alamat email : skmenerong@gmail.com

Renungan...

Saturday 28 May 2011

Album 2 : Kem Kecemerlangan Akademik [Siri 1] Tahun 2011




Album 1 : Kem Kecemerlangan Akademik [Siri 1] Tahun 2011





Monday 16 May 2011

PERUTUSAN PENGARAH PELAJARAN NEGERI TERENGGANU

MAJLIS SAMBUTAN PERAYAAN HARI GURU
PERINGKAT SEKOLAH NEGERI TERENGGANU TAHUN 2011
JABATAN PELAJARAN NEGERI TERENGGANU

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

YANG BERUSAHA PENGETUA-PENGETUA, GURU-GURU BESAR, GURU-GURU PENOLONG KANAN, GURU-GURU, KAKITANGAN SOKONGAN, PENGERUSI DAN AJK PIBG, IBU BAPA / PENJAGA DAN MURID-MURID YANG DIKASIHI SEKALIAN.

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya sekali lagi kita warga Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah negeri Terengganu dapat menyambut Hari Guru 2011. Sudah menjadi amalan dan tradisi kepada kita warga pelajaran di seluruh pelusuk negara meraikan sambutan Hari Guru pada tanggal 16 Mei setiap tahun. Sambutan ini adalah merupakan penghargaan dan penghormatan kepada warga guru negeri ini sama ada yang masih berkhidmat ataupun yang telah bersara di mana jua berada atas budi, jasa dan keringat dalam usaha membangunkan modal insan terbilang, Melestarikan Pendidikan Terbilang Negeri Anjung Ilmu.

Hari ini kita merayakan Hari Guru 2011 yang bertemakan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara dalam usaha Melestarikan Pendidikan Terbilang Negeri Anjung Ilmu. Saya amat yakin bahawa warga guru hari ini diraikan dengan penuh kehormatan dalam suasana negeri Terengganu mencatat pelbagai kejayaan dalam pendidikan terutamanya mencatat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Awam. Saya dengan rasa bangga, salam perjuangan pendidikan dan salam mesra persahabatan mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga guru. Saya merasa terharu dengan semangat juang dan pengorbanan gigih para guru kerana telah berjaya meletakkan pendidikan Terengganu di mercu kejayaan. Hasil kejayaan demi kejayaan
menerusi pendidikan, maka warga guru hari ini telah mendapat tempat di hati pemimpin, ibu bapa dan ahli masyarakat.

Marilah kita meneruskan kerja-kerja mulia menitis ilmu menggalas agenda Melestarikan Pendidikan Terbilang menerusi penghayatan keagamaan, budaya kerja integriti, budaya kerja berprestasi tinggi dan budaya kerja pencapaian hasil berganda serentak memasyarakatkan guru dan memasyarakatkan murid sebagai pemangkin dan pelengkap bagi mempastikan pendidikan Terengganu sentiasa pertama dan teratas.

Bersama-samalah kita mengangkat tinggi kecemerlangan pendidikan Terengganu merealisasikan agenda Terengganu Negeri Anjung Ilmu. Semoga kita bersama-sama menghayati dan menyahut cabaran pendidikan masa kini dan akan datang dengan penuh syukur dan sabar dalam menunaikan amanah pendidikan terbilang Terengganu Negeri Anjung Ilmu. Saya berdoa semoga segala kerja buat persekolahan dan pendidikan para guru hendaknya diberkati, dirahmati dan menjadi ibadah. Syabas, tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga guru.

Sempena perayaan Hari Guru 2011, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu telah melaksanakan Program Memasyarakatkan Guru, Memasyarakatkan Murid yang melibatkan warga guru, pemimpin masyarakat, ibu bapa, ahli masyarakat dan warga murid serentak seluruh negeri pada 13 Mei 2011 yang lalu. Aktiviti utama program ialah gotong royong membersihkan masjid dan tanah perkuburan Islam. Pada tahun ini, sebanyak 22 buah masjid seluruh negeri Terengganu telah dipilih untuk melaksanakan program ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan aktiviti ini.

Sempena Hari Guru 2011 juga, saya mengucapkan terima kasih kepada pemimpin masyarakat, PIBG, ibu bapa dan ahli masyarakat atas pengorbanan dan sumbangan ikhlas kepada kemajuan dan kecemerlangan pendidikan negeri Terengganu. Pada kesempatan ini juga saya menyeru kepada warga murid negeri Terengganu agar belajar dengan lebih gigih dan berterusan untuk kecemerlangan pendidikan diri serentak memartabatkan pendidikan Terengganu.
Akhir kata saya mengucapkan tahniah, syabas dan terima kasih kepada semua Pengetua, Guru Besar dan seluruh warga sekolah negeri Terengganu kerana telah berjaya mengadakan Majlis Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Sekolah sempena Hari Guru 2011.

Sekian dan wassalam.

RAZALI BIN DAUD
Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu
Pejabat Pengarah Pelajaran
Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu
16 Mei 2011

PERUTUSAN HARI GURU 2011 : MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

Y.A.B. TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Pendahuluan

Tanggal 16 Mei setiap tahun seluruh negara akan meraikan Hari Guru sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan kaum guru. Justeru, marilah kita semua bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita dapat menyambut Hari Guru kali ke-40 pada tahun ini.

”Selamat Hari Guru” dan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan terhadap komitmen, keikhlasan, dedikasi dan prestasi tinggi para guru kepada bangsa dan negara. Memperingati hari besar untuk guru membolehkan kita mengenal dan mengakui jasa guru tiada tolok tandingnya.

Pemilihan tema Hari Guru tahun ini iaitu “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” pada saya amat tepat kerana guru merupakan pemangkin dan penjana kepada transformasi negara, kerana daripada gurulah anak-anak kita mula mengenali dan mempelajari erti kehidupan.

Tanpa guru maka tidak adalah pendidikan. Sentuhan profesional yang bermartabat, penuh tanggungjawab dan berkualiti membolehkan anak-anak bangsa menerima proses pembelajaran yang terbaik dan bermutu.

Pelaburan segala ilmu pengetahuan, keperibadian, jati diri serta budaya Malaysia oleh warga guru telah memungkinkan kemakmuran negara dapat dikecapi, malahan tanpa guru yang mengajar kita bertatih mengenal A, B, C, tidak akan mungkin kita boleh membaca, menulis dan mengira sekarang.

Prestasi, keteladanan dan kepeloporan para guru yang telah ditunjukkan sejak sebelum merdeka sehingga kini merupakan semangat dan tradisi perjuangan yang perlu terus diabadikan dalam diri guru. Cetusan semangat perjuangan ini sememangnya penentu harapan masa depan negara dan tidak berlebihan jika dikatakan transformasi negara adalah dipertaruhkan kepada mereka yang bergelar sebagai guru.

Apabila kita mengenang semula sejarah, nilai-nilai kemuliaan guru boleh kita imbasi dengan cerita seorang wanita bernama Hajjah Zainon binti Munshi Sulaiman. Kejayaan yang dicapai dalam pendidikan telah dikongsi dengan masyarakat. Beliau mempunyai kesedaran yang sangat tinggi untuk menjadikan masyarakat pandai membaca dan menulis, kerana ilmu merupakan kunci dalam membentuk jati diri. Menyedari pentingnya ilmu, maka Zainon yang kita lebih kenali sebagai Ibu Zain telah menubuhkan sebuah sekolah di Pasuh Jaya, Negeri Sembilan.

Usaha Ibu Zain meningkatkan pendidikan anak bangsa diteruskan apabila beliau mengasaskan sekolah agama petang, yang juga merupakan sekolah agama perempuan pertama di Johor. Jasa Ibu Zain tambah bermakna selepas pendudukan Jepun di bumi Malaya. Beliau menjalankan kegiatan dakwah bagi membantu memulihkan akhlak golongan wanita yang terpengaruh dengan tentera Jepun, selain membantu memulihkan semangat mereka yang dianiaya oleh mereka.

Dalam usaha mencapai kemerdekaan negara, Ibu Zain telah mencurahkan setia bakti demi sebuah kemerdekaan. Tanpa usaha gigih seorang guru seperti Ibu Zain pasti kemerdekaan sukar dicapai. Usaha-usaha pembaharuan yang dilakukan oleh Allahyarhamah Tan Sri Hajjah Zainon binti Munshi Sulaiman dengan ini menunjukkan guru berperanan penting dalam pembangunan negara.

Sesungguhnya, guru menjana pemikiran untuk mengubah nasib bangsa melalui pendidikan.

Kini, matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 juga amat bergantung kepada keupayaan dan kesungguhan warga pendidik dalam menyedia dan menyampaikan pendidikan berkualiti. Tugas guru adalah untuk melaksanakan amanah dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab. Guru perlu melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh, jujur dan ikhlas dalam mendidik anak bangsa supaya menjadi insan sempurna peribadi. Saya yakin, semua guru sentiasa berusaha ke arah memberi pendidikan yang terbaik bagi memenuhi keperluan dan permintaan ibu bapa serta murid-murid.

Berpaksi kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pembangunan modal insan secara holistik melalui sistem pendidikan yang terancang mampu untuk memacu dan mencipta kejayaan negara pada peringkat global.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah merencanakan pelbagai dasar dan program dalam mentransformasikan Sistem Pendidikan Negara.

Transformasi pendidikan perlu dilaksanakan agar terus relevan dengan keperluan negara dan antarabangsa. Melalui transformasi ini, hasrat dan aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara maju dengan rakyat berkemahiran tinggi mengikut acuan sendiri yang seimbang dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan dapat direalisasikan.

Transformasi sistem pendidikan dilakukan dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan dan keupayaan penyampaian agar relevan dengan tuntutan semasa. Saya amat berharap guru menjadi penyambut utama dan melaksanakannya dengan bijaksana. Dalam konteks ini, kualiti guru perlu terus dipertingkatkan terutama aspek pengetahuan dan kemahiran.

Usaha berterusan amat wajar demi meningkatkan lagi kompetensi guru sebagai pelaksana utama kepada transformasi pendidikan negara.

Semua warga pendidik telah sedia maklum dengan ungkapan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), yang merupakan teras kepada reformasi kepada cara kita bekerja. Menyedari pentingnya pendidikan kepada rakyat, maka Pendidikan telah dijadikan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara. Kejayaan NKRA pada tahun lepas, sememangnya amat membanggakan KPM. Peningkatan jumlah murid dalam mengikuti Pendidikan Prasekolah, pencapaian dalam literasi dan numerasi (LINUS) yang memberansangkan, bilangan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang bertambah dan bilangan Guru Besar yang mendapat insentif di luar jangkaan iaitu sebanyak 7 peratus serta pelaksanaan Program Pembangunan Sekolah (SIP) yang telah berjaya menurunkan bilangan sekolah dalam Band 6 dan Band 7, menunjukkan betapa
hebatnya guru-guru di Malaysia ini.

Syabas dan tahniah, saya ucapkan kepada semua Pengetua, Guru Besar dan guru-guru yang telah bekerja keras memastikan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mencapai sasaran yang ditetapkan.

Sebenarnya kejayaan NKRA ini, adalah kejayaan kita semua di mana hasil kerja keras semua pihak terbabit. Semoga usaha ini akan diteruskan lagi untuk pencapaian akan datang.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Pendidikan bermatlamat untuk membina dan membangunkan potensi setiap murid tanpa mengira kaum, agama dan bangsa. Matlamat ini bertepatan dengan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Guru mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam memupuk bibit-bibit perpaduan anak bangsa sejak berada di bangku sekolah lagi. Sekolah merupakan tempat kanak-kanak bersemuka dengan rakan-rakan tanpa mengira perbezaan warna kulit. Oleh itu, saya menaruh penuh keyakinan bahawa guru mampu menjana, menyemai dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid pelbagai kaum sebaik mungkin.

Kita semua tidak dapat menafikan bahawa perubahan terus berlaku dan pengaruh kuasa luar amat mencabar. Kesan globalisasi dan perkembangan ICT menuntut semua warga pendidik berusaha gigih bagi menghasilkan anak didik yang benar-benar berilmu, berakhlak mulia, mempunyai jati diri, dan mampu bersaing pada peringkat nasional mahupun global. Guru memainkan peranan yang utama dalam usaha melahirkan modal insan yang berilmu, kreatif, inovatif dan berketerampilan.

Guru perlu menjadi pemain utama dalam menjana Model Baru Ekonomi bagi melahirkan rakyat yang berpendapatan tinggi.

Saya amat berharap guru dan murid perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk bersama-sama menjana transformasi dalam membangunkan pendidikan negara. Ingatlah bahawa peranan guru sentiasa dinilai oleh masyarakat. Guru perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi suri teladan kepada anak didik dan masyarakat.

Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas. Teruslah berjuang kerana guru penjana Transformasi Pendidikan Negara.

Sesungguhnya Malaysia amat memerlukan khidmat bakti para guru. Murid-murid sayangilah guru anda, mereka umpama ibu dan ayah.

Kepada semua guru, sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa yang telah tuan/puan sumbangkan. Jasa dan pengorbanan ini akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat.

“Selamat Menyambut Hari Guru”.
“Terima kasih cikgu”.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalam mualaikum warah matullahi wabarakatuh.

Kementerian Pelajaran Malaysia
Putrajaya
10 Mei, 2011

Sunday 15 May 2011

Puisi Guru Oh Guru – Usman Awang [1979]

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

PERUTUSAN HARI GURU 2011 : KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan pelajar yang dikasihi sekalian,

1. Terlebih dahulu saya ingin melafazkan rasa syukur kerana sekali lagi dapat kita menyambut Hari Guru yang telah mula diraikan semenjak tahun 1972. Betapa mulia darjat guru sehingga 16 Mei setiap tahun dikhususkan sebagai hari menterjemah rasa penghormatan yang amat tinggi kepada tuan-puan warga pendidik sekalian. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua warga guru atas jasa bakti yang tidak pernah mengenal erti jemu dan lelah dalam usaha mendidik anak-anak bangsa yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri, agama, bangsa dan negara.

2. Pendidikan merupakan wadah utama menentukan perkembangan kemajuan dan kemakmuran negara. Pendidikan menjadi peneraju dalam membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeperibadian mulia. Sejarah telah membuktikan pendidikan berjaya membina tamadun sesebuah masyarakat dan menjamin keutuhan sesuatu empayar. Kegemilangan zaman empayar Rom, keagungan kerajaan Islam Abbasiyah dan kemasyhuran Dinasti Ming di China dicapai melalui kepesatan pelbagai bidang ilmu, termasuk bidang sains dan teknologi.

Siapalah yang dapat menafikan bahawa sesungguhnya tunjang utama dalam kemajuan pendidikan tidak lain dan tidak bukan adalah guru.

3. Sehubungan itu, amat wajarlah pemilihan tema hari guru pada tahun ini iaitu “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”. Peranan dan fungsi guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan. Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat.

4. Pelbagai dasar, polisi dan pembaharuan pendidikan direncana dan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan tujuan untuk memantapkan proses dan pengendalian pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah. Matlamat akhirnya sudah tentulah untuk menghasilkan anak didik yang mampu memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara. Semua dasar dan pembaharuan pendidikan ini tidak akan memberi apa-apa makna tanpa warga pendidik sebagai golongan yang berada di barisan hadapan dalam memacu arus pendidikan agar sentiasa dinamik dan progresif. Di bahu gurulah diletakkan amanah memastikan kelancaran dan keberkesanan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan 1 Murid 1 Sukan (1M1S).

5. Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang selepas ini akan diikuti pula oleh Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) juga tidak akan berjaya tanpa komitmen dan sokongan jitu para guru. Pengharapan yang tinggi digantungkan kepada para guru sebagai pemangkin transformasi untuk memastikan anak didik dipersiap dan diperlengkapkan dengan elemen sains dan teknologi; komunikasi; kerohanian, sikap dan nilai; perkembangan fizikal dan estetika; kemanusiaan juga keterampilan diri. Persekitaran dunia yang semakin hari semakin kompleks dan mencabar menuntut generasi dan anak bangsa masa hadapan dibekalkan dengan keupayaan mapan mengharungi apa juga rintangan yang menerjah.

6. Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi pelan hala tuju Malaysia menjelang tahun 2020 yang dilancarkan pada awal tahun 2010 menggariskan beberapa pelan tindakan berkaitan sistem pendidikan Malaysia. Sasaran utama adalah untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar. Bidang yang menjadi tumpuan adalah prasekolah, kemahiran asas literasi dan numerasi, Sekolah Berprestasi Tinggi dan peningkatan prestasi Pengetua dan Guru Besar. Namun demikian, secantik dan segah mana pun pelan pendidikan yang direncanakan pasti sukar untuk berjaya tanpa komitmen dan usaha gigih para guru. Betapa besar peranan para guru yang berupaya mencorak dan membentuk generasi masa muka.

Warga pendidik yang diraikan sekalian,

7. Sesuatu yang pasti, transformasi dalam pendidikan akan terus berlaku. Kenyataan ini adalah selaras dengan aspirasi Malaysia menjadi negara maju dengan acuan tersendiri yang mengambil kira kepercayaan, budaya dan nilai setempat yang terpelihara sekian lama. Justeru saya menyeru agar warga pendidik sentiasa bersedia untuk menyambut sebarang perubahan pendidikan bagi diterjemahkan semasa proses P&P dalam bilik darjah. Wahai guru, begitu tinggi harapan yang disandarkan oleh masyarakat kepada anda semua. Berikanlah tumpuan sepenuhnya terhadap tanggung jawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum, kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didikmu. Ketahuilah bahawa golongan pendidik bukanlah golongan yang dipinggirkan dalam setiap perancangan kerajaan di peringkat nasional.

8. Pihak kerajaan tidak pernah sekali-kali memandang sepi jasa bakti yang dicurahkan oleh para guru. Pelbagai insentif dan inisiatif disediakan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin. Keprihatinan kerajaan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha seperti menubuhkan jawatankuasa mengkaji beban tugas guru, cadangan mewujudkan jawatan pembantu guru, menambah baik infrastruktur sekolah, menyediakan peluang guru-guru untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan menambah kuota pengetua serta guru cemerlang sehingga ke peringkat JUSA C. Sekadar menyebut beberapa contoh, sehingga Disember 2010, kuota Guru Cemerlang Gred DG54 Sekolah Menengah telah ditambah menjadi 166 dari jumlah asal sebanyak 100 kuota manakala bagi Guru Cemerlang Gred DG52 Sekolah Menengah menerima pertambahan sebanyak 166 kuota menjadikannya berjumlah 416 daripada kuota asal sebanyak 250.

9. Keprihatinan kerajaan juga adalah menyeluruh tanpa garis sempadan. Cadangan penstrukturan semula pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan bagi guru-guru di Sabah dan Sarawak membuktikan bahawa bidang pendidikan, guru-guru dan murid-murid walau di mana sahaja berada menjadi keutamaan dalam agenda semasa kerajaan. Konsep pendemokrasian pendidikan sentiasa dipraktiskan oleh pihak KPM bagi memastikan peluang mengikuti pendidikan berkualiti dapat dikecapi secara sama rata di seluruh negara tanpa mengira batas geografi, gender, tahap sosio ekonomi, bangsa dan
fahaman politik. Tiada istilah diskriminasi dalam sistem pendidikan negara. Semua kanak-kanak mendapat hak yang adil dan saksama dalam konteks pemerolehan ilmu. Pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir. Sekolah pendidikan khas dan kelas integrasi pendidikan khas disediakan bagi kanak-kanak kelainan upaya. Kanak-kanak dalam kalangan kurang berkemampuan pula diberi bantuan melalui Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, Rancangan Makanan Tambahan, Skim Bantuan Tuisyen dan Bantuan Pakaian Seragam Pasukan Beruniform. Manakala bagi kanak-kanak yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah layak menerima Biasiswa Kecil Persekutuan atau Program Pelajar Projek Khas Sekolah Berasrama Penuh.

10. Menyedari tanggung jawab dan fungsi guru yang amat besar dan penting, pastilah bukan calang-calang calon yang layak dipilih bertugas di sekolah dan dipanggil ‘cikgu’. Sehubungan itu, KPM telah mengambil langkah memperkemas dan menambah baik syarat dan kriteria pengambilan guru pelatih bagi kursus pra perkhidmatan. Pencapaian akademik yang baik, penglibatan aktif dalam kokurikulum, pencapaian MteST dan INSAK (Inventori Sahsiah Keguruan), prestasi temuduga individu dan kumpulan dan ujian bertulis Bahasa Inggeris diambil kira bagi sebelum seseorang calon guru pelatih dipilih bagi menjamin kualiti pendidik yang dikeluarkan oleh institusi keguruan. Langkah untuk meningkatkan profesionalisme guru akan meningkatkan martabat keguruan untuk terus dihormati, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

11. Usaha memartabatkan profesion keguruan tidak akan mencapai sasaran jika dirancang dan dilaksanakan pada peringkat kerajaan atau kementerian sahaja. Warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu memainkan peranan yang berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing. Guru janganlah jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran semasa dan sentiasa berfikiran proaktif, kreatif serta inovatif. Saya juga ingin menyarankan agar guru-guru mengaplikasi dan mengamalkan kaedah pembelajaran dan pengajaran terkini seiring dengan proses globalisasi agar kekal relevan dan mampu menarik minat murid-murid untuk menimba ilmu.

12. Warga guru yang dihargai sekalian, anda semua merupakan insan yang dianugerahkan dengan kegigihan dan kecekalan yang amat tinggi. Biar acap kali diterjah dengan dugaan dan cabaran dalam berbagai bentuk, kubu kesabaran kekal teguh dan kental. Teruskanlah melaksanakan amanah yang diberikan dengan tulus, berpaksikan integriti dan berdasarkan etika perkhidmatan. Imej profesion keguruan pasti akan dapat ditingkatkan. Saya juga ingin menyeru agar para guru semua mematuhi tata cara yang ditetapkan dalam menangani isu persekolahan terutama yang berkaitan dengan disiplin murid. Tanganilah setiap masalah yang timbul secara berhikmah. Nasihatilah murid-murid dengan lemah lembut dan sentuhlah hati mereka dengan keluhuran, keikhlasan dan kemurnian jiwa guru semua.

13. Akhir kalam, renungkanlah semula peranan dan tanggung jawab tuan-tuan dan puan-puan semua sebagai penjana transformasi pendidikan negara. Ketinggian kedudukan warga pendidik dalam masyarakat tidak akan tergugat selagi warga pendidik semua jelas dengan misi dan matlamat yang ingin dicapai serta tidak mudah berputus asa. Sebagai pemimpin kepada anak didik, saya berharap agar guru menghayati kata-kata Khalifah Abdul Malik bin Marwan ini, "Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat".

WARGA PENDIDIK YANG DIKASIHI SEKALIAN
TERIMA KASIH CIKGU … “SELAMAT HARI GURU”!

Datuk Abd. Ghafar Mahmud
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Saturday 14 May 2011

Hari Guru 2011 : Perutusan YAB Dato' Seri PM

Lagu Tema Hari Guru 2011



GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

Bersatu Kita Menuju Paradigma Yang Baharu
Satu Tekad Dan Harapan Menyahut Cabaran Dunia
Pendidik Berkualiti Demi Mencapai Visi
Dengan Azam Yang Murni Membentuk Akhlak Terpuji

Guru Mendidik Insan Dengan Setulus Hati
Membimbing Generasi Masa Depan
Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
Menjayakan Hasrat Yang Murni Satu Malaysia

Pendidik Berinovasi Menghasilkan Kreativiti
Bersedia Hadapi Cabaran
Arus Tanpa Sempadan

Pendidik Yang Berkualiti
Membentuk Akhlak Terpuji
Mengimbangkan Rohani
Jati Diri Dan Jasmani

Guru Mendidik Insan Dengan Setulus Hati
Membimbing Generasi Masa Depan
Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
Menjayakan Hasrat Yang Murni Satu Malaysia
Satu Malaysia… Satu Malaysia

Lagu & Lirik : Rosman Adam

Lagu Guru Malaysia



Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putera puteri negara kita

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun negara kita
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu ... Membina ...
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu ... Membina ...
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan
Tunai tetap kami tunaikan

Ikrar Hari Guru


Bahawasanya kami Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami.

Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

Tema-Tema Hari Guru

2011 Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
2010 Guru Pembina Negara Bangsa
2009 Guru Pembina Negara Bangsa
2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001 Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama
2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975 Guru dan Pembangunan Negara
1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

Friday 6 May 2011

Kem Motivasi Kecemerlangan 2011

Tarikh : 05 Mei hingga 07 Mei 2011
Lokasi : Pusat Kokurikulum Daerah Hulu Terengganu, SK Menerong

Warga SK Menerong...

Warga SK Menerong...

www.satisfaction.com