SK Menerong [TBA 5014] merupakan sebuah sekolah yang terletak di dalam daerah Hulu Terengganu. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) Luar Bandar. Proses P & P di sekolah ini berjalan pada sidang pagi sahaja. Pada waktu petang, bilik-bilik darjah digunakan untuk kelas Fardhu Ain (KAFA) bagi murid Tahun 2, 3, 4, dan 5 yang diadakan pada hari Ahad, Isnin, dan Rabu sahaja.
Talian Tel. : 09-6125625
Talian faks.: 09-6129954
Alamat email : skmenerong@gmail.com

Renungan...

Sunday 9 September 2012

Tip mudah hilangkan stress atau tekanan untuk calon-calon UPSR 2012


Setelah sekian lama berjuang dalam pelajaran, tibalah masanya murid tahun enam akan menduduki peperiksaan UPSR pada 11-13 Sepetember 2012. Saya terpanggil untuk menitipkan beberapa coretan petua untuk menjadi rujukan murid-murid bila berhadapan dengan keadaan panik dan tertekan.

Pertamanya kita harus mengesan tanda-tanda panik atau tekanan yang berlaku. Tanda-tanda tekanan yang sering berlaku kepada calon UPSR adalah seperti berikut:
·         bimbang… perubahan tingkahlaku
·        rungsing….tiada selera atau terlalu berselera makan
·         tidak boleh tidur atau semakin kuat tidur
·         murung, sensitif, marah, sedih dan resah gelisah

Bagaimana caranya untuk menghilangkan rasa tekanan ini….

1.     Semestinya kita sebagai umat Islam harus memperbanyakkan bacaan al-Quran dan sembahyang sunat selain sembahyang lima waktu.

2.    Murid-murid boleh mengira dangan perlahan atau mengira dalam hati. kira (bilang 1,2,3,4,5,6,7,8,9,10) sehingga murid-murid berasa tenang.

3.    Semasa berada di rumah atau sebelum turun ke dewan peperiksaan murid-murid boleh menyiram pokok bunga dengan mengunakan getah paip. Hujung getah paip diletakkan di muka hadapan ibu jari dan pancurkan air tersebut kerana di sekitar muka depan ibu jari ada urat-urat yang boleh menenangkan jiwa seseorang.

4.    Ambil sehelai kertas dan sebatang pen. Buat bulatan di atas kertas tersebut dengan mengunakan pen sehingga murid-murid berasa tenang.

Diharapkan dengan sedikit tips itu dapat meredakan tekanan yang dihadapi oleh murid-murid clon UPSR 2012.

Sekian wasalam.

Wan Abdul Razzak Wan Yaacob
Guru Bimbingan Dan Kaunseling (Kaunselor)
SK Ceneh Baru, Kemaman
XXX-9461063

Dipetik daripada Laman Blog Unit Rendah, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu [http://unitrendahspsjpnt.blogspot.com/]

Surat Terbuka Kepada Calon UPSR 2012 Terengganu


Assalamualaikum anak-anak calon UPSR Terengganu 2012

Apa khabar kalian? Semoga semuanya sihat dan bersemangat. Tenang dan tenteram. Masa pertarungan yang dinanti sekian lama kian mampir. Usah gentar, usah takut. Ketakutan hanyalah ada pada jiwa sang pengecut. Kamukan bukan insan seperti itu. Tidak! Kamu pahlawan dan harapan yang telah diasuh dan dilatih oleh para pendeta untuk pertarungan ini.

Anak-anak kami yang berani,

Sebelum melangkah ke gelanggang pada 11,12 dan 13 September 2012 nanti ingin kami berpesan dan menitipkan beberapa petua agar selari pencak dengan rentaknya, selagu seirama  buah gurindamnya serta arif bijaksana mentafsir tipu muslihat persoalannya.

Pertama jangan alpa membaca Bismillah, kunci pembuka resah dan susah. Berkatnya tidak payah dicerita. Semoga dengan rahmat namaNya segala urusan bakal menjadi mudah dan sempurna. Namun ingat, sebelum turun ke gelanggang salami tangan ibu ayah yang dikasihi. Mohon keampunan dan restu. Insya’allah doanya mustajab serasi dengan izin dan kehendak Allah. Mudah-mudahan pertarungan menjadi mudah, kejayaan menjadi milik dengan gah.


Anak-anak yang budiman,

Jangan sesekali bergopoh-gapah, resah-gelisah. Sediakan awal segala peralatan dan keperluan. Syaitan sentiasa mahu kita lalai dan kucundang. Justru lawan syaitan itu dengan ketenangan dan kebijaksanaan. Teliti soalan dan jawapan dengan minda sejati dan pandangan mata hati bukannya gopoh-gapah membuta–tuli. Biar nampak mudah namun sabar, jangan terpesona godaan syaitan madah berhelah. Insya’allah dengan “ketenangan dan kesabaran” yang kusut dapat dilerai, yang sukar dapat diungkai.

Anak-anak yang bijaksana,

Sesudah selesai sesuatu pertarungan dan didapati ada berlaku sedikit kesilapan tingkah dan langkah, jangan sesal dan gunda-gelana. Jangan terbuai dalam lamunan emosi hingga hilang fokus dan kosentrasi. Kesilapan kecil bukanlah pembunuh kepada kemaraan perjuangan yang lebih besar. Tumpukan segala daya dan tenaga untuk memenangi dan menguasai pertarungan seterus nya. Jadikan kesilapan yang ada itu guru untuk mengajar kita supaya bijaksana,sabar dan teliti. Ingat orang yang bijaksana itu, “Apa yang diusaha dan dicapai hari ini lebih baik dari semalam dan apa yang diusaha dan dicapai besok lebih baik dari hari ini”.

Anak-anak pewaris bangsa,

Jangan sesekali memandang enteng pertarungan ini. Pertarungan UPSR ini adalah yang pertama dan terakhir. Tiada lagi pertandingan ulangan sama ada menang atau kecundang. Tidak ada. Oleh itu guna peluang ini sebaik mungkin. Jangan undur dan mengaku kalah. Kamu adalah sang juara terhebat. Harapan untuk membawa obor amanah dan maruah diri,keluarga,bangsa,agama dan negara pada masa depan. Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains Mara dan bermacam lagi sekolah hebat sedang menunggu kamu. Kamu adalah permata kami yang perlu dicanai di sekolah-sekolah hebat ini agar gemerlap menyinari semesta tamaddun bangsa pada masa depan. Jangan lepas peluang ini.

Rebut, rebut, rebut dan rebut.

Anak-anak yang bersemangat waja,

Katakan kepada dirimu sendiri..
Jika ada 1,000 manusia yang beroleh 5A UPSR 2012
Akulah salah seorang daripadanya….

Jika ada 100 manusia yang beroleh 5A UPSR 2012
Katakan kepada dirimu sendiri..
Akulah  salah seorang daripadanya…

Jika ada 10 manusia yang beroleh 5A UPSR 2012
Katakan kepada dirimu sendiri…
Akulah salah seorang daripadanya…

Jika ada 1 sahaja manusia yang beroleh 5A UPSR 2012
Katakan kepada dirimu sendiri..
AKUlah itu….

Anak-anak kami yang kami kasih kami doakan…

Ya Allah Ya Tuhan Kami,
Berikah anak-anak kami yang bakal menduduki UPSR
Kekuatan minda, jiwa, rohani dan spiritual,
Campak ke dalam hati mereka  ketenangan dan keberanian..

Ya Allah Ya Rahim
Dengan sifat penyayang dan pengasihMU
Berikan kesihatan yang mantap serta terhindar dari
Segala penyakit dan musibah sepanjang
Menduduki ujian UPSR ini…
Lapang dan permudahkanlah urusan mereka
menghadapi ujian ini agar nanti bakal
menjadi anak-anak pintar soleh mengenang budi
serta pendokong ummah dan agamaMu
dipersada dunia dengan  cemerlang dan terbilang.

Ya Allah…
Hanya kepadaMu kami memohon
Keampunan dan pertolongan
Amin….

Salam Perjuangan

USR Blogger Team
JPN Terengganu
09.09.2012
http://unitrendahspsjpnt.blogspot.com/

Monday 3 September 2012

Salam Kemerdekaan ... Kekalkan Kestabilan dan Keharmonian Negara...


Warga SK Menerong...

Warga SK Menerong...

www.satisfaction.com