SK Menerong [TBA 5014] merupakan sebuah sekolah yang terletak di dalam daerah Hulu Terengganu. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) Luar Bandar. Proses P & P di sekolah ini berjalan pada sidang pagi sahaja. Pada waktu petang, bilik-bilik darjah digunakan untuk kelas Fardhu Ain (KAFA) bagi murid Tahun 2, 3, 4, dan 5 yang diadakan pada hari Ahad, Isnin, dan Rabu sahaja.
Talian Tel. : 09-6125625
Talian faks.: 09-6129954
Alamat email : skmenerong@gmail.com

Renungan...

Saturday, 18 February 2012

PELANCARAN MINGGU ANTI DADAH 2012 : PERUTUSAN PPDHT


TEKS UCAPAN TUAN HAJI SHAFRUDDIN BIN HAJI ALI HUSSIN

PEGAWAI PELAJARAN DAERAH HULU TERENGGANU

SEMPENA PELANCARAN MINGGU ANTI DADAH DAERAH HULU TERENGGANU TAHUN 2012


Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Pengetua, guru besar, guru-guru penolong kanan ,guru-guru dan para pelajar Daerah Hulu Terengganu yang dirahmati Allah sekalian,


Sebagaimana yang kita sedia maklum, tanggal 19 Februari setiap tahun diisytiharkan sebagai Hari Anti Dadah Kebangsaan. Pengisytiharan ini dibuat oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia pada 19 Februari 1983. Ini menunjukkan negara kita amat komited untuk memerangi musuh nombor 1 negara ke arah mencapai sasaran Malaysia Bebas Dadah.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua sekolah kerana berjaya mengadakan Majlis Pelancaran Minggu Anti Dadah serentak di Daerah Hulu Terengganu pada hari ini.Semoga melalui aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan ini akan dapat menyemai mesej benci dadah di kalangan pelajar dan seterusnya mampu melahirkan pelajar yang mempunyai benteng diri yang padu yang mampu menangkis asakan pengaruh najis dadah yang kian membimbangkan dewasa ini.Seterusnya visi dan misi kita untuk melihat sekolah-sekolah di Daerah Hulu Terengganu bebas najis dadah akan menjadi realiti ,insyaallah.

Tuan-tuan ,puan-puan dan para pelajar sekalian,

Melalui ujian pengesanan pengambilan dadah(Ujian Urin) di kalangan pelajar tahun 2011 didapati 25 orang pelajar positif dadah dan 29 orang mengaku mula terbabit dengan penyalahgunaan dadah di Daerah Hulu Terengganu.Walaupun peratusnya amat kecil , iaitu kira-kira 0.30% daripada keseluruhan pelajar daerah ini , namun bilangan ini cukup membimbangkan kita kerana kes ini membabitkan pelajar yang masih di peringkat sekolah menengah rendah iaitu tingkatan 2 dan 3.Kita juga bimbang dengan perkembangan terkini mengenai pertambahan tangkapan pihak polis membabitkan pelajar kita yang terbabit dengan penagihan dadah yang tersiar di dada akhbar.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, kebanyakan kes dadah di daerah ini merupakan kes pengambilan methamphetamine atau pil kuda.Menurut pakar Urologi Pusat Perubatan UKM, Prof Madya Dr Zulkifli, pil kuda merupakan dadah perangsang atau dadah sintetik yang membawa pelbagai kesan buruk dalam jangka waktu yang singkat.Mengikut Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pula, dadah sintetik ini lebih berbahaya daripada berbanding dadah asli.Bermula dengan kerosakan gigi ,pundi kencing dan degupan jantung menjadi tidak normal,diikuti dengan kerosakan sistem saraf yang mengakibatkan sawan dan jika diambil berterusan akan membawa maut akibat serangan jantung dan pendarahan otak.Dari aspek psikologi pula, seseorang yang bergantung hidup kepada pil kuda akan menjadi ganas, cepat marah, tidak boleh tidur, paranoid , diikuti oleh halusinasi dan akhirnya menjadi gila.Pengambilan pil kuda yang berterusan boleh menyebabkan pergantungan kekal kepada dadah ini dan akhirnya berhadapan dengan maut. Dadah, sekali mencuba , derita selamanya harus dihayati oleh setiap pelajar.

Sehubungan dengan itu, pihak sekolah mesti merangka dan melaksana pelbagai strategi dan pendekatan Pendidikan Pencegahan Dadah secara bersungguh-sungguh dan penuh kesedaran. Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah adalah berteraskan empat pendekatan iaitu Kurikulum, Kokurikulum, Pembangunan Sahsiah dan Pengurusan Kepimpinan. Gerak gempur membanteras dadah di peringkat sekolah perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu tanpa erti jemu membabitkan semua warga sekolah, ahli dan pemimpin masyarakat setempat serta semua agensi sekitar. Mesej bahaya dadah boleh diterapkan dan disampaikan menerusi isi pelajaran dalam pelbagai mata pelajaran semasa proses pengajaran dan pembelajaran.Mesej hidup sihat tanpa dadah dalam gerak kerja kokurikulum dan sukan juga akan mampu melahirkan pelajar yang sihat, ceria,dan berfikiran positif.

Tuan-tuan ,puan-puan dan para pelajar sekalian,

Selain itu, program pemantapan sahsiah dan jatidiri perlu diperhebat di semua sekolah. Konsep kepimpinan melalui teladan, “idola”, “karisma” harus dipraktikkan setiap masa kerana ia akan dikuti, dipelajari dan diamalkan oleh pelajar sehingga menjadi sebati dan kekal sebagai sebahagian daripada perwatakan mereka. Nilai-nilai positif mesti diterapkan dan dititikberatkan sepanjang masa sama ada di sekolah dan di luar sekolah agar selari dengan matlamat pendidikan melahirkan insan berkualiti dan berketrampilan.

Seterusnya melalui strategi pengurusan dan kepimpinan pula , diharap dapat menggerakkan Jawatankuasa Pendidikan Pencegahan Dadah peringkat sekolah bekerjasama dalam satu pasukan melalui perkongsian “smart partnership” dan “strategic partnership” untuk meningkatkan kepakaran, pengalaman, pengetahuan dan kemahiran dalam mengendalikan masalah yang berkaitan dadah. Oleh itu pihak pentadbir sekolah harus bergerak lebih proaktif untuk menjalankan program dan aktiviti pendidikan pencegahan. Persatuan ibu bapa dan guru, persatuan penduduk setempat dan agensiagensi sekitar perlu memainkan peranan secara aktif dalam merangka dan melaksanakan program pendidikan pencegahan dadah. Semua pihak perlu dilibatkan secara langsung dalam semua bentuk program pendidikan pencegahan dadah.

Saya sedar bahawa tugas, peranan dan tanggungjawab memerangi masalah dadah ini adalah amat berat dan mencabar. Walau bagaimanapun , saya amat yakin bahawa dengan semangat dan tekad yang tinggi, istiqamah dan keazaman yang jitu, gerakan secara menyeluruh dan bersepadu semua pihak,terutamanya pihak sekolah, kita mampu menggenggam kejayaan. Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Terengganu akan terus mendokong dan menyokong usaha menangani gejala negatif khususnya membabitkan kes disiplin seperti ponteng sekolah,salahlaku jenayah,Vandalisme,gejala sosial dan penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar .Kita bukan sahaja ingin jadi pendahulu dalam kecemerlangan peperiksaan awam UPSR,PMR,SPM dan STPM tetapi juga kegemilangan dalam pembinaan sahsiah dan keperibadian pelajar.Penurunan dalam kes-kes disiplin dan najis dadah sudah pasti akan menjadi pemacu ke arah pencapaian ”Hulu Terengganu Cemerlang (HTC) 2012 ” .

Akhir kata, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Terengganu akan terus berusaha mempertingkatkan program dan aktiviti Pendidikan Pencegahan Dadah terutamanya langkah pencegahan di semua peringkat,khususnya di sekolah-sekolah dengan melibatkan semua agensi sesuai dengan tema “1Malaysia Membanteras Dadah” demi merealisasikan sekolah bebas dadah.

Sekian.
Wabillahitaufik Walhidayah.Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

No comments:

Warga SK Menerong...

Warga SK Menerong...

www.satisfaction.com


UPSR 2009

UPSR 2009