SK Menerong [TBA 5014] merupakan sebuah sekolah yang terletak di dalam daerah Hulu Terengganu. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) Luar Bandar. Proses P & P di sekolah ini berjalan pada sidang pagi sahaja. Pada waktu petang, bilik-bilik darjah digunakan untuk kelas Fardhu Ain (KAFA) bagi murid Tahun 2, 3, 4, dan 5 yang diadakan pada hari Ahad, Isnin, dan Rabu sahaja.
Talian Tel. : 09-6125625
Talian faks.: 09-6129954
Alamat email : skmenerong@gmail.com

Renungan...

Saturday 28 January 2012

MajalahSains.Com : FENOMENA RIBUT MATAHARI

Fenomena Ribut Matahari Cetus Kebimbangan
by editor on Jan 24, 2012 • 4:53 pm

Fenomena ledakan yang berlaku di matahari yang dikaitkan dengan ribut matahari telah berlaku pada hari Isnin 23 Jan 2012 . Ledakan terkini atau aktiviti matahari terkini dicatatkan sebagai yang paling kuat sejak tahun 2005, menurut Doug Biesecker, pakar astrofizik dari U.S National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA). Walaubagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang boleh mencetuskan malapetaka di bumi, ujarnya lagi.

Fenomena ledakan matahari mencetuskan radiasi gelombang elektromagnetik yang diikuti dengan radiasi gelombang dalam bentuk partikel proton. Selain itu, ledakan juga telah menghamburkan jisim korona (Coronal Mass Ejection-CME) ke angkasa iaitu plasma bertenaga tinggi dari matahari.

Radiasi partikel bertenaga tinggi dan hamburan jisim korona sememangnya berkait rapat dengan fenomena letusan matahari. Partikel bertenaga tinggi akan tiba ke bumi dalam jangka masa 1-2 hari sementara radiasi elektromagnetik akan mencecah bumi dalam masa 8 minit.

Menurut laporan Goddard Space Weather Lab, hamburan jisim korona dijangka akan tiba ke bumi pada hari selasa atau rabu jam 21.18.

Selain bumi, planet-planet lain yang berada di sekitar matahari turut merasai kesan dari fenomena ledakan dari ledakan tersebut. Planet Marikh akan merasai kesan tersebut pada hari Rabu bersamaan 24/Jan.

Menurut Doug Biesecker, CME yang tercetus bergerak dengan halaju 6.4 juta kilometer/jam menuju bumi. Jumlah bahan yang terbebas dalam proses tersebut dianggarkan mencapai berjuta-juta kilogram.

Pelbagai kesan akibat partikel bertenaga tinggi dan CME yang tercetus yang perlu diawasi menurut pakar. Antaranya ialah gangguan kecil fungsi satelit, gangguan sistem komunikasi dan juga GPS. Walaubagaimanapun, menurut laporan tiada perkara buruk yang serius akan berlaku ke atas manusia.

Menurut Kobus Olckers, penyelidik yang bertugas di Ises Regional Space Weather Warning Centre, Afrika Selatan, planet bumi dilapisi oleh medan magnet.

Partikel-partikel yang terhasil dari letusan matahari itu tidak membahayakan nyawa manusia bumi kerana dihalang oleh medan magnet. Sekiranya ia boleh mengancam nyawa manusia, ianya telah berlaku semalam (Isnin 23/Jan) menurutnya lagi.

Kesan aktiviti matahari yang mencetuskan ledakan yang paling buruk pernah direkodkan berlaku pada abad ke-19. Ketika itu kesan ketara yang berlaku ialah gangguan sistem telegraf. Gangguan yang berlaku pada tahun 1989 mengakibatkan kawasan Quebec di Kanada mengalami gangguan elektrik selama 9 jam.

Walaubagaimanapun, orang ramai terutamanya mereka yang tinggal di Asia dan Eropah masih boleh menikmati keindahan aurora yang terhasil dari fenomena ini.

Sumber : BBC

Fenomena Aurora dari Ribut Matahari
by editor on Jan 25, 2012 • 1:42 pm

Hamburan partikel bertenaga tinggi (Coronal Mass Ejection) dari gelombang ribut matahari selasa lalu telah menghasilkan pemandangan yang mengkagumkan di langit di sebahagian besar kawasan di hemisfera utara. Gelombang elektromagnetik yang menembusi atmosfera telah menghasilkan fenomena cahaya berwarna-warni yang dikenali sebagai Aurora Borealis atau Northern Lights.

Kumpulan pengkaji astronomi serta pelancong tidak melepaskan peluang untuk melihat pemandangan yang jarang-jarang berlaku tersebut. Ada antara mereka yang sanggup menyewa kapal persiaran untuk melihat lebih jelas fenomena aurora tersebut di bahagian utara negara Scandinavia.

John Mason, seorang ahli astronomi dari Britain berkata “ia merupakan satu pemandangan yang unik, indah dan mengkagumkan. Saya melihat aurora pertama kali 40 tahun yang lalu dan kali ini adalah yang paling cantik pernah saya saksikan” kata beliau di atas dek kapal MS Midnatsol di utara Norway.

Pemandu pelancong di Jukkasjarvi, Sweden, Andreas Hermansson menyatakan bahawa aurora kali ini merupakan yang terbesar pernah dilihatnya sejak enam tahun yang lalu. Beliau membawa rombongan pelancong menaiki bas untuk menikmati cahaya aurora yang berwarna kehijauan menari-nari di langit pada petang hari selasa selama lebih kurang satu jam.

Fenomena aurora yang terjadi kali ini juga dilaporkan boleh dilihat di negara-negara yang lebih jauh ke Selatan Eropah seperti Ireland dan Britain sebelum partikel-partikel dari ribut matahari sampai ke atmosfera bumi. Walaubagaimanapun menurut Doug Biesecker dari U.S National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA), cahaya tersebut mungkin datangnya dari angin matahari yang membawa gelombang bertenaga elektrik dan bukan partikel-partikel yang tercetus dari gelombang matahari.

Aurora Borealis yang terhasil kali ini berpunca dari aktiviti matahari yang dikenali sebagai ribut matahari (solar flares) pada titik matahari (sunspot) 1402, pada hari Isnin 24/2/2012). Ledakan ini adalah yang paling kuat pernah direkodkan sejak tahun 2005 dan termasuk dalam kategori M-9. Kategori ini hampir mencecah tahap paling tinggi yang dikenali sebagai X-Extreme. Akibat dari letusan matahari ini, partikel-partikel bertenaga tinggi terbebas dan menghamburkan Jisim Korona (Coronal Mass Ejection) yang bergerak dengan halaju tinggi kira-kira 2.200 kilometer persaat. Ribut matahari sentiasa diawasi kerana ia mampu membawa kerosakan pada satelit dan sistem telekomunikasi.

Sumber : BBC

Kesan Radiasi Ribut Matahari Tidak Membahayakan
by editor on Jan 26, 2012 • 6:07 pm

Banyak SMS dan khabar-khabar angin di negara-negara tertentu yang tersebar tentang bahaya radiasi yang tercetus akibat ribut matahari yang berlaku awal minggu ini. Antara isi kandungan khabar angin tersebut ialah jumlah radiasi yang sampai ke bumi adalah tinggi boleh membayakan kulit. Maka orang ramai harus melindungi kulit mereka dengan krim tertentu untuk mengelakkan bahaya radiasi yang menjejaskan kesihatan.

Di Afrika Selatan, suasana panik tercetus awal minggu lalu akibat SMS dan berita palsu yang menyatakan bahawa kesan ribut matahari akan meragut nyawa manusia dan hidupan di bumi seperti yang dilaporkan di news24.com(24/1/12).

Hakikat bahawa letusan yang mencetuskan ribut matahari membebaskan radiasi sebenarnya memang diakui. Ketika tercetusnya ledakan tersebut, radiasi terpancar dan tersebar ke seluruh angkasa di dalam sistem tatasuria termasuklah ke bumi. Walaubagaimanapun kesannya tidaklah seburuk yang digembar-gemburkan.

Todd Hoeksema, seorang penyelidik dan ahli astronomi dari Stanford University menyatakan, “tahap radiasi Sinaran Ultraviolet (UV) sememangnya meningkat beribu kali ganda ketika aktiviti ledakan matahari berlaku. Walaubagaimanapun, ia hanya berlaku di luar atmosfera bumi. Jumlah Sinaran UV yang sampai ke bumi sama sahaja seperti hari-hari biasa.

Menurutnya lagi, Sinar UV amat kuat dan boleh bertindakbalas dengan atmosfera. Ia kemudian akan memecahkan molekul dan mengionisasikan atom (atom ionization). Ketika sinar UV bergerak ke atmosfera, semakin banyak ia diserap. Kebanyakannya diserap 80-100 batu jaraknya di atas lapisan atmosfera bumi. Melalui proses tersebut, akhirnya jumlah Sinar UV yang mencecah ke bumi sebenarnya adalah sangat kecil dan masyarakat tidak perlu bimbang dengan situasi tersebut. Penyebaran khabar angin yang mengatakan sinaran UV berlebihan dari radiasi akibat ledakan dan ribut matahari tempoh hari akan merosakkan kulit adalah penyebaran yang tidak bertanggungjawab, ujar Todd.

Walaubagaimanapun, tambah beliau apa yang perlu masyarakat tahu ialah Sinaran UV berlebihan, tidak kiralah samada berlaku fenomena ribut matahari ataupun pada hari-hari biasa mampu memberi kesan terhadap genetik dan boleh menyebabkan kanser kulit. Ia memang diakui dalam bidang perubatan.

Dalam isu ribut matahari baru-baru ini, amaran turut dikeluarkan untuk para angkasawan yang berada di luar angkasa walaupun setakat ini tiada bencana yang dilaporkan.

Untuk makluman bagi mereka yang belum mengetahui fenomena yang berlaku, pada hari Isnin bersamaan 23/1/2012 yang lalu satu ledakan besar berlaku di matahari dalam tempoh 7 tahun sejak 2005 yang menghasilkan Hamburan Jisim Korona (Coronal Mass Ejection) yang sampai ke bumi pada 24/1/2012.

Sumber : Space.com

Banyak grafik yang boleh didapati di alamat ini : http://www.majalahsains.com

No comments:

Warga SK Menerong...

Warga SK Menerong...

www.satisfaction.com