SK Menerong [TBA 5014] merupakan sebuah sekolah yang terletak di dalam daerah Hulu Terengganu. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) Luar Bandar. Proses P & P di sekolah ini berjalan pada sidang pagi sahaja. Pada waktu petang, bilik-bilik darjah digunakan untuk kelas Fardhu Ain (KAFA) bagi murid Tahun 2, 3, 4, dan 5 yang diadakan pada hari Ahad, Isnin, dan Rabu sahaja.
Talian Tel. : 09-6125625
Talian faks.: 09-6129954
Alamat email : skmenerong@gmail.com

Renungan...

Saturday 15 May 2010

Perutusan Hari Guru 2010 ... Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu


MAJLIS SAMBUTAN PERAYAAN HARI GURU
PERINGKAT SEKOLAH NEGERI TERENGGANU TAHUN 2010
JABATAN PELAJARAN NEGERI TERENGGANU


Assalamualaikum dan salam sejahtera.


YANG BERUSAHA PENGETUA-PENGETUA, GURU-GURU BESAR, GURU-GURU PENOLONG KANAN, GURU-GURU, KAKITANGAN SOKONGAN, PENGERUSI DAN AJK PIBG, IBU BAPA / PENJAGA DAN MURID-MURID YANG DIKASIHI SEKALIAN

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya sekali lagi kita warga Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah negeri Terengganu dapat menyambut Hari Guru 2010. Sudah menjadi amalan dan tradisi kepada kita warga pelajaran di seluruh pelusuk negara meraikan sambutan Hari Guru pada tanggal 16 Mei setiap tahun. Sambutan ini adalah merupakan penghargaan dan penghormatan kepada warga guru negeri ini sama ada yang masih berkhidmat ataupun yang telah bersara di mana jua berada atas budi, pengorbanan dan perjuangan yang penuh dedikasi membangunkan modal insan gemilang untuk melahirkan generasi bangsa terbilang.

Saya mewakli Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu mengucapkan SELAMAT HARI GURU 2010 kepada seluruh warga guru dan warga sekolah negeri Terengganu Darul Iman yang bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa. Kementerian Pelajaran Malaysia sekali lagi memilih ’Guru Pembina Negara Bangsa’ sebagai tema Hari Guru 2010 kerana tema ini amat bertepatan sekali dengan peranan dan tanggungjawab mulia warga guru menitis ilmu, menitis budi dan memupuk perpaduan di kalangan anak didik selaras dengan gagasan ’1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ seperti yang dihasratkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Pada kesempatan ini, saya mewakili Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu menyatakan rasa terhutang budi dan penghormatan dengan merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah, syabas dan terima kasih kepada semua warga guru dan semua warga sekolah kerana bekerja sehasrat dan bekerja dengan pemikiran menang bersama-sama dengan saya melayari Bahtera Pendidikan BERSAMA MELONJAKKAN PRESTASI PENDIDIKAN untuk kejayaan, kemajuan dan pembangunan pendidikan negeri Terengganu Darul Iman. Menerusi semangat Hari Guru 2010 juga saya menyeru dan mengajak seluruh warga guru dan warga sekolah negeri Terengganu bersama-sama merealisasikan Kelestarian Kecemerlangan Pendidikan Negeri Terengganu.

Sekali lagi saya menyeru dan mengajak semua warga guru sebagai agen pembina negara bangsa menterjemah dan merealisasikan pemikiran besar cetusan idea Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu untuk menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu menerusi agenda Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan agar negeri Terengganu terus unggul dan mendahului zaman dalam mencipta sejarah kejayaan dan kecemerlangan pendidikan. Sebagai tanda penghormatan dan akur setia kita warga guru dan warga sekolah negeri Terengganu kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, marilah kita bangkit serentak, sederap dan sehasrat menunaikan amanah visi dan misi Jabatan Pelajaran negeri Terengganu bagi menjayakan sasaran Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman, iaitu 20 10 5 2 selaras dengan hasrat menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

Sempena Hari Guru 2010 juga, saya menyeru kepada warga murid negeri Terengganu supaya menghayati budaya aktif dan lahap belajar dengan memberi penekanan kepada ’kualiti’, ’kegemilangan’ dan ’kejuaraan’ untuk terus mencipta kejayaan dan sejarah kecemerlangan pendidikan negeri Terengganu.

Akhir kata saya mengucapkan tahniah, syabas dan terima kasih kepada semua Pengetua, Guru Besar dan seluruh warga sekolah negeri Terengganu kerana telah berjaya mengadakan Majlis Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Sekolah sempena Hari Guru 2010.


‘SELAMAT HARI GURU’
’GURU PEMBINA NEGARA BANGSA’
‘TERIMA KASIH CIKGU’

Sekian dan wassalam.


HAJI ARIFFIN BIN HAJI EMBONG
Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu



Pejabat Pengarah Pelajaran
Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu
16 Mei 2010

No comments:

Warga SK Menerong...

Warga SK Menerong...

www.satisfaction.com