TEKS UCAPAN 
YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI 
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN
MALAYSIA 
DI MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN
CEMERLANG 2011 
KEMENTERIAN PELAJARAN
MALAYSIA  
8 JUN 2012 
AUDITORIUM KOMPLEKS E 
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN
PERSEKUTUAN 
PUTRAJAYA 
Bismillahhirramanirrahim 
Assalamu’alaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia, 
YB Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong,
Timbalan Menteri Pelajaran I  
YB Dr. Haji Mohd Puad bin
Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran II 
YBhg. Dato' Dr. Rosli bin
Mohamed,Ketua Setiausaha Kementerian  
YBhg. Tan Sri  Abd. Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah
Pelajaran Malaysia 
Timbalan-timbalan Ketua
Setiausaha dan Timbalan-timbalan Ketua Pengarah Pelajaran 
Ketua - Ketua Bahagian dan
Jabatan 
Dato-Dato’, Datin-Datin,
Tuan-tuan dan Puan-puan  yang dihormati
sekelian,  
Alhamdulillah, bersyukur
kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapatlah kita
bersama-sama di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2011 Kementerian
Pelajaran Malaysia pada hari ini. Pertamanya, saya ingin mengucapkan  tahniah kepada pengurusan Kementerian di atas
penganjuran Majlis ini, bagi memberikan pengiktirafan kepada warga KPM yang
telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang di sepanjang tahun 2011.  
Tuan / Puan yang dihormati
sekelian,  
2.  Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang
dianjurkan setiap tahun adalah merupakan satu bentuk penghargaan ke atas usaha
dan kegigihan anggota perkhidmatan awam yang telah menunjukkan mutu
perkhidmatan yang melampaui dari kebiasaan. Insentif ini diberikan untuk terus
menggalakkan anggota perkhidmatan awam secara amnya untuk terus berusaha dengan
lebih gigih dalam mencapai matlamat yang ditetapkan. Di peringkat KPM, saya
berharap penganugerahan yang diberikan ini akan dapat dijadikan sebagai  pembakar semangat kepada warga Kementerian
yang lain agar terus bekerja keras bagi mencapai matlamat untuk menjadikan  Kementerian Pelajaran sebagai World Class Education Provider.   
3.  Saya dimaklumkan pada tahun ini  seramai 448 orang warga KPM dari pelbagai
peringkat jawatan telah dipilih untuk menerima anugerah pada hari ini. Tahniah
dan syabas diucapkan kepada semua penerima dan saya berharap agar mereka yang
berjaya ini akan terus bersemangat mencurahkan khidmat bakti kepada Negara yang
dicintai ini. Jadikanlah anugerah ini sebagai titik tolak untuk kita terus
memacu pencapaian Kementerian dengan lebih terkemuka setanding dengan
pencapaian anggota perkhidmatan awam di negara-negara maju.  
4.  Namun, apa yang lebih penting, mereka yang
terpilih sebagai penerima anugerah ini  seharusnya menjadi role model kepada yang lain untuk terus berusaha dengan gigih agar
matlamat yang disasarkan tercapai. Kepada mereka yang masih  belum menerima sebarang pengiktirafan,
marilah bersama kita renungkan kata-kata pakar motivasi antarabangsa, Larry Bielat, yang menyatakan  bahawa 
berusahalah, jangan berpuas hati sehingga yang baik menjadi lebih baik
dan yang lebih baik menjadi paling baik. 
Hadirin Hadirat Sekalian, 
5.  Kecemerlangan atau sesuatu kejayaan itu
bukanlah mudah untuk dicapai atau dikecapi tanpa perjuangan dan
pengorbanan.  Saya percaya bahawa kita
semua sentiasa mahu mencapai kecemerlangan dan menginginkan pengiktirafan
terutamanya dalam kerjaya, tetapi tidak semua di antara kita yang sanggup
menyingsing lengan menongkah arus cabaran. 
Oleh yang demikian, bagi meniti hari-hari mendatang yang penuh dengan
ujian dan rintangan, kita perlu menjunjung prinsip-prinsip pengurusan
berkualiti, tadbir urus yang lebih telus serta berpegang teguh pada ajaran
agama masing-masing. Tanpa pegangan hidup dan kawalan jati diri yang mantap,
pastinya kita akan mudah terjerumus ke dalam perkara-perkara yang tidak
diingini seperti salah laku dan penyelewengan. 
6.  Pengumuman YAB Perdana Menteri pada 8 Mac
2012 yang lalu mengenai Sistem Saraan Malaysia yang ditambah baik merupakan
ganjaran kepada semua anggota perkhidmatan awam termasuk warga KPM. Ganjaran
yang diberikan merupakan suntikan motivasi oleh Kerajaan kepada anggota
perkhidmatan awam untuk terus memberi perkhidmatan berkualiti tanpa
sempadan.  
7.  Namun, ingin saya tegaskan di sini  bahawa janganlah kita melaksanakan kerja yang
diamanahkan dengan sentiasa mengharapkan ganjaran dan pengiktirafan sahaja.  Kita seharusnya meletakkan keikhlasan dalam
bekerja sebagai batu asas untuk terus menabur bakti demi kecemerlangan bangsa,
agama dan negara. Pastinya keikhlasan dan kesungguhan itu akan terbalas jua
dengan kebaikan dan kebajikan oleh Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,
InsyaAllah. 
Tuan / Puan yang dihormati
sekalian, 
8.  Sesebuah Kementerian sentiasa dinilai dari
sudut kualiti penyampaian perkhidmatan yang diberikan kerana  pelanggan 
pada ketika ini mahukan hasil atau outcomes
yang boleh diterjemahkan serta memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan.
Keadaan ini menuntut kepada keperluan untuk menghasilkan kerja yang lebih
efektif,  cepat dan tepat.  Malah, 
ekspektasi pelanggan  terhadap
mutu perkhidmatan kini semakin  tinggi,
terutamanya dalam menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan mereka.  
9.  Oleh itu, saya berpandangan bahawa sudah
sampai masanya anggota KPM di segenap lapisan, perlu melaksanakan anjakan
paradigma yang radikal, supaya penyampaian perkhidmatan yang diberikan mempunyai
outcome serta mampu memuaskan hati
semua pelanggan dan stakeholders, tanpa
membelakangkan dasar dan prinsip-prinsip asas perkhidmatan.  
10.  Selain itu, sewajarnya  juga 
terpahat di hati  sanubari kita
bahawa setiap sen  wang  rakyat yang kita belanjakan, seharusnya  memberi pulangan (return of investment)  yang
berganda kepada mereka. Justeru, setiap 
perancangan dan pelaksanaan program atau aktiviti yang ingin dibuat hendaklah
diteliti dengan sebaik mungkin, agar pelaksanaannya dapat memberi impak yang baik,
berjaya mengoptimakan penggunaan semua sumber dan  tidak berlaku pembaziran.   
Tuan / Puan yang dihormati
sekelian,  
11.  KPM merupakan nadi utama dalam proses  pembangunan modal insan negara. Matlamat
untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi  amat bergantung  kepada keupayaan warga Kementerian  ini dalam menjalankan tugas dan amanah yang
diberikan. Tambahan pula, kualiti perkhidmatan warga sesebuah organisasi
merupakan  elemen utama  dalam penentuan  kecemerlangan keseluruhan organisasi,  yang 
merangkumi  dari kumpulan  pengurusan tertinggi sehinggalah kepada
anggota sokongan.  
12.  Oleh itu, penilaian penarafan bintang (Star Rating) ke atas penyampaian
perkhidmatan oleh 
Kementerian-kementerian termasuk KPM oleh pihak MAMPU, pastinya akan
dapat menggambarkan tahap penyampaian 
perkhidmatan  yang telah diberikan
oleh  Sektor  Awam. Oleh itu, saya amat menaruh harapan
yang tinggi agar penilaian kali ini akan memberikan  keputusan yang membanggakan  kepada Kementerian. Namun, ingin saya
tegaskan di sini bahawa apa yang kita lakukan bukanlah hanya untuk menghadapi
penilaian yang  akan dilakukan  semata-mata, tetapi yang lebih penting adalah
untuk memastikan bahawa penyampaian perkhidmatan kita sentiasa berada di puncak
kecemerlangan dan mampu memenuhi keperluan pelanggan.   
Tuan / Puan yang dihormati
sekelian,  
13.  Dalam dunia moden yang serba canggih dan
tanpa sempadan ini, sistem penyampaian amat bergantung kepada faktor penggunaan
ICT, yang seharusnya membantu untuk meningkatkan lagi kualiti penyampaian
perkhidmatan kepada pelanggan. Namum 
demikian, kebergantungan sepenuhnya kepada ICT dalam penyampaian
perkhidmatan  akan menjadikan sesuatu
perkhidmatan yang diberikan lebih bersifat impersonal
dan mekanistik. Justeru itu, saya
menyeru agar dalam menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggan, kita perlu
berusaha untuk mengurangkan krisis komunikasi dengan membiasakan semula
elemen  sentuhan kemanusiaan  bagi 
menangani dan menyelesaikan kes-kes tertentu.  
14.  Sebagai contoh, penggunaan automatic reply di dalam komunikasi secara
emel kadang kala tidak memperlihatkan sensitiviti dan kemesraan kepada
pelanggan bagi situasi yang memerlukan penjelasan lanjut.  Oleh itu, adalah wajar dalam  keadaan tertentu, pertanyaan pelanggan boleh
dijawab dengan memberi penerangan yang lebih jelas serta meletakkan nilai insaniah
dan empati, yang secara tidak langusng dapat mengelakkan pelanggan keliru dan
salah faham.  
Hadirin Hadirat Sekalian, 
15.  Kesibukan dalam bekerja sedikit sebanyak
telah menjadikan masyarakat kini bersikap individualistik. Namun, saya berpandangan
sekiranya kita dapat turut serta terlibat dalam kegiatan sukan dan menyertai
kelab mahupun persatuan, ianya bukan 
dapat membentuk gaya hidup yang lebih sihat, meningkatkan keyakinan
diri, malah semangat kemasyarakatan yang bersatu padu dan penyayang dapat
dipupuk dalam kalangan kita. Saya yakin penerima-penerima anugerah pada hari
ini, yang pastinya cemerlang dalam menjalankan tugas rasmi, juga aktif dalam
aktiviti-aktiviti kemasyarakatan atau kegiatan lain di luar daripada tugas rasmi.
16.  Saya 
juga menyeru kepada semua yang berada di hadapan saya pada hari ini agar
sentiasa bersiap siaga dan bersikap lebih terbuka serta beriltizam untuk
melaksanakan tugas dengan  lebih
berkesan, dan seterusnya mampu menjadi contoh tauladan yang terbaik. Marilah
bersama-sama berganding bahu melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah  diberikan dengan lebih baik agar matlamat
yang telah disasarkan tercapai.    
17.  Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan
ucapan tahniah kepada para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2011
yang diraikan pada hari  ini. Terima
kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan pelaksanaan majlis pada pagi
ini. Saya berharap segala kerjasama dan komitmen yang diberikan selama ini
dapat diteruskan pada masa akan datang.  
Sekian,  terima kasih. 
Wabillahi taufiq wal hidayah,
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
Kementerian Pelajaran Malaysia
Putrajaya 
Dipetik daripada Laman Sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia
Sila klik di sini
No comments:
Post a Comment