SK Menerong [TBA 5014] merupakan sebuah sekolah yang terletak di dalam daerah Hulu Terengganu. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) Luar Bandar. Proses P & P di sekolah ini berjalan pada sidang pagi sahaja. Pada waktu petang, bilik-bilik darjah digunakan untuk kelas Fardhu Ain (KAFA) bagi murid Tahun 2, 3, 4, dan 5 yang diadakan pada hari Ahad, Isnin, dan Rabu sahaja.
Talian Tel. : 09-6125625
Talian faks.: 09-6129954
Alamat email : skmenerong@gmail.com

Renungan...

Thursday 24 June 2010

PEPERIKSAAN DAN ISUNYA.... Satu petikan

UJIAN KHAS GANTI UPSR KE SBP?

PUTRAJAYA 22 Jun – Satu Ujian Khas mungkin bakal menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai penilaian untuk penempatan pelajar ke sekolah berasrama penuh (SBP).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, bagaimanapun ujian itu tidak akan diwajibkan kepada semua pelajar, bahkan diadakan untuk mereka yang berminat memilih sekolah tersebut bagi menyambung pelajaran di peringkat menengah.

“Mungkin Ujian Khas ini akan diselaraskan tetapi bukan dijadikan peperiksaan wajib sebagaimana yang pernah dibuat oleh Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

“Banyak juga kes pelajar yang mendapat 5A tetapi mereka tidak berminat memasuki sekolah berasrama penuh. “Bagaimanapun perkara ini masih di peringkat cadangan dan banyak lagi cara lain yang boleh digunakan untuk memilih pelajar memasuki sekolah ini. Ia akan diumumkan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan RM130,199.70 untuk Asrama Anak Yatim Johor di Aceh, Indonesia sempena lawatan 37 anak yatim dan 12 guru dari asrama itu ke Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Sumbangan itu diterima daripada pelbagai badan korporat dan individu negara ini termasuk Kementerian Dalam Negeri dan sekolah-sekolah negeri Johor bagi pengurusan asrama itu yang dibina sejak empat tahun lalu akibat bencana tsunami.

Dalam pada itu, Mohd. Puad berkata, setakat ini kementerian menerima maklum balas positif daripada pelbagai pihak termasuk tokoh akademik tentang cadangan memansuhkan UPSR dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi membolehkan satu sistem pendidikan secara holistik diadakan.

Di peringkat kementerian, katanya, kajian sudah dijalankan termasuk melihat kepentingan menjadikan vokasional sebagai sistem pendidikan arus perdana bagi mewujudkan sistem dua aliran iaitu akademik dan vokasional.

“Bagaimanapun, maklum balas daripada masyarakat cukup penting kerana pendidikan merupakan perkara dinamik yang perlu ditransformasikan berdasarkan kehendak semasa.

“Kementerian sudah menjalankan kajian kerana sistem pentadbiran sudah berubah sama ada kita mahu menggunakan sistem pembelajaran berorientasikan peperiksaan ataupun sebaliknya,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

SISTEM PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH GANTI PEPERIKSAAN AWAM
KUALA LUMPUR

23 Jun - Sistem pentaksiran berasaskan sekolah mungkin akan digunakan untuk menggantikan sistem peperiksaan awam di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, menerusi sistem itu, Lembaga Peperiksaan akan menentukan bentuk soalan yang boleh dinilai oleh guru dan kemudian akan diukur pencapaiannya.

"Kita gantikan sistem peperiksaan awam kepada satu sistem pentaksiran berasaskan sekolah, ini belum dimaklumkan tetapi sudah dikaji dan didapati mungkin sesuai kerana ia diamalkan di banyak negara.

"Mungkin ia tidak banyak beza berbanding negara lain, pokoknya ia tidak menjejaskan soal pembelajaran iaitu cara guru mengajar dan murid belajar adalah sama.

“Bagaimana kita hendak nilai sama ada peperiksaan awam atau sistem penilaian," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak tergesa-gesa dalam melaksanakan sesuatu dasar seperti cadangan kemungkinan supaya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan.

- Bernama

KEMENTERIAN PELAJARAN MUNGKIN MANSUH UPSR DAN PMR

Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pecapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

"Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti (contohnya) di peringkat SPM sahaja," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh Ahad.

Beliau berkata peperiksaan UPSR dan PMR mungkin akan diteruskan, tetapi sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam.
Katanya pihak kementerian tidak akan gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak mengenainya.

Bernama melaporkan Muhyiddin berkata secara peribadi beliau berpendapat hanya perlu ada satu peperiksaan awam sahaja bagi menilai pencapaian pelajar iaitu di peringkat akhir persekolahan atau sebelum memasuki institusi pengajian tinggi kerana di dalam soal kerjaya pun hanya SPM sahaja yang digunakan.

Namun menurutnya UPSR dan PMR diperlukan untuk membuat penempatan pelajar ke sekolah berasrama penuh atau sekolah aliran tertentu.

Beliau berkata dengan hanya satu sahaja peperiksaan awam, guru dan pelajar boleh menumpukan usaha ke arah menggilap kreativiti, sifat interaktif dan aktiviti ko-kurikulum lain, serta sukan.

Kepada satu soalan, Muhyiddin berkata keadaan di mana jumlah pelajar perempuan cemerlang di dalam pelajaran meningkat bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja tetapi di seluruh dunia.
"Kira-kira 70 hingga 80 peratus pelajar yang memasuki universiti adalah perempuan dan trend ini berlaku bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia," katanya.

Dipetik dari Laman Web Unit Penyeliaan Sekolah Rendah,
Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Terengganu.
http://unitrendahspsjpnt.blogspot.com/

No comments:

Warga SK Menerong...

Warga SK Menerong...

www.satisfaction.com