SK Menerong [TBA 5014] merupakan sebuah sekolah yang terletak di dalam daerah Hulu Terengganu. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) Luar Bandar. Proses P & P di sekolah ini berjalan pada sidang pagi sahaja. Pada waktu petang, bilik-bilik darjah digunakan untuk kelas Fardhu Ain (KAFA) bagi murid Tahun 2, 3, 4, dan 5 yang diadakan pada hari Ahad, Isnin, dan Rabu sahaja.
Talian Tel. : 09-6125625
Talian faks.: 09-6129954
Alamat email : skmenerong@gmail.com

Renungan...

Thursday, 19 January 2012

KOKURIKULUM : PERMAINAN PING PONG

PENCAPAIAN :

Kejohanan Permainan Ping Pong B12 Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia Daerah Hulu Terengganu 2012.

PENYERTAAN
1. Muhammad Aliff Faeizla bin Abd. Hadi
2. Muhammad Syafrudin bin Misnan

Kejohanan Permainan Ping Pong B12 Kumpulan Dinamik Sekolah Rendah 3 (KDSR 3) 2012.

NAIB JOHAN
1. Muhammad Aliff Faeizla bin Abd Hadi

TEMPAT KE-3
1. Muhammad Syafruddin bin Misnan

SAGUHATI
1. Muhammad Jeffry bin Razali
2. Muhammad Ikhwan Hafizi bin Mohd Sipodin

Pengurus Pasukan : Cikgu Zaharuddin bin Abd Razak
Jurulatih : Cikgu Mohd Azlan bin Tahar

Catatan :
Ustaz Mohd Adnan bin Seman
Cikgu Muhammad Syafiq Ta Oo bin Abdullah

Wednesday, 18 January 2012

UJIAN PENGESANAN (TOV) 2012

Ujian Pengesanan (TOV) 2012 akan diadakan pada 29 hingga 31 Januari 2012. Murid yang telibat dalam peperiksaan ini hanyalah murid Tahun 3 hingga Tahun 6 sahaja.

Data Analisis bagi Ujian Pengesanan (TOV) hendaklah dihantar ke Pejabat Pelajaran Daerah masing-masing untuk perhatian Penyelaras UPSR Daerah pada atau sebelum 14 Februari 2012.

Soalan TOV boleh diambil di PKG masing-masing pada 25 Januari 2012 (Rabu).

Jika terdapat sebarang pertanyaan berhubung dengan perkara di atas, sila hubungi En. Nordin bin Ambak (No. h/p: 012-9461746) di Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu di talian 09-6213027 dan no faks: 09-6213028.

Sekian, terima kasih.

“Melestarikan Pendidikan Terbilang”
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

HAJI MOHD ZUBER BIN EMBONG
Ketua Sektor
Sektor Pengurusan Akademik
Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu
b.p.: Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu

Tuesday, 17 January 2012

NUTP Mahu Dilibatkan Dalam Semakan Semula SBPA

16 Januari, 2012 22:07 PM

PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu kesatuan itu dilibatkan dalam pasukan petugas khas yang diwujudkan bagi menyemak semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presiden NUTP Hashim Adnan berkata penglibatan itu dirasakan amat perlu memandangkan NUTP mewakili sejumlah besar guru di seluruh negara.

"Kita juga telah pun mengumpulkan maklumat serta maklum balas yang diterima, untuk dikongsi dengan pasukan tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.

Jumaat lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan penubuhan pasukan petugas itu yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.

Pasukan itu akan dianggotai pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan presiden Cuepacs serta pegawai kementerian berkaitan serta diberi tempoh dua bulan untuk menjalankan semakan semula SBPA.

Setiausaha Agung NUTP Loke Yim Phing pula berkata, SBPA bukan semuanya tidak baik, cuma ada beberapa aspek dirasakan perlu diperbaiki.

Katanya NUTP akan terus memberikan penerangan kepada warga guru dengan menjemput wakil daripada Kementerian Pelajaran untuk memberikan penjelasan kerana ada beberapa perkara dalam pekeliling SBPA terlalu teknikal dan sukar difahami.

"Kita hendak mengelakkan guru keliru seterusnya terpengaruh dengan kenyataan dalam blog yang bermacam-macam," katanya.


-- BERNAMA

Monday, 16 January 2012

TAHNIAH ... Puan Fauzana Mohamed Fazil


Alhamdulillah...
Tahniah kepada Puan Fauzana Mohamed Fazil serta pasangannya yang telah dikurniakan cahayamata yang kedua, seorang putera.

Beliau telah selamat melahirkan bayi berkenaan pada jam 2 petang, 02 Januari 2012 (Isnin) di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Seluruh Warga SK Menerong mendoakan semoga Puan Fauzana akan pulih serta kembali mencurahkan bakti di teratak Menerong.

Saturday, 14 January 2012

PERINGATAN : SISITEM PENGURUSAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (SPPBS)

PERHATIAN
KEPADA SEMUA GURU TAHUN 1 SESI 2011

LAMAN SPPBS TELAH DIBUKA SEMULA SEMENJAK
09 JANUARI 2012

MOHON TUAN/PUAN DAPAT MENGISI DATA YANG DIPERLUKAN SEBERAPA SEGERA, JIKA BERLAKU SEBARANG MASALAH SILA BERHUBUNG TERUS KEPADA
PENYELARAS PEPERIKSAAN ATAU SETIAUSAHA PEPERIKSAAN.




http://apps.moe.gov.my/sppbs

STATUS PENGISIAN SKOR SKPM 2011

Untuk makluman pihak tuan, tarikh tamat pengisian skor SKPM akan tamat pada 20 Februari 2012. Diharapkan agar pihak tuan dapat menyelesaikannya sebelum tarikh tersebut.

Tahniah dan terimakasih kepada semua sekolah yang telah menyelesaikan pengisian skor SKPM. Diharapkan agar komitmen ini akan berterusan.

Sebarang masalah sila hubungi Penyelia ICT PPDHT ( Hasim binHarun hp: 0199336554 )

Sekian, terima kasih.

Hasim Harun
Penyelia ICT PPD Hulu Terengganu

TEKS PERUTUSAN KHAS KPM 2012

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI MAJLIS PERUTUSAN KHAS
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2012

PADA 10 JANUARI 2012; PUKUL 9.00 PAGI
BERTEMPAT DI DEWAN PLENARI,
PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Yang Berhormat Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong
Timbalan Menteri Pelajaran I;

Yang Berhormat Dr. Mohd Puad bin Zarkashi
Timbalan Menteri Pelajaran II;

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Rosli bin Mohamed
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran;

Yang Berbahagia Dato’ Sri Abd. Ghafar bin Mahmud
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;

Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan
Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran;

Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran Malaysia;

Dato’-Dato’, Datin-Datin, Guru-guru, anggota kakitangan dan staf Kementerian Pelajaran Malaysia, pelajar-pelajar, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

PENGENALAN

1. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia serta izinNya, dapatlah kita bersama-sama hadir di Majlis Perutusan Tahun Baru Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi tahun 2012. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua warga pendidik dan seluruh rakyat Malaysia. Kepada warga pendidik khususnya, harapan saya semoga di tahun baru ini sinar kegemilangan dan kejayaan akan terus menerangi kehidupan kita semua yang mempunyai amanah besar untuk meningkatkan akses pendidikan berkualiti di negara kita.

2. Saya berasa bangga kerana pada hari ini seluruh warga Kementerian dari segenap pelusuk tanah air dapat berhimpun untuk memperbaharui tekad dan menyuntik semangat baru bagi melonjakkan mutu pendidikan negara. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas usaha gigih dan komitmen yang telah dicurahkan kepada usaha untuk mencipta pelbagai kejayaan dalam arena pendidikan Negara sepanjang tahun 2011.

3. Sesunguhnya, Kementerian Pelajaran adalah nadi utama dalam usaha untuk membangunkan modal insan yang akan memacu kemajuan negara di masa hadapan. Matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju amat bergantung kepada keupayaan warga Kementerian dalam menyediakan pendidikan berkualiti. Justeru, setiap warga pendidik perlu meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta melipat gandakan usaha bagi melahirkan modal insan yang berilmu, kreatif dan inovatif untuk mengisi keperluan masa kini dan masa hadapan. Usaha murni berterusan oleh warga pendidik dalam melahirkan modal insan yang dihasratkan akan berupaya meningkatkan daya saing negara, melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan sekaligus menjadikan negara kita sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.

4. Sehubungan itu, Kementerian kita telah diberikan satu peruntukan yang besar iaitu sebanyak 37.28 bilion ringgit dalam belanjawan tahun 2012. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana telah meluluskan peruntukan yang besar kepada Kementerian Pelajaran dan memberi keyakinan kepada kita semua sebagai pemangkin utama pembangunan modal insan di Malaysia. Saya berharap agar peruntukan ini kita belanjakan secara cekap dan berhemah agar dapat memberi kesan berganda yang positif kepada pembangunan pendidikan secara menyeluruh.

INFRASTRUKTUR DAN KEBAJIKAN

5. Bagi memastikan kelangsungan pembangunan pendidikan negara, dasar perancangan pembangunan pendidikan Rancangan Malaysia Ke-10 diteruskan dengan matlamat memantapkan infrastuktur dan meningkatkan kemudahan fizikal institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Untuk tahun 2011, Kementerian Pelajaran telah membelanjakan sejumlah 1.03 billion ringgit untuk pendidikan pra-sekolah dan rendah, 795.1 juta ringgit untuk pendidikan menengah dan 29.97 juta ringit telah diperuntukan untuk aliran teknik dan vokasional. Sementara itu, program pembangunan luar Bandar, Sabah dan Sarawak telah menelan belanja sebanyak 525.7 juta ringgit dan sistem pengkomputeran sekolah sebanyak 22.8 juta ringgit.

6. Dalam memastikan akses pendidikan berkualiti diteruskan kepada anak bangsa, sebanyak tiga projek infrastruktur baru dan 1,967 projek sambungan dengan peruntukan sebanyak RM4.58 bilion telah diberikan untuk tahun 2012. Pendidikan Sekolah Bantuan Kerajaan diteruskan dengan memperuntukkan belanja mengurus termasuk emolumen guru dan geran per kapita yang sama kepada semua Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) dan sekolah mubaligh. Usaha menyelenggara sekolah-sekolah daif dan uzur di kawasan Bandar dan luar Bandar akan dilaksanakan dengan menaiktaraf dan menyelenggara 600 buah sekolah yang dikategorikan sebagai uzur dan daif oleh pihak pemantauan audit fizikal yang ditubuhkan oleh Kementerian. Sehubungan itu, peruntukan tambahan yang diperolehi bagi tahun 2012 semasa pembentangan Bajet 2012 iaitu Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah digunakan bagi usaha-usaha membaikpulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan. Bantuan ini juga merangkumi peruntukan sebanyak 500 juta ringgit untuk sekolah-sekolah kebangsaan, manakala 100 juta ringgit masing-masing untuk SJKC, SJKT, sekolah mubaligh dan SABK.

7. Pembangunan pendidikan dan kemajuan murid Orang Asli juga diambil perhatian berat oleh Kerajaan. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi menangani isu-isu pendidikan murid Orang Asli khususnya penyertaan Murid Orang Asli sama ada di peringkat sekolah rendah atau menengah. Antaranya:- (i) Meningkatkan kualiti kemudahan fizikal di sekolah sedia ada, (ii) Pelaksanaan Program Kelas Dewasa Ibu Bapa Murid Orang Asli dan Pribumi (KEDAP), (iii) Pelaksanaan Projek Rintis Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah iMurid Orang Asli dan Penan (KAP) dan (iv) Pengajaran Pedagogi Berasaskan Perspektif Pribumi. Usaha ini adalah sejajar dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan KPM yang bertujuan untuk memastikan setiap warganegara, tanpa mengira kaum dan status ekonomi, mendapat peluang pendidikan yang terbaik dari segi akses, ekuiti dan kualiti. Hasil program-program ini, Kementerian berjaya meningkatkan kemahiran 3M dan kemahiran sosial murid Orang Asli, meningkatkan jumlah murid Orang Asli yang menamatkan pendidikan sehingga peringkat menengah, iaitu peningkatan sebanyak 4 peratus pada tahun 2010, serta merapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar. Dapatan yang memberangsangkan ini akan mendorong Kementerian Pelajaran untuk meneruskan program-program ini dengan lebih giat lagi agar manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan.

8. Kerajaan sedar akan peningkatan kos sara hidup sejak akhir- akhir ini. Namun, hal ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan pendidikan anak-anak kita. Justeru, untuk meringankan beban kos tanggungan persekolahan, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah 530 juta ringgit untuk Bantuan Khas Awal Tahun kepada setiap murid dengan pemberian 100 ringgit seorang. Selain itu, pemberian dalam bentuk Baucer Buku bernilai 200 ringgit juga akan disalurkan kepada setiap pelajar Matrikulasi dan Tingkatan 6 dengan jumlah peruntukan sebanyak 24 juta ringgit. Keprihatinan Kerajaan menyalurkan bantuan persekolahan kepada mereka yang kurang berkemampuan diteruskan pada tahun ini dengan bantuan kepada murid miskin dengan jumlah keseluruhan peruntukan berjumlah 606 juta ringgit. Peruntukan ini meliputi Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) berjumlah 400 juta ringgit, Rancangan Makanan Tambahan sebanyak 201.9 juta ringgit dan Bantuan Pakaian Seragam Pasukan Beruniform sebanyak 4.5 juta ringgit. Kementerian kita telah mengambil inisiatif untuk memastikan penyaluran peruntukan bantuan persekolahan dilaksanakan dengan lebih baik melalui penambahbaikan kaedah penyaluran menggunakan Sistem eBantuan. Pelaksanaan sistem ini dapat memastikan murid menerima bantuan persekolahan dengan lebih cepat dan sistematik.

9. Kita menyedari bahawa dalam dunia pendidikan di Malaysia yang pesat berkembang ini, terdapat murid yang cerdas namun tidak berpeluang untuk menggarap potensi dalam bidang akademik lantaran wujud kekangan persekitaran seperti kemiskinan keluarga, keadaan rumah yang kurang sesuai dan ketiadaan akses kepada teknologi maklumat. Oleh yang demikian, selaras dengan semangat asal penubuhan Sekolah Berasrama Penuh, iaitu untuk membantu murid-murid cemerlang terutamanya dari kalangan keluarga miskin dan luar bandar, Kementerian telah menetapkan mulai tahun 2012, kelayakan minima bagi kemasukan murid ke Tingkatan Satu di SBP untuk murid dari keluarga Miskin Tegar ialah 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Dalam pemilihan untuk kemasukan ke tingkatan 1 SBP 2012, pihak Kementerian melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan telah memilih seramai 1052 orang murid daripada golongan Miskin Tegar di seluruh negara. Dengan menyediakan pendidikan yang lebih baik kepada mereka, kita berharap murid-murid ini mampu untuk meningkatkan kecemerlangan diri dan seterusnya membantu keluarga mereka keluar daripada lingkungan kemiskinan.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

GTP NKRA

10. Sebagai Menteri Peneraju Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Sektor Pendidikan, saya bertanggungjawab memastikan kesemua sasaran yang ditetapkan di bawah lima bidang kecil NKRA pendidikan iaitu, enrolmen pra-sekolah, program literasi dan numerasi (LINUS), sekolah berprestasi tinggi (SBT), tawaran baru ataupun Ba’iah untuk pengetua dan guru besar dan program penambahbaikan sekolah dapat dicapai. Sukacita saya ingin maklumkan di sini bahawa sasaran untuk kesemua sub-NKRA tersebut telah melepasi sasaran 2011. Kita telah berjaya meningkatkan enrolmen pra-sekolah kepada 76.3 peratus, 97.5 peratus murid telah menguasai kemahiran literasi dan 96.8 peratus menguasai kemahiran numerasi, 52 buah sekolah telah dinobatkan sebagai sekolah berprestasi tinggi dan 304 buah sekolah berjaya melonjakkan prestasi di bawah Program Pembangunan Sekolah. Oleh kerana tahun ini adalah tahun terakhir untuk kita mencapai kesemua sasaran NKRA Pendidikan, saya berharap agar semua warga pendidik dapat melipatgandakan usaha untuk memastikan semua sasaran yang telah ditetapkan dapat dicapai. Saya yakin dengan semangat dan iltizam semua pihak, serta dengan izin Allah s.w.t., kita mampu untuk melakukannya.

11. Selain itu, Program Sekolah Amanah yang dilancarkan pada akhir 2010 di bawah usaha sama awam-swasta Khazanah Nasional Berhad melalui Yayasan AMIR dan Kementerian Pelajaran Malaysia merangkumi 10 buah sekolah rintis di Johor dan Sarawak telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Walaupun baru setahun dilaksanakan, program ini telah mula menampakkan kesan yang positif. Antaranya, otonomi pengurusan telah menyebabkan pengurusan kewangan sekolah menjadi lebih teratur, fleksibel dan efektif; kaedah pedagogi terkini yang seiring dengan kehendak KSSR telah dapat dilaksanakan dengan baik dan penyertaan ibu-bapa serta komuniti dalam proses pembelajaran murid juga telah meningkat. Di samping itu, murid-murid Tahun 1 dan 2 yang mengikuti Program Sekolah Amanah juga menampakkan keyakinan diri yang lebih kental berbanding mereka yang berada di tahap persekolahan yang lebih tinggi. Berdasarkan pencapaian yang positif ini, saya berharap lebih banyak lagi sekolah yang dapat menyertai Program Sekolah Amanah dengan sokongan berterusan daripada pihak swasta.

MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)

12. Penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid juga diberikan perhatian khusus oleh pihak Kementerian. Melalui Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), Kementerian sedang mengambil beberapa inisiatif baru yang lebih berkesan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid. Antara inisiatif tersebut adalah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum Bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru-guru terlatih dalam bidang bahasa Inggeris, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris dan penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Selain itu, dasar soft-landing PPSMI juga sedang dilaksanakan untuk memastikan pembelajaran kohort murid PPSMI sedia ada tidak terjejas.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

PENCAPAIAN AKADEMIK DAN KEMENJADIAN MURID

13. Dari segi pencapaian akademik, kita telah menyaksikan peningkatan pencapaian murid dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2011. Pencapaian keseluruhan calon UPSR dan PMR meningkat dan merupakan yang terbaik dalam empat tahun mengikut Gred Purata Nasional. Untuk itu, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga pendidik, para ibu bapa dan pelajar atas kejayaan cemerlang ini. Saya berharap pada tahun ini, pencapaian calon UPSR dan PMR yang mendapat kelulusan penuh dapat menunjukkan peningkatan yang lebih memberangsangkan lagi.

14. Selain menitikberatkan pencapaian akademik, Kementerian juga memberikan penekanan kepada pelaksanaan aktiviti kokurikulum dan sukan. Aktiviti luaran ini adalah penting untuk menggarap sahsiah dan kemahiran kendiri pelajar dalam membentuk modal insan yang seimbang. Pelancaran Dasar 1Murid 1Sukan yang telah disempurnakan pada 2 Julai 2011 merupakan salah satu tunggak dalam membudayakan sukan di kalangan murid. Selain itu, penubuhan IPG kebitaraan sukan Raja Melewar di Negeri Sembilan merupakan satu permulaan ke arah meningkatkan professionalisme latihan kesukanan di kalangan guru-guru pelatih.

15. Tahun 2011 telah memperlihatkan kejayaan pelajar-pelajar kita mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan, seni dan kokurikulum di peringkat antarabangsa. Atlet murid kita telah memenangi Pingat Acara Individu dan Berpasukan di beberapa acara sukan seperti Piala Dunia Memanah di Shanghai, China, temasya Sukan Komanwel Remaja ke-4 2011 di Isle of Man dan Kejohanan Sukan SEA ke-26. Murid kita juga tidak kurang hebatnya dalam bidang reka cipta inovasi dengan mewakili negara di peringkat antarabangsa di Inova 2011, 36th International Invention Show, Zagreb Fair, Crotia.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH

16. Kementerian juga melihat bahawa satu sistem pentaksiran yang lebih holistik adalah penting bagi membolehkan potensi murid dikenalpasti dan digarap secara menyeluruh. Justeru, Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang merupakan satu penambahbaikan terhadap sistem pentaksiran pendidikan kebangsaan telah dilaksanakan secara berperingkat mulai Tahun 1, 2011. Pada tahun 2012, Pentaksiran Berasaskan Sekolah melibatkan guru dan murid Tahun 2 di sekolah rendah dan Tingkatan 1 di sekolah menengah. Transformasi Pentaksiran Pendidikan melalui PBS membawa kepada penghijrahan daripada pentaksiran berorientasikan peperiksaan kepada pentaksiran yang lebih holistik, bersepadu dan seimbang. Pentaksiran yang dijalankan secara berterusan untuk mengesan dan memantau perkembangan dan pencapaian murid dalam pembelajaran diharapkan mampu mencungkil potensi dan bakat murid dalam pelbagai bidang selain bidang akademik. Harapan saya, melalui sistem pentaksiran baru ini murid-murid berpeluang untuk meningkatkan potensi diri secara menyeluruh dan menjadi lebih kreatif dan inovatif dengan bimbingan secara berterusan oleh guru.

TRANSFORMASI TVET

17. Selain itu, transformasi sistem pendidikan turut dilakukan dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan dan keupayaan penyampaian agar terus relevan dengan tuntutan semasa dengan membuat perubahan pada hala tuju pendidikan vokasional dan teknikal. Pada minggu lalu saya telah melancarkan pelan transformasi pendidikan teknikal dan vokasional. Di samping strategi dan tindakan yang telah digariskan dalam pelan transformasi pendidikan teknikal dan vokasional, pihak industri, sektor swasta dan agensi-agensi berkaitan akan turut berperanan menaikkan status dan mengarusperdanakan pendidikan teknikal dan vokasional seperti di negara-negara maju dan serantau yang lain.

TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI DALAM PENDIDIKAN

18. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mentransformasi sistem pendidikan negara, Kementerian Pelajaran telah melancarkan Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan pada tahun lalu. Melalui dasar ini, kerajaan mensasarkan untuk memperluaskan capaian jalur lebar di sekolah-sekolah di seluruh negara dan menyediakan persekitaran pembelajaran maya kepada semua murid. Konsep persekitaran pembelajaran maya ini dilaksanakan untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta memperkukuh sistem pengurusan maklumat berkaitan pendidikan di sekolah-sekolah di seluruh negara. Sehingga 31 Disember 2011, sebanyak 200 sekolah sudah siap dipasang capaian jalur lebar manakala sehingga April 2012 sebanyak 1052 sekolah lagi akan siap dipasang. Menjelang akhir 2012 sebanyak 7902 sekolah di seluruh negara dijangkakan mendapat perkhidmatan jalur lebar dan melaksanakan konsep persekitaran pembelajaran maya. Pemasangan capaian jalur lebar untuk semua sekolah dijadualkan siap sepenuhnya menjelang Mac 2013.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

PENAMBAHBAIKAN PERKHIDMATAN DAN PROFESION KEGURUAN

19. Sepanjang tahun lalu, saya telah meluangkan masa untuk bertemu dan berdialog dengan guru-guru di seluruh negara. Saya juga telah bertemu dengan kesatuan-kesatuan guru bagi untuk lebih memahami cabaran yang dihadapi oleh guru dalam melaksakan tugas sebagai pendidik. Dalam siri pertemuan ini, antara perkara yang sering dibangkitkan ialah soal kebajikan guru, terutamanya tentang sistem saraan dan prospek kemajuan kerjaya. Saya mengambil perhatian yang berat mengenai perkara ini dan telah berbincang dengan YAB Perdana Menteri serta Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mencari jalan bagaimana profesion keguruan dapat kita mantapkan lagi dengan menambahbaik sistem saraan dan peluang kenaikan pangkat bagi guru-guru. Alhamdulillah, pandangan guru-guru dan kesatuan telah diambil kira oleh kerajaan. Hasilnya, pengumuman pertama mengenai penambahbaikan perkhidmatan keguruan telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri semasa sambutan Hari Guru pada tahun lalu. Kemudiannya, beberapa penambahbaikan tambahan telah dimasukkan dalam Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mula dilaksanakan pada tahun ini.

20. Di bawah SBPA, kerajaan memberikan penekanan kepada peningkatan kualiti dalam perkhidmatan yang merangkumi: (i) peluang kenaikan pangkat yang cepat berdasarkan kecekapan dan prestasi; (ii) peningkatan pembangunan profesional secara berterusan; dan (iii) pelaksanaan kaedah pengurusan prestasi yang lebih mantap. Saya berharap agar semua pihak bersikap terbuka dalam menerima penambahbaikan dan pelbagai faedah yang terdapat dalam skim baru ini di samping mempertingkatkan kualiti kerja masing-masing.

21. Selaras dengan hasrat memartabatkan profesion keguruan, KPM melalui Bahagian Pendidikan Guru telah menyediakan bantuan yuran pengajian kepada guru-guru untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah pertama di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Infrastruktur Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) juga ditingkatkan dengan menaiktaraf infrastruktur sedia ada untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik dan persekitaran yang lebih kondusif kepada bakal-bakal guru dalam mengikuti latihan perguruan.

22. Transformasi dalam pendidikan guru turut dilaksanakan bagi memastikan pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif digunakan dalam pembelajaran dan pengajaran. Untuk itu, Institut Pendidikan Guru telah mengambil inisiatif menyemak dan menggubal kurikulum pendidikan guru dengan melaksanakan pedagogi dan pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif merentas kurikulum sedia ada. Pendekatan aplikasi seni dalam pendidikan dan pengaplikasian alat kemahiran berfikir dalam aktiviti pembelajaran dan penyelesaian masalah digunakan untuk mencetus daya kreativiti dan inovasi pelatih guru bagi membentuk minda kreatif murid.

23. Kementerian juga bekerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dalam melaksanakan projek rintis i-THINK (Thinking Schools) di 10 buah sekolah terpilih di seluruh negara dan menjalin usahasama dengan World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia bagi melahirkan IPG Lestari melalui penggunaan kaedah yang inovatif dalam meningkatkan kesedaran pemeliharan alam sekitar dan budaya ‘hijau’ . Selain itu, kolaborasi dengan Petrosains dijalankan bagi membolehkan pendedahan dan pengamalan kaedah inkuiri penemuan dalam pengajaran mata pelajaran sains dan matematik. Jalinan kerjasama yang dibuat dengan agensi-agensi tersebut adalah bagi memantapkan lagi komitmen melahirkan guru yang boleh menghasilkan pembelajaran dan pengajaran yang interaktif.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

PENILAIAN SEMULA SISTEM PENDIDIKAN NEGARA DAN INOVASI

24. Walaupun sistem pendidikan kita telah banyak menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara selama ini, kita perlu mengakui bahawa penambahbaikan berterusan diperlukan jika kita ingin melihat mutu pendidikan di negara kita setanding dengan pendidikan di negara-negara maju. Untuk itu, kajian semula sistem pendidikan secara menyeluruh sedang dilaksanakan dengan tujuan untuk (i) memahami garis dasar pencapaian dan membangunkan fakta asas berdasarkan cabaran sistem sekolah Malaysia dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan standard dan merapatkan jurang pencapaian; (ii) mengiktiraf kejayaan dan kemajuan yang dicapai; (iii) menterjemahkan penilaian kepada halatuju masa depan sistem pendidikan; dan (iv) menyokong transformasi Kementerian Pelajaran.

25. Bagi fasa pertama, penilaian sistem dilaksanakan dengan menubuhkan Panel Penilai Bebas tempatan dan antarabangsa bertujuan untuk memberi input dan panduan dalam penilaian tersebut. Panel yang dilantik membantu proses penilaian dengan menyediakan khidmat kepakaran dan nasihat serta mendapatkan pelbagai pandangan dan perspektif yang luas mengenai sistem pendidikan negara. Dalam menyokong penilaian ini, bantuan kepakaran juga diperolehi daripada UNESCO melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman Kajian Semula Dasar Pendidikan Malaysia yang ditandatangani pada 18 Disember 2011. Adalah dijangkakan Laporan Penilaian dan Halatuju Sistem Pendidikan Negara yang lengkap akan dibentangkan sebelum akhir tahun 2012.

26. Pada masa yang sama, Malaysia turut bekerjasama dengan UNESCO untuk membantu negara-negara kurang membangun termasuk Negara-negara kepulauan kecil dan Negara-negara Afrika bagi mencapai sasaran EFA dengan menandatangani Memorandum Persefahaman Malaysia-UNESCO Cooperation Programme (MUCP) pada 15 November 2011. Saya berharap kerjasama yang dijalinkan dengan anggota-anggota UNESCO secara tidak langsung dapat memantap dan meletakkan pendidikan negara kita di tahap yang membanggakan serta bertaraf antarabangsa.

27. Kerajaan percaya dengan program-program dan inisiatif yang telah disebutkan tadi, sistem pendidikan kita dapat melahirkan generasi rakyat Malaysia yang inovatif, kreatif dan mampu melonjakkan negara menjadi pemimpin di persada antarabangsa dalam bidang pendidikan. Semua ini memerlukan cetusan inovasi yang mampu meningkatkan daya saing negara, menjana ilmu dan mensejahterakan rakyat.

28. Memandangkan gerakan inovasi di Malaysia masih lagi di umur muda, Kementerian menyahut seruan Kerajaan bagi meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya inovasi di kalangan warga KPM dengan melaksanakan Tahun Inovasi KPM 2012 bertemakan Mengungguli Modal Insan: Mencerna Kreativiti, Mencetus Inovasi. Inovasi dan kreativiti tidak hanya disarankan kepada murid sekolah dan institusi pendidikan sahaja malah melibatkan keseluruhan warga KPM di peringkat kumpulan premier, kumpulan pengurusan dan professional serta kumpulan pelaksana supaya rantaian nilai pendidikan negara boleh dianjak ke satu tahap yang lebih tinggi.

29. Bagi menyokong inisiatif pelaksanaan Tahun Inovasi KPM 2012, pelbagai program dan aktiviti inovasi akan dilaksanakan sepanjang tahun ini melibatkan seluruh warga Kementerian Pelajaran. Saya berharap warga KPM akan memberi sumbangan dan sokongan padu terhadap aktiviti-aktiviti tersebut selain meneruskan sumbangan cetusan idea kreatif bagi mengarusperdanakan peningkatan budaya inovasi.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

PENUTUP

30. Cabaran yang bakal kita hadapi sepanjang tahun 2012 ini amat kritikal kepada kejayaan kita sebagai warga pendidik untuk mencapai sepenuhnya sasaran-sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKRA pendidikan. Selain itu, pelaksanaan dasar-dasar baru seperti Pentaksiran Berasaskan Sekolah, Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan

Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga pendidik yang telah berusaha memerah keringat dalam menjayakan pelbagai program pendidikan pada tahun 2011. Tanamkanlah tekad dan iltizam untuk terus mendaki puncak kejayan. Bagi tahun 2012, saya berharap lebih banyak jalinan kerjasama dengan semua pihak dapat dibuat bagi memastikan penambahbaikan dan pemantapan sistem pendidikan negara tercapai. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan matlamat menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada rakyat dan mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia di negara kita. Semoga usaha kita akan sentiasa diberkati Allah SWT dan segala perancangan kita akan berjalan dengan lancar, inshaAllah.

Wabillahi al-taufiq walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Friday, 13 January 2012

Tangguh SBPA: Jangan salahkan kami, kata Cuepacs

NURUL NADIA MOHD KAMARUZAMAN
January 13, 2012
KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegaskan, pihaknya tidak patut dipersalahkan atas keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang diumumkan secara rasmi semalam.

Keputusan penangguhan dibuat oleh Kabinet dalam mesyuarat mingguannya kelmarin.

Lewat petang semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan SBPA akan disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan skim itu, yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.

Dalam laporan eksklusif semalam, Sinar Harian Online memetik sumber-sumber berkata, Kabinet telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA atas beberapa sebab, antaranya kerana rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Mengulas isu ini, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, dari awal lagi pihaknya tidak terlibat dalam perancangan dan perbincangan mengenai SPBA.

Malah katanya, Cuepacs telah cuba membantah pelaksanaan SBPA kerana sudah menyedari implikasinya, seperti yang disaksikan sekarang.

"Tidak boleh salahkan Cuepacs, semua mahu tumpu pada kami, kalau dulu benda baik Cuepacs buat tidak mahu tumpu, ucap terima kasih pun jarang," katanya ketika ditemui Sinar Harian Online di sini, malam tadi.

Cuepacs mengadakan mesyuarat khas malam tadi bagi membincangkan keputusan penangguhan SBPA.

Tegasnya, Cuepacs sudah dapat menjangkakan rasa tidak puas hati kakitangan awam akan berlaku apabila melihat ketidakseragaman perubahan gaji antara kumpulan gred 27 dan ke atas, yang mengalami kenaikan ketara antara 20 hingga 40 peratus berbanding gred-gred rendah.

Ketika mengumumkan pelaksanaan SBPA dalam ucapan Bajet 2012, Perdana Menteri berkata SBPA, yang memperkenalkan sistem gaji satu lapis, akan membawa kenaikan antara tujuh hingga 13 peratus.

"Apabila lihat skim SPBA ini, kita dapati, kumpulan Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) ke atas, terdapat peratusan naik sampai 50 peratus, terlalu tinggi sedangkan kumpulan gred bawahan hanya empat peratus.

"Macam langit dan bumi. Ini memang mengundang perasan marah.


"Cuepacs tidak mahulah nanti ada yang dapat kenaikan hanya RM40 tapi gred atas sampai RM40,000... perkara ini perlu disemak semula kerana sepatutnya skim ini menceriakan penjawat awam dengan adil dan sama rata," katanya.

Omar berkata, sebelum ini Cuepacs ada diberi taklimat bagaimana skim SPBA berfungsi - dalam menyelaraskan kenaikan gaji penjawat awam, namun kecelaruan berlaku ketika hendak dilaksanakan mulai 1 Januari lalu.

SBPA menggantikan Sistem Saraan Malaysia berkuat kuasa 1 Januari lalu.

"Dalam taklimat kita, gred yang asal, dapat satu kenaikan, akan pindah ke gred yang baru dan akan dapat satu kenaikan lagi. Jadi apabila dicampurkan kedua-dua, inilah kenaikan yang akan diterima.

"Tapi apabila sampai ke (peringkat) jabatan, pelaksanaan itu tidak ada, hanya berlaku kenaikan satu baris di mana apabila ke gred baru gaji, kalau kata RM15, RM15 lah dapat. Ini yang mereka kata tiada kenaikan sedangkan kumpulan di atas dapat kenaikan RM1,500 hingga RM5,000. Maka berlakulah kemarahan (di kalangan kakitangan awam peringkat bawahan)," katanya lagi.

Omar berkata Cuepacs tidak menolak penangguhan SBPA, tetapi menerimanya protes.

Namun begitu, Cuepacs menghormati keputusan itu yang diumumkan oleh Najib semalam dan akan membantu menyelesaikan masalah itu dengan segera.

"Kalau itu keputusan kerajaan, kami menyambut baik dan Cuepacs minta sembilan pegawai tertinggi kami berada dalam (panel) perbincangan itu kerana kami wakil 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

"Jika diwujudkan jawatankuasa lain, kami mahu juga bersama dalam perbincangan itu supaya kami harap isu yang tidak puas hati dan berbangkit ini nak dibawa dalam jawatankuasa itu untuk satu penambahbaikan yang komprehensif berlaku adil dan saksama untu penjawat awam," katanya.

Katanya, Cuepacs akan menekankan beberapa perkara dalam penambahbaikan SBPA dan antaranya penekanan penstrukturan skim baru itu perlu dibuat keseluruhan di mana gred yang tidak terlibat serta badan-badan beruniform juga perlu dikaji semula.

"Gelaran untuk jawatan yang ditukar juga perlu disemak semula mengikut kesesuaian kerana terdapat aduan penjawat awam tidak setuju penukaran jawatan baru.

"Formula kenaikan gaji perlu yang baru supaya pindaan yang akan berlaku yang terbaik, barulah semua pihak berpuas hati.

"Kemudian, senioriti juga perlu diambil kira, kedudukan lama paling maksimum dalam jawatan juga akan diubah dan begitu juga yang telah lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) masih tidak dianjak," katanya lagi.

Ketika ditanya adakah JPA telah memanggil Cuepacs untuk bermesyuarat mengenai hal ini, beliau berkata, pihaknya sudah bersedia dan hanya tunggu dipanggil.

"Perkara ini masih baru dan mekanisme akan ditentukan oleh JPA dan kami akan berbincang, diaharapkan dapat diselesaikan secepat mungkin, redakan keadaan semua peringkat penjawat awam," katanya..

Sinar Harian Online.

Najib: SBPA Disemak Semula

12 Januari, 2012 20:56 PM


KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis mengumumkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula.

Semakan tersebut bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.

"Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuatkuasa mulai 1 Jan 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Beliau berkata Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula.

Katanya semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Najib berkata semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Jan tahun ini.

Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.

"Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak," katanya.

Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, katanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Jan ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Dis lepas.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Dis lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.

-- BERNAMA

Thursday, 5 January 2012

Tahun1 Sesi 2012 ... Kembar

2 Pasangan kembar yang mula belajar di tahun 1 sesi 2012...
  1. Amirah Najwa binti Sulaiman & Amirah Nasuha binti Sulaiman
  2. Nur Insyirah Jannah binti Mohd Syarif & Nir Irdina Jannah binti Mohd Syarif


Wednesday, 4 January 2012

PELAKSANAAN PROGRAM TRANSISI DAN GURU-GURU PENYAYANG MURID TAHUN SATU 2012

Program Transisi dan Guru Penyayang dijalankan bagi semua murid Tahun Satu mulai minggu pertama sehingga minggu ketiga sesi persekolahan Tahun 2012.

Pelaksanaan dan pengisian Program Transisi dan Guru Penyayang untuk tiga minggu adalah seperti berikut:

  1. Minggu Pertama : Aktiviti Suaikenal mengikut panduan dalam Buku Kit Program Transisi, edisi Disember 2000 terbitan Pusat Perkembangan Kurikulum - Bahan merujuk Buku Kit Program Transisi;
  2. Minggu Kedua : Aktiviti Kumpulan dan Pembinaan Kumpulan mengikut panduan dalam Buku Kit Program Transisi, edisi Disember 2000 terbitan Pusat Perkembangan Kurikulum - Bahan merujuk Buku Kit Program Transisi;
  3. Minggu Ketiga : Aktiviti Perkembangan Asas Kognitif – Kemahiran prabacaan, pratulisan dan pranombor - Bahan merujuk Buku Kit Program Transisi.

Pihak sekolah diminta melengkapkan borang pelaksanaan program dan dikembalikan kepada Unit Kurikulum Rendah, Sektor Pengurusan Akademik sebelum atau pada 31 Januari 2012 (Selasa).

Sebarang pertanyaan berhubung perkara di atas, sila hubungi Encik Ab. Abid bin Mahamad (No h/p: 019-9346830) di Unit Kurikulum Rendah, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu di talian : 09-6213027 dan no. faks : 09-6213028.

JADUAL TOV DAN OTI 2012 SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH NEGERI TERENGGANU 2012

1. Ujian Pengesanan (TOV 2012) : 29 Januari 2012 hingga 31 Januari 2012

2. OTI 1 : 6 Mac 2012 hingga 8 Mac 2012

3. OTI 2 (Pertengahan Tahun 2012) : 20 Mei 2012 hingga 24 Mei 2012

4. OTI 3 (Pra Percubaan UPSR 2012) : 3 Julai 2012 hingga 5 Julai 2012

5. OTI 4 (Percubaan UPSR 2012) : 13 Ogos 2012 hingga 15 Ogos 2012

6. Tambah Nilai UPSR 2012 : 3 September 2012 hingga 5 September 2012

7. UPSR 2012 / OTI 5 : 11 September 2012 hingga 13 September 2012

8. OTI 6 (Peperiksaan Akhir Tahun 2012) : 14 Oktober 2012 hingga 18 Oktober 2012

Monday, 2 January 2012

Kalendar Sekolah Bagi Tahun 2011

Penggal Cuti dan Hari Persekolahan Mula Akhir Hari
I Hari Persekolahan 02.01.2011 10.03.2011 50
Cuti Pertengahan Penggal 11.03.2011 19.03.2011 9
Hari Persekolahan 20.03.2011 26.05.2011 50
Cuti Pertengahan Tahun 27.05.2011 11.06.2011 16
II Hari Persekolahan 12.06.2011 25.08.2011 55
Cuti Pertengahan Penggal 26.08.2011 03.09.2011 9
Hari Persekolahan 04.09.2011 17.11.2011 53
Cuti Akhir Tahun 18.11.2011 31.12.2011 44
Jumlah 288
Jumlah Hari Persekolahan Termasuk Cuti Am 210
Jumlah Hari Cuti Penggal 78

HARI KELEPASAN AM TAHUN 2012

BIL KELEPASAN TARIKH
MASIHI HIJRAH
1 Tahun Baru Cina (Persekutuan dan Negeri) 23 & 24 Januari 2012 29 & 30 Safar 1433
2 Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. (Persekutuan) 5 Februari 2012 12 R’Awal 1433
3 Hari Ulangtahun Pertabalan Kebawah D.Y.M.M. Sultan Terengganu (Negeri) 4 Mac 2012 11 R’Akhir 1433
4 Hari Pekerja (Persekutuan) 1 Mei 2012 9 J’Akhir 1433
5 Hari Wesak (Persekutuan) 5 Mei 2012 13 J’Akhir 1433
6 Hari Kelepasan Am Negeri 6 Mei 2012 14 J’Akhir 1433
7 Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (Persekutuan) 2 Jun 2012 12 Rejab 1433
8 Hari Kelepasan Am Negeri 3 Jun 2012 13 Rejab 1433
9 Hari Keputeraan Kebawah D.Y.M.M. Sultan Terengganu (Negeri) 20 Julai 2012 30 Syaaban 1433
10 Hari Nuzul Quran (Negeri)* 6 Ogos 2012 17 Ramadan 1433
11 Hari Raya Puasa (Persekutuan) * 19 & 20 Ogos 2012 1 & 2 Syawal 1433
12 Hari Kebangsaan (Persekutuan) 31 Ogos 2012 13 Syawal 1433
13 Hari Malaysia (Persekutuan) 16 September 2012 29 Syawal 1433
14 Hari Raya Haji (Persekutuan)* 26 & 27 Oktober 2012 10 & 11 Zulhijah 1433
15 Hari Kelepasan Am Negeri 28 Oktober 2012 12 Zulhijah 1433
16 Hari Deepavali (Persekutuan)* 13 November 2012 28 Zulhijah 1433
17 Awal Muharam (Persekutuan) 15 November 2012 1 Muharam 1434
18 Hari Krismas (Persekutuan) 25 Disember 2012 29 Muharam 1434

2012 : JAWATANKUASA ASET ALIH KERAJAAN

  • Penasihat : Encik Sulaiman bin Muda
  • Pegawai Aset : Puan Siti Zainun binti Ismail @ Muda
  • Pemeriksan Harta Modal & Inventori : Encik Zaharuddin bin Abdul Razak
  • Pemeriksa Stok : Encik Esham bin Busu
  • Ahli Jawatankuasa : Encik Nik Rozi bin Nik Ishak

Kesiapsiagaan Sekolah Untuk hari Pertama Persekolahan Sesi 2012

Berikan perhatian kepada perkara-perkara berikut pada hari pertama [03 Januari 2012] persekolahan sesi 2012.
  1. Kehadiran guru di dalam kelas: Semua guru perlu berada di dalam kelas;
  2. Kekemasan bilik darjah dan ruang pengajaran dan pembelajaran: Bersih daripada habuk, sampah sarap dan sarang labah-labah;
  3. Susun atur kerusi dan meja: Semua kerusi dan meja telah ditempat dan disusun kemas ke dalam bilik darjah;
  4. Buku teks: Semua murid telah dibekalkan dengan buku teks sebelum hari pertama persekolahan.
  5. Jadual waktu kelas: Semua kelas telah diperuntukkan Jadual Waktu dan dipaparkan di dalam bilik darjah;
  6. Pengajaran dan Pembelajaran (P&P): Semua kelas mempunyai guru sepanjang masa pada hari pertama persekolahan, dan P&P dilaksanakan seperti jadual kelas;
  7. Peraturan Disiplin Sekolah: Semua murid disediakan dengan peraturan disiplin dan ditaklimatkan mengenai peraturan tersebut;
  8. Kawasan sekolah: Kawasan berumput dipotong sebelum hari pertama persekolahan, manakala kawasan berparit bebas dari sampah dan tidak berlumut;
  9. Tandas: Semua tandas berada dalam keadaan bersih serta berfungsi dan mempunyai bekalan air yang cukup untuk kemudahan pembersihan selepas digunakan oleh murid-murid; dan
  10. Fokus sekolah adalah kepada pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

2012 : JAWATANKUASA PEMBANGUNAN DAN FIZIKAL SEKOLAH

  • Penasihat : Encik Sulaiman bin Muda [Guru Besar]
  • Pengerusi : Puan Roziana binti Sulong [GPK Pentadbiran]
  • Naib Pengerusi I : Puan Siti Zainun binti ismail @ Muda [GPK Hal Ehwal Murid]
  • Naib Pengerusi II : Encik Esham bin Busu [GPK Kokurikulum]
  • Penyelaras : Encik Esham bin Busu
  • Setiausaha : Encik Zaharuddin bin Abd Razak
  • Ahli Jawatankuasa : Encik Nik Rozi bin Nik Ishak

2012 : JAWATANKUASA PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

  • Guru Besar : Encik Sulaiman bin Muda
  • Guru Penolong Kanan Pentadbiran : Puan Roziana binti Sulong
  • Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid : Paun Siti Zainun binti Ismail @ Muda
  • Guru Penolong Kanan kokurikulum : Encik Esham bin Busu
  • Setiausaha : Cik Azlina binti Alias

Sunday, 1 January 2012

ENROLMEN GURU/STAF TAHUN 2012

TAHUN LELAKI PEREMPUAN JUMLAH
GURU 8 7 15
STAF BUKAN GURU 0 2 2
GURU KAFA 0 5 5
EIO 1 0 1
PEKERJA KEBERSIHAN 2 2 4
PEKERJA KESELAMATAN 3 0 3
JUMLAH 14 16 30

ENROLMEN MURID TAHUN 2012

TAHUN LELAKI PEREMPUAN JUMLAH
PRASEKOLAH 14 8 22
TAHUN 1 12 11 23
TAHUN 2 11 14 25
TAHUN 3 9 11 20
TAHUN 4 11 9 20
TAHUN 5 11 15 26
TAHUN 6 11 6 17
JUMLAH 79 74 153

Warga SK Menerong...

Warga SK Menerong...

www.satisfaction.com