SK Menerong [TBA 5014] merupakan sebuah sekolah yang terletak di dalam daerah Hulu Terengganu. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) Luar Bandar. Proses P & P di sekolah ini berjalan pada sidang pagi sahaja. Pada waktu petang, bilik-bilik darjah digunakan untuk kelas Fardhu Ain (KAFA) bagi murid Tahun 2, 3, 4, dan 5 yang diadakan pada hari Ahad, Isnin, dan Rabu sahaja.
Talian Tel. : 09-6125625
Talian faks.: 09-6129954
Alamat email : skmenerong@gmail.com

Renungan...

Monday 18 February 2013

PERUTUSAN KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

SEMPENA
HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

1. Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia-Nya maka dapat kita berhimpun bagi mengadakan sambutan Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan tahun 2013. Pada setiap tahun, tanggal 19 Februari, kita mengadakan sambutan ini untuk menunjukkan bahawa kita sentiasa komited untuk meneruskan usaha memerangi gejala dadah daripada terus berleluasa sama ada di dalam mahupun di luar kawasan sekolah. Komitmen untuk membendung ancaman dadah ini perlu diteruskan bagi memastikan bangsa dan negara kita bebas daripada ancaman musuh nombor satu negara ini.
2. Sempena Hari Antidadah Kebangsaan ini, saya ingin mengajak semua warga pendidik bersama-sama menjayakan Program Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah masing-masing. Program Pendidikan Pencegahan Dadah yang meliputi pendidikan pencegahan dan intervensi bagi membebaskan warga sekolah daripada bahaya dadah, rokok, inhalan, alkohol dan HIV/AIDS. Semoga segala usaha yang dilaksanakan oleh warga pendidik ini akan dapat merealisasikan agenda kerajaan iaitu Negara Bebas Dadah Tahun 2015.
Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,
3. Tindakan pencegahan dan membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti yang berfokus kepada pembinaan jati diri murid. Melalui aktiviti yang berfokus, diharapkan akan terbina disiplin kendiri yang kental dan utuh serta budi pekerti mulia dan terpuji dalam diri setiap murid. Semua murid perlu diberikan pengetahuan mengenai bahaya dadah secara terancang dari masa ke semasa. Ilmu pengetahuan mengenai bahaya dadah ini haruslah kekal di dalam diri murid-murid bukan sahaja ketika di alam persekolahan tetapi juga setelah tamat persekolahan.

4. Faktor utama yang menentukan kejayaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah adalah bergantung kepada komitmen semua pihak, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sendiri. Pelaksanaan aktiviti-aktiviti pendidikan pencegahan dadah bukan sahaja bermatlamat membanteras penyalahgunaan dadah tetapi turut membuka peluang kepada murid-murid untuk menonjolkan bakat dan potensi diri masing-masing melalui pelbagai aktiviti yang disediakan.

5. Ancaman dadah kepada murid-murid merupakan satu cabaran yang perlu ditangani secara bersungguh-sungguh demi melonjakkan sistem pendidikan negara ke arah negara maju menjelang tahun 2020. Ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (PPPM) 2013 – 2015, menerusi anjakan ke – 3 iaitu bagi melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai dan anjakan ke – 10 yang memberi tumpuan kepada keberhasilan murid bagi memastikan setiap murid mencapai potensi sepenuhnya.

6. Kementerian Pelajaran Malaysia khuatir, jika murid-murid tidak mendapat maklumat yang tepat dan betul, mereka akan mendapat maklumat yang salah daripada rakan sebaya mereka. Kajian yang dijalan oleh Unit PPDa, KPM pada tahun 2012 di sekolah-sekolah seluruh negara mendapati masalah penagihan rokok adalah masalah utama di sekolah-sekolah pada hari ini. Berdasarkan soal selidik yang diedarkan, 33.7% daripada jumlah responden seramai 30878 orang murid mengaku terlibat dengan penagihan rokok. Rokok yang dikenali sebagai ‘dadah pembuka jalan’ akan mencetuskan laluan ke arah penagihan dadah.

7 Masalah penyalahgunaan dadah pada hari ini semakin rumit dan telah melibatkan semua peringkat umur. Golongan remaja adalah sasaran utama para pengedar yang sentiasa berusaha untuk meraih keuntungan yang mudah dan berlipat ganda. Murid-murid sekolah tidak terkecuali dalam agenda para pengedar ini. Keadaan ini menjadi lebih serius disebabkan pengeluaran pelbagai jenis dadah termasuk dadah tiruan yang semakin bertambah. Di samping itu, kes-kes penyeludupan dan pengedaran dadah juga semakin berleluasa seperti yang didedahkan dalam media massa. Keadaan ini menyebabkan murid sekolah sentiasa terdedah dan berada dalam keadaan berisiko untuk turut terlibat. Berdasarkan kepada data ujian urin pada tahun 2012, seramai 42867 orang murid sekolah menengah telah diuji. Keputusan daripada ujian urin tersebut, seramai 1040 orang didapati positif ujian urin. Angka tersebut menunjukkan 2.43% daripada murid yang diuji telah terlibat mencuba dadah. Lebih membimbangkan 0.83% daripada murid yang positif tersebut, terlibat mencuba dadah jenis sintetik. Ini bermakna semua pihak perlu memainkan peranan secara bersungguh-sungguh dalam usaha memerangi gejala ini daripada terus berleluasa dan bermaharajalela.

8. Oleh yang demikian, saya menyeru agar semua pihak mempergiat usaha secara berterusan dalam memberikan pendidikan pencegahan awalan kepada murid. Saya percaya bahawa usaha-usaha tersebut mampu membimbing mereka untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan dadah. Pencegahan penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid sekolah mempunyai kaitan rapat dengan usaha KPM untuk meningkatkan lagi taraf dan kualiti pendidikan. Sesungguhnya, murid-murid hari ini adalah generasi pemimpin negara pada masa depan yang perlu memiliki kualiti tinggi dalam aspek pemikiran analitik, kritis, kreatif dan seterusnya mampu membuat keputusan dan menyelesaikan pelbagai masalah.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

9. Semua warga pendidikan perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan tidak ada seorang pun warga sekolah terlibat dengan dadah. Pentadbir sekolah, perlu melihat gejala penyalahgunaan dadah sebagai perkara yang serius dan perlu sentiasa diberi perhatian. Sesungguhnya, mencegah adalah lebih baik daripada mengubatinya.

10. Kita tidak boleh membiarkan masalah dadah mengganggu-gugat proses pembelajaran, keselamatan dan kesejahteraan murid-murid ketika di sekolah. Jesteru, pihak sekolah perlu mengenal pasti tanda-tanda awal yang boleh menjadi penyebab murid-murid terpengaruh dengan dadah. Gejala ponteng, merokok, mengambil alkohol adalah tanda-tanda awal yang perlu dibenteras agar murid-murid yang terlibat dapat dikawal dan tidak beralih kepada mencuba dadah dan juga inhalan.

11. Matlamat aktiviti Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah bertujuan memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada murid, guru, kakitangan pendidikan dan ibu bapa tentang bahaya penyalahgunaan dadah. Aktiviti yang dilaksanakan di semua sekolah bagi memastikan warga sekolah berusaha menjauhi ancaman dadah. Saya sedar tugas dan tanggungjawab memerangi masalah dadah ini amat berat dan mencabar. Oleh itu, penglibatan dan kerjasama daripada pelbagai agensi harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Ini adalah kerana pelaksanaan Pendidikan Pencegahan Dadah amat memerlukan kerjasama yang bersepadu dengan pelbagai agensi seperti Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Saya yakin dengan kerjasama daripada semua pihak agenda membebaskan sekolah daripada ancaman dadah akan terus terlaksana dan sudah pasti murid-murid yang kita bentuk di sekolah pada hari ini akan mampu mengguna pakai ilmu yang diperolehi ini buat selama-lamanya walaupun setelah tamat alam persekolahan nanti.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

12. Akhir kata, sekali lagi saya menyeru kepada semua warga pendidikan agar sentiasa berusaha untuk mengekang pengaruh dadah di sekolah dengan mengambil pendekatan pendidikan pencegahan dan pendidikan intervensi secara serius serta terancang. Semoga dengan kerjasama daripada semua pihak dalam memerangi penyalahgunaan dadah ini akan dapat memastikan generasi muda kita bebas daripada pengaruh dadah. Sesungguhnya, usaha yang kita laksanakan ini adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara.

Sekian, terima kasih.


No comments:

Warga SK Menerong...

Warga SK Menerong...

www.satisfaction.com