SK Menerong [TBA 5014] merupakan sebuah sekolah yang terletak di dalam daerah Hulu Terengganu. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) Luar Bandar. Proses P & P di sekolah ini berjalan pada sidang pagi sahaja. Pada waktu petang, bilik-bilik darjah digunakan untuk kelas Fardhu Ain (KAFA) bagi murid Tahun 2, 3, 4, dan 5 yang diadakan pada hari Ahad, Isnin, dan Rabu sahaja.
Talian Tel. : 09-6125625
Talian faks.: 09-6129954
Alamat email : skmenerong@gmail.com

Renungan...

Monday 16 May 2011

PERUTUSAN PENGARAH PELAJARAN NEGERI TERENGGANU

MAJLIS SAMBUTAN PERAYAAN HARI GURU
PERINGKAT SEKOLAH NEGERI TERENGGANU TAHUN 2011
JABATAN PELAJARAN NEGERI TERENGGANU

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

YANG BERUSAHA PENGETUA-PENGETUA, GURU-GURU BESAR, GURU-GURU PENOLONG KANAN, GURU-GURU, KAKITANGAN SOKONGAN, PENGERUSI DAN AJK PIBG, IBU BAPA / PENJAGA DAN MURID-MURID YANG DIKASIHI SEKALIAN.

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya sekali lagi kita warga Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah negeri Terengganu dapat menyambut Hari Guru 2011. Sudah menjadi amalan dan tradisi kepada kita warga pelajaran di seluruh pelusuk negara meraikan sambutan Hari Guru pada tanggal 16 Mei setiap tahun. Sambutan ini adalah merupakan penghargaan dan penghormatan kepada warga guru negeri ini sama ada yang masih berkhidmat ataupun yang telah bersara di mana jua berada atas budi, jasa dan keringat dalam usaha membangunkan modal insan terbilang, Melestarikan Pendidikan Terbilang Negeri Anjung Ilmu.

Hari ini kita merayakan Hari Guru 2011 yang bertemakan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara dalam usaha Melestarikan Pendidikan Terbilang Negeri Anjung Ilmu. Saya amat yakin bahawa warga guru hari ini diraikan dengan penuh kehormatan dalam suasana negeri Terengganu mencatat pelbagai kejayaan dalam pendidikan terutamanya mencatat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Awam. Saya dengan rasa bangga, salam perjuangan pendidikan dan salam mesra persahabatan mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga guru. Saya merasa terharu dengan semangat juang dan pengorbanan gigih para guru kerana telah berjaya meletakkan pendidikan Terengganu di mercu kejayaan. Hasil kejayaan demi kejayaan
menerusi pendidikan, maka warga guru hari ini telah mendapat tempat di hati pemimpin, ibu bapa dan ahli masyarakat.

Marilah kita meneruskan kerja-kerja mulia menitis ilmu menggalas agenda Melestarikan Pendidikan Terbilang menerusi penghayatan keagamaan, budaya kerja integriti, budaya kerja berprestasi tinggi dan budaya kerja pencapaian hasil berganda serentak memasyarakatkan guru dan memasyarakatkan murid sebagai pemangkin dan pelengkap bagi mempastikan pendidikan Terengganu sentiasa pertama dan teratas.

Bersama-samalah kita mengangkat tinggi kecemerlangan pendidikan Terengganu merealisasikan agenda Terengganu Negeri Anjung Ilmu. Semoga kita bersama-sama menghayati dan menyahut cabaran pendidikan masa kini dan akan datang dengan penuh syukur dan sabar dalam menunaikan amanah pendidikan terbilang Terengganu Negeri Anjung Ilmu. Saya berdoa semoga segala kerja buat persekolahan dan pendidikan para guru hendaknya diberkati, dirahmati dan menjadi ibadah. Syabas, tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga guru.

Sempena perayaan Hari Guru 2011, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu telah melaksanakan Program Memasyarakatkan Guru, Memasyarakatkan Murid yang melibatkan warga guru, pemimpin masyarakat, ibu bapa, ahli masyarakat dan warga murid serentak seluruh negeri pada 13 Mei 2011 yang lalu. Aktiviti utama program ialah gotong royong membersihkan masjid dan tanah perkuburan Islam. Pada tahun ini, sebanyak 22 buah masjid seluruh negeri Terengganu telah dipilih untuk melaksanakan program ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan aktiviti ini.

Sempena Hari Guru 2011 juga, saya mengucapkan terima kasih kepada pemimpin masyarakat, PIBG, ibu bapa dan ahli masyarakat atas pengorbanan dan sumbangan ikhlas kepada kemajuan dan kecemerlangan pendidikan negeri Terengganu. Pada kesempatan ini juga saya menyeru kepada warga murid negeri Terengganu agar belajar dengan lebih gigih dan berterusan untuk kecemerlangan pendidikan diri serentak memartabatkan pendidikan Terengganu.
Akhir kata saya mengucapkan tahniah, syabas dan terima kasih kepada semua Pengetua, Guru Besar dan seluruh warga sekolah negeri Terengganu kerana telah berjaya mengadakan Majlis Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Sekolah sempena Hari Guru 2011.

Sekian dan wassalam.

RAZALI BIN DAUD
Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu
Pejabat Pengarah Pelajaran
Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu
16 Mei 2011

No comments:

Warga SK Menerong...

Warga SK Menerong...

www.satisfaction.com