PULAU PINANG 5 Julai - Pelajar yang mendapat keputusan akademik cemerlang di sekolah tetapi tidak aktif dalam sebarang aktiviti kokurikulum, mungkin akan berdepan masalah untuk memasuki universiti.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, walaupun aktiviti kokurikulum hanya mewakili 10 peratus berbanding 90 peratus pencapaian akademik dalam kriteria kemasukan pelajar, ia tetap dianggap penting.
Menurutnya, aktiviti kokurikulum turut memainkan peranan terutama dalam pembinaan sahsiah pelajar sejajar usaha melahirkan individu yang mempunyai keperibadian yang lebih bersepadu.
"Jadi saya ingin mengingatkan terutama bagi mereka yang masih bersekolah dan bercita-cita mahu masuk universiti pada masa akan datang supaya tidak mengabaikan aktiviti kokurikulum kerana kita menganggapnya sebagai kriteria yang sangat mustahak,'' katanya.
''Pada masa sama, kita harap pelajar, ibu bapa dan para guru jangan ambil mudah pemarkahan kokurikulum kerana di universiti juga, kita tekankan soal penglibatan secara aktif mereka dalam bidang itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Siswa Lestari Universiti Sains Malaysia (USM) di Dewan Tuanku Syed Putra USM di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor USM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Pengerusi Lembaga Pengarah USM, Prof. Emeritus Zawawi Mohd. Ismail.
Tambahnya, tidak dinafikan keputusan akademik menjadi ukuran awal untuk melayakkan diri menghadiri temuduga kerja tetapi lazimnya orang sudah tahu bahawa soalan akademik tidak akan ditanya oleh penemuduga.
''Kita semua pun tahu perkara yang dinilai semasa sesi temuduga adalah meliputi kemahiran insaniah seperti berkomunikasi, berfikir secara kritis, etika, kerja berpasukan, profesionalisme dan kepimpinan.
''Perkara itu akhirnya menjadi antara kriteria yang akan dinilai untuk bekerja. Penemuduga akan melihat pelbagai aspek yang sangat holistik sifatnya," ujarnya.
Justeru, semua pihak perlu mengambil kira aspek kokurikulum kerana pendidikan di universiti bukan tertumpu pada akademik semata-mata tetapi ia turut meliputi perkara lain yang masih ada kaitan dengan dunia akademik.
Petikan Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment