SK Menerong [TBA 5014] merupakan sebuah sekolah yang terletak di dalam daerah Hulu Terengganu. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) Luar Bandar. Proses P & P di sekolah ini berjalan pada sidang pagi sahaja. Pada waktu petang, bilik-bilik darjah digunakan untuk kelas Fardhu Ain (KAFA) bagi murid Tahun 2, 3, 4, dan 5 yang diadakan pada hari Ahad, Isnin, dan Rabu sahaja.
Talian Tel. : 09-6125625
Talian faks.: 09-6129954
Alamat email : skmenerong@gmail.com

Renungan...

Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Saturday, 18 February 2012

15,000 Naik Gred : Guru Lepasan Ijazah Nikmati Manfaat Semakan Semula SBPA


Oleh Haspaizi Mohd Zain

haspaizi@bharian.com.my

2012/02/18

Guru Lepasan Ijazah Nikmati Manfaat Semakan Semula SBPA


KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam memberi jaminan 15,000 guru lepasan ijazah yang belum menerima kenaikan gred akan menikmatinya sebaik semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diselesaikan April ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Kementerian Pelajaran sudah mengambil tindakan berhubung kenaikan pangkat itu walaupun SBPA masih di peringkat semakan semula Pasukan Petugas Khas diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

Beliau menjelaskan Kementerian Pelajaran tidak dapat menaikkan gred guru terbabit tahun lalu disebabkan dasar membekukan lantikan baru bermula 20 Mei sehingga 31 Disember, selain tidak mempunyai jumlah perjawatan mencukupi.

“Daripada rekod Kementerian Pelajaran, kita dapati 7,396 pegawai perkhidmatan pendidikan lepasan diploma (PPPLD) sudah diperakui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk dilantik sebagai pegawai perkhidmatan siswazah.


“Bagaimanapun, pelantikan mereka tidak dapat dilakukan tahun lalu berikutan pembekuan itu... sebab itulah timbul isu berkenaan,” katanya di sini, semalam.


Minggu lalu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng mendedahkan kira-kira 15,000 guru lepasan ijazah di seluruh negara belum menerima kenaikan gred DG41 walaupun sebahagian mereka sudah melepasi proses temu duga sejak dua tahun lalu.

Situasi itu menimbulkan ketidakpuasan hati kumpulan guru terbabit yang terpaksa membuat pinjaman pendidikan atau mengeluarkan simpanan peribadi bagi menampung kos menyambung pelajaran masing-masing.

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/15_000naikgred/Article/

Saturday, 21 January 2012

Kerjasama Semua Pihak Kombinasi Penting Tingkat Prestasi Pendidikan

21 Januari, 2012 16:06 PM

BUKIT MERTAJAM, 21 Jan (Bernama) -- Kerjasama guru, pelajar, alumni dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan kombinasi penting dalam usaha setiap sekolah untuk meningkatkan prestasi serta kualiti pendidikan bagi mencapai hasrat melahirkan modal insan cemerlang.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata usaha meningkatkan prestasi dan memperoleh kejayaan yang membanggakan bukan hanya menjadi tanggungjawab sebelah pihak sahaja, sebaliknya usaha yang dilakukan secara berkumpulan.

"Dengan kombinasi guru, pelajar, PIBG dan alumni, secara tidak langsung dapat meningkatkan kejayaan untuk terus bersaing di peringkat global. Ia juga secara tidak langsung dapat melahirkan modal insan yang cemerlang dan berpengetahuan serta kemahiran tinggi," katanya.

Abdullah, yang juga penaung alumni sekolah tersebut, berkata demikian ketika berucap merasmikan kompleks Pra Universiti Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam (SMKTBM) di sini pada Sabtu.

Kompleks yang mula dibina pada Mei 2009 dijangka siap sepenuhnya pada 1 Mac 2012 dengan kos pembinaan sebanyak RM14 juta.

Kompleks itu mengandungi sebuah bangunan tambahan dengan 24 bilik darjah bagi pelajar tingkatan enam bawah dan tingkatan enam atas, dua blok bangunan asrama bagi pelajar lelaki dan perempuan yang boleh memuatkan 250 pelajar serta sebuah dewan makan.

Meskipun kurang sihat dan perlu berehat di rumah kerana serangan virus namun Abdullah tetap menghadirkan diri ke perasmian itu kerana teruja untuk melihat sendiri kompleks Pra Universiti SMKTBM yang kini mencecah usia 85 tahun.

-- BERNAMA

Friday, 20 January 2012

Ajar Mata Pelajaran Keamanan Di Sekolah Seluruh Dunia : Bekas Naib Presiden ICJ

19 Januari, 2012 19:15 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Mata pelajaran berkaitan keamanan perlu dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah di seluruh dunia sebagai langkah untuk mempupuk sikap sederhana, kata bekas naib presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Christopher G.Weeramantry pada Khamis.

Beliau berkata pengajian berkaitan keamanan akan menjadi intipati penting dalam budaya, agama dan adat resam untuk diamalkan oleh seluruh penduduk dunia, dan ini perlu dimulakan di peringkat pendidikan awal.

"Sekali lagi, persefahaman merentasi budaya merupakan sesuatu yang sangat penting. Kanak-kanak perlu mengenali semua agama dan ajaran asas agama lain," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Penyelesaian Konflik: Keperluan Mempunyai Paradigma Baru Antarabangsa' pada Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global (ICGMM) di sini.

Beliau berkata kerjasama pihak lain, termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan individu juga diperlukan dalam mencapai matlamat itu.

Weeramantry berkata beliau berpendapat undang-undang asas antarabangsa perlu diterima secara universal dan kempen khas perlu diadakan agar ia lebih difahami masyarakat di seluruh dunia, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Singapura Prof S Jayakumar berkata usaha kemasyarakatan secara menyeluruh perlu dibuat dalam suasana dunia hari ini yang menyaksikan kemajuan teknologi mengubah cara sesuatu idea disebarkan serta mengubah cara manusia berinteraksi antara satu dengan lain.

Katanya usaha kemasyarakatan ini perlukan pembabitan semua sektor utama terdiri kerajaan, semua lapisan masyarakat serta pemimpinnya selain individu, pertubuhan bukan kerajaan serta media.

"Teknologi, dengan segala kemudahan yang dibawanya, turut memberi ruang kepada penyebaran pendapat yang bersifat melampau, sambil bersembunyi di sebalik tabir ketanpanamaan," katanya.

-- BERNAMA

Kementerian Pelajaran Bekerjasama Dengan CMEDT Untuk Tambahbaik Pengajaran BI

19 Januari, 2012 20:38 PM

PUTRAJAYA, 19 Jan (Bernama) -- Kementerian Pelajaran Khamis menjalin usahasama dengan Cambridge Malaysian Education and Development Trust (CMEDT) dalam usahanya untuk menambahbaik pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri yang dihantar melalui e-mel, kumpulan-kumpulan kerja, terdiri wakil daripada Kementerian Pelajaran, CMEDT dan Lembaga Peperiksaan Malaysia, akan ditubuhkan untuk meneliti butiran usahasama itu.

Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju pada prinsipnya untuk CMEDT mengkaji kurikulum dan menilai rangka kerja, dan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran dalam usaha kementerian untuk menambahbaik pengajaran Bahasa Inggeris.

"Fokusnya ialah untuk mengkaji meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, khususnya dalam kemahiran bertutur dan menulis," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, mengadakan perjumpaan dengan wakil CMEDT di pejabat Kementerian Pelajaran di sini Khamis.

Wakil CMDET termasuk Pengerusi Eksekutif Malaysian Commonwealth Studies Centre, Cambridge (MCSC) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Pengarah MCSC Dr Anil Seal dan bekas Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin.

Menurut kenyataan itu, perjumpaan itu bagi mengkaji usahasama strategik selaras dengan dasar kementerian iaitu Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Ini bertujuan mewujudkan standard yang perlu dalam penguasaan bahasa itu dalam konteks Malaysia termasuk kompetensi guru dan pertimbangan demografi dengan memanfaatkan kepakaran dan sumber CMEDT, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Tuesday, 17 January 2012

NUTP Mahu Dilibatkan Dalam Semakan Semula SBPA

16 Januari, 2012 22:07 PM

PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu kesatuan itu dilibatkan dalam pasukan petugas khas yang diwujudkan bagi menyemak semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presiden NUTP Hashim Adnan berkata penglibatan itu dirasakan amat perlu memandangkan NUTP mewakili sejumlah besar guru di seluruh negara.

"Kita juga telah pun mengumpulkan maklumat serta maklum balas yang diterima, untuk dikongsi dengan pasukan tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.

Jumaat lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan penubuhan pasukan petugas itu yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.

Pasukan itu akan dianggotai pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan presiden Cuepacs serta pegawai kementerian berkaitan serta diberi tempoh dua bulan untuk menjalankan semakan semula SBPA.

Setiausaha Agung NUTP Loke Yim Phing pula berkata, SBPA bukan semuanya tidak baik, cuma ada beberapa aspek dirasakan perlu diperbaiki.

Katanya NUTP akan terus memberikan penerangan kepada warga guru dengan menjemput wakil daripada Kementerian Pelajaran untuk memberikan penjelasan kerana ada beberapa perkara dalam pekeliling SBPA terlalu teknikal dan sukar difahami.

"Kita hendak mengelakkan guru keliru seterusnya terpengaruh dengan kenyataan dalam blog yang bermacam-macam," katanya.


-- BERNAMA

Friday, 13 January 2012

Tangguh SBPA: Jangan salahkan kami, kata Cuepacs

NURUL NADIA MOHD KAMARUZAMAN
January 13, 2012
KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegaskan, pihaknya tidak patut dipersalahkan atas keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang diumumkan secara rasmi semalam.

Keputusan penangguhan dibuat oleh Kabinet dalam mesyuarat mingguannya kelmarin.

Lewat petang semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan SBPA akan disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan skim itu, yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.

Dalam laporan eksklusif semalam, Sinar Harian Online memetik sumber-sumber berkata, Kabinet telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA atas beberapa sebab, antaranya kerana rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Mengulas isu ini, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, dari awal lagi pihaknya tidak terlibat dalam perancangan dan perbincangan mengenai SPBA.

Malah katanya, Cuepacs telah cuba membantah pelaksanaan SBPA kerana sudah menyedari implikasinya, seperti yang disaksikan sekarang.

"Tidak boleh salahkan Cuepacs, semua mahu tumpu pada kami, kalau dulu benda baik Cuepacs buat tidak mahu tumpu, ucap terima kasih pun jarang," katanya ketika ditemui Sinar Harian Online di sini, malam tadi.

Cuepacs mengadakan mesyuarat khas malam tadi bagi membincangkan keputusan penangguhan SBPA.

Tegasnya, Cuepacs sudah dapat menjangkakan rasa tidak puas hati kakitangan awam akan berlaku apabila melihat ketidakseragaman perubahan gaji antara kumpulan gred 27 dan ke atas, yang mengalami kenaikan ketara antara 20 hingga 40 peratus berbanding gred-gred rendah.

Ketika mengumumkan pelaksanaan SBPA dalam ucapan Bajet 2012, Perdana Menteri berkata SBPA, yang memperkenalkan sistem gaji satu lapis, akan membawa kenaikan antara tujuh hingga 13 peratus.

"Apabila lihat skim SPBA ini, kita dapati, kumpulan Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) ke atas, terdapat peratusan naik sampai 50 peratus, terlalu tinggi sedangkan kumpulan gred bawahan hanya empat peratus.

"Macam langit dan bumi. Ini memang mengundang perasan marah.


"Cuepacs tidak mahulah nanti ada yang dapat kenaikan hanya RM40 tapi gred atas sampai RM40,000... perkara ini perlu disemak semula kerana sepatutnya skim ini menceriakan penjawat awam dengan adil dan sama rata," katanya.

Omar berkata, sebelum ini Cuepacs ada diberi taklimat bagaimana skim SPBA berfungsi - dalam menyelaraskan kenaikan gaji penjawat awam, namun kecelaruan berlaku ketika hendak dilaksanakan mulai 1 Januari lalu.

SBPA menggantikan Sistem Saraan Malaysia berkuat kuasa 1 Januari lalu.

"Dalam taklimat kita, gred yang asal, dapat satu kenaikan, akan pindah ke gred yang baru dan akan dapat satu kenaikan lagi. Jadi apabila dicampurkan kedua-dua, inilah kenaikan yang akan diterima.

"Tapi apabila sampai ke (peringkat) jabatan, pelaksanaan itu tidak ada, hanya berlaku kenaikan satu baris di mana apabila ke gred baru gaji, kalau kata RM15, RM15 lah dapat. Ini yang mereka kata tiada kenaikan sedangkan kumpulan di atas dapat kenaikan RM1,500 hingga RM5,000. Maka berlakulah kemarahan (di kalangan kakitangan awam peringkat bawahan)," katanya lagi.

Omar berkata Cuepacs tidak menolak penangguhan SBPA, tetapi menerimanya protes.

Namun begitu, Cuepacs menghormati keputusan itu yang diumumkan oleh Najib semalam dan akan membantu menyelesaikan masalah itu dengan segera.

"Kalau itu keputusan kerajaan, kami menyambut baik dan Cuepacs minta sembilan pegawai tertinggi kami berada dalam (panel) perbincangan itu kerana kami wakil 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

"Jika diwujudkan jawatankuasa lain, kami mahu juga bersama dalam perbincangan itu supaya kami harap isu yang tidak puas hati dan berbangkit ini nak dibawa dalam jawatankuasa itu untuk satu penambahbaikan yang komprehensif berlaku adil dan saksama untu penjawat awam," katanya.

Katanya, Cuepacs akan menekankan beberapa perkara dalam penambahbaikan SBPA dan antaranya penekanan penstrukturan skim baru itu perlu dibuat keseluruhan di mana gred yang tidak terlibat serta badan-badan beruniform juga perlu dikaji semula.

"Gelaran untuk jawatan yang ditukar juga perlu disemak semula mengikut kesesuaian kerana terdapat aduan penjawat awam tidak setuju penukaran jawatan baru.

"Formula kenaikan gaji perlu yang baru supaya pindaan yang akan berlaku yang terbaik, barulah semua pihak berpuas hati.

"Kemudian, senioriti juga perlu diambil kira, kedudukan lama paling maksimum dalam jawatan juga akan diubah dan begitu juga yang telah lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) masih tidak dianjak," katanya lagi.

Ketika ditanya adakah JPA telah memanggil Cuepacs untuk bermesyuarat mengenai hal ini, beliau berkata, pihaknya sudah bersedia dan hanya tunggu dipanggil.

"Perkara ini masih baru dan mekanisme akan ditentukan oleh JPA dan kami akan berbincang, diaharapkan dapat diselesaikan secepat mungkin, redakan keadaan semua peringkat penjawat awam," katanya..

Sinar Harian Online.

Najib: SBPA Disemak Semula

12 Januari, 2012 20:56 PM


KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis mengumumkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula.

Semakan tersebut bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.

"Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuatkuasa mulai 1 Jan 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Beliau berkata Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula.

Katanya semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Najib berkata semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Jan tahun ini.

Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.

"Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak," katanya.

Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, katanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Jan ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Dis lepas.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Dis lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.

-- BERNAMA

Tuesday, 12 April 2011

Program Peningkat Kemahiran Pendidikan Luar Siri 1 SM Negeri Terengganu 2011

12 April 2011 [Selasa] : Buat julung-julung kalinya seramai 80 orang pelajar sekolah menengah seluruh negeri Terengganu telah dikumpul untuk program ini. Antara pengisian program ini ialah aktiviti kerohanian, pendedahan aktiviti air dan menyelamat, kemahiran menggunakan kompas serta pertandingan orienteering dan persembahan kebudayaan.

Program ini telah dikawal selia oleh Encik Marzuki Abdul Ghani, Penyelia Kejurulatihan, Pusat Kokurikulum JPN Terengganu serta dibantu oleh 20 orang jurulatih. Sepanjang program ini dijalankan para peserta juga telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran asas serta disiplin.

Pertandingan orienteering telah diungguli oleh peserta kemaman yang telah berjaya menggondol tempat kedua untuk dua kategori iaitu lelaki dan perempuan.

Perasmian penutup program ini telah disempurnakan oleh Encik Jalaluddin Ismail, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah (Pengurusan Sekolah), Hulu Terengganu. Beliau juga telah menyampaikan sijil serta hadiah kepada para peserta dan pemenang. Majlis penutup tersebut telah dihadiri juga oleh Encik Aminuddin Alias, Penolong Pengarah Program 1, Pusat Kokurikulum JPNT serta Puan Hajjah Hasmah binti Hamzah, Guru Besar SK Menerong.

Warga SK Menerong...

Warga SK Menerong...

www.satisfaction.com