MAKLUM BALAS SURAT PEMBACA
Inisiatif untuk menguji tahap kefasihan Bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan guru BI telah dilaksanakan berikutan rungutan dan anecdotal evidence yang sering diutarakan berkaitan kefasihan bahasa Inggeris dalam kalangan guru BI.
Susulan daripada pentadbiran ujian CPT kepada 61,000 guru BI, KPM telah menetapkan sasaran kefasihan Band B2 untuk guru opsyen BI sekolah rendah dan Band C1 untuk guru opsyen BI sekolah menengah. Ini bermaksud bahawa guru opsyen BI sekolah menengah yang mencapai Band B2 dan B1, dan guru opsyen BI sekolah rendah yang mencapai Band B1 perlu menghadiri kursus Professional Up-Skilling for English Language Teachers (Pro-ELT).
Ujian CPT digunakan sebagai tapisan pertama untuk menentukan tahap kefasihan bahasa Inggeris dalam kalangan guru BI. Untuk memastikan bahawa profisiensi bahasa Inggeris seseorang guru adalah tepat dan betul maka mereka telah menduduki ujian Aptis yang merupakan tapisan kedua. Ujian Aptis telah ditadbirkan kepada kumpulan guru seramai 20 hingga 25 orang pada satu-satu masa. Ujian Aptis mengukur keempat-empat kemahiran bahasa serta pengetahuan bahasa yang dikuasai oleh seseorang guru tersebut. Kedua-dua ujian ini merupakan ujian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa iaitu CEFR (Common European Framework of Reference). Dengan ini, KPM yakin bahawa guru yang dikenal pasti untuk mengikuti program Pro-ELT adalah merupakan guru-guru yang sememangnya memerlukan latihan tersebut bagi memantapkan penguasaan kemahiran bahasa serta pengetahuan bahasa mereka. Sehubungan itu, kenyataan pengadu bahawa pemilihan guru untuk menghadiri kursus Pro-ELT adalah hanya berdasarkan ujian CPT adalah tidak benar.
Kursus Pro-ELT dilaksanakan dalam beberapa fasa kerana guru yang perlu menghadiri kursus ini merupakan satu bilangan yang besar. Untuk Fasa 1, seramai 5,000 guru telah dilibatkan dan ianya telah dijalankan bermula pada bulan November 2012 di negeri Kelantan, Pahang dan Melaka dan pada bulan Januari di negeri Kedah dan Terangganu. Bermula bulan Februari 2013, kursus tersebut juga telah dilaksanakan di beberapa buah pusat di seluruh Negara. Guru-guru yang tidak terlibat dalam Fasa 1 akan dipanggil untuk mengikuti kursus Pro-ELT dalam fasa berikutnya.
Pengecualian daripada mengikuti kursus ini hanya diberikan untuk kes-kes tertentu sahaja seperti yang termaktub dalam Surat Siaran KPM Bil. 31 Tahun 2012 yang berkaitan dengan program ini.
Sehingga kini, tidak ada sebarang arahan dikeluarkan oleh KPM untuk memberhentikan atau mengubah kriteria penerimaan Elaun Bayaran Insentif Subjek Pendidikan atau BISP. Pekeliling Perkhidmatan Bil. 15 Tahun 2002 dan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2003 yang menggariskan kriteria pemberian elaun BISP masih berkuat kuasa. Oleh yang demikian, isu penarikan balik Elaun BISP tidak timbul buat masa ini.
Pro-ELT merupakan kursus kefasihan bahasa Inggeris dan dilaksanakan bertujuan untuk membantu guru-guru BI meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka. Sebagai kumpulan profesional, KPM ingin menjadikan profesion keguruan setaraf dengan profesion yang lain seperti kedoktoran dan guaman. Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab golongan pendidik untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kompetensi berkaitan dengan ilmu keguruan dan bidang pengajaran mereka agar ianya sentiasa selari dengan perkembangan-perkembangan terkini berkaitan dengan bidang berkenaan.
Tanggungjawab yang sedemikian terletak di bahu semua pendidik disebabkan oleh dua perkara utama iaitu : Pertama, golongan pendidik telah diamanahkan untuk mendidik serta memperkembangkan minda anak-anak yang merupakan pemimpin masa depan. Oleh yang demikian, seseorang guru perlu memastikan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang ada adalah sentiasa berada di tahap yang mana guru tersebut boleh melaksanakan tugas sebagai pendidik secara lebih efektif dan memenuhi kepercayaan serta pertanggungjawaban yang telah diberikan kepadanya sebagai salah seorang daripada golongan tersebut. Kedua, KPM sangat menekankan agar guru-guru menghadiri latihan perkembangan profesional secara berterusan. Penekanan ini adalah berdasarkan dapatan kajian yang menyatakan bahawa faktor guru adalah faktor penentu paling penting bagi kejayaan seseorang murid. Justeru, golongan pendidik mesti menyemai kefahaman bahawa mereka telah diberikan tanggungjawab dan amanah yang sangat tinggi untuk memastikan sebaik mungkin golongan tersebut tidak gagal dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab tersebut.
KPM mengamalkan beberapa strategi untuk melaksanakan kursus Pro-ELT berdasarkan lokasi dan konteks sekolah. Mod latihan yang diikuti oleh pengadu ialah mod kluster. Mod kluster diamalkan di kawasan di mana terdapat cukup bilangan sekolah dalam lingkungan 25 kilometer supaya guru telah dikenal pasti boleh menghadiri sesi latihan secara berkelompok. Tujuan KPM mengamalkan mod ini adalah untuk memastikan masa instruksional guru yang terlibat tidak akan terjejas. Dengan mengadakan sesi latihan pada masa luar waktu mengajar, murid tidak akan ketinggalan dalam mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran bersama guru yang berkenaan dan ini adalah selaras dengan dasar Melindungi Masa Instruksional (MMI).
Dalam mod kluster, seseorang guru perlu menghadiri latihan empat (4) jam seminggu. Pada setiap minggu keempat, guru tersebut akan menghadiri dua slot latihan. Pihak penganjur telah menetapkan sesi latihan untuk kursus Pro-ELT dijalankan dari pukul 2 hingga 6 petang selepas mengambilkira pandangan serta persetujuan bersama beberapa kelompok guru (focus groups). Dengan ini, peserta kursus Pro-ELT tidak perlu menghadiri kursus pada hujung minggu. Pada masa yang sama, di kebanyakan sekolah, pihak pentadbir telah mengubah suai jadual mengajar guru yang terlibat dalam program ini. Ini adalah untuk memberi peluang kepada guru tersebut untuk menamatkan sesi pengajaran lebih awal dan memberikan ruang yang cukup kepada guru berkenaan untuk makan dan berehat sebelum membuat perjalanan dengan selamat ke pusat latihan bagi menghadiri kursus tersebut.
Guru yang terlibat dalam latihan mod kluster juga akan dikehendaki untuk mengikuti latihan Pro-ELT selama lima (5) hari semasa cuti persekolahan. Sekiranya, seorang guru tidak dapat menghadiri kursus Pro-ELT pada minggu yang ditetapkan untuk kumpulannya maka guru tersebut diberi kelonggaran untuk menghadiri latihan selama lima (5) hari tersebut pada minggu yang lain yang dapat disesuaikan dengan perancangan percutian mereka. Pihak penganjur sentiasa cuba untuk mengurangkan kesulitan yang perlu dihadapi oleh guru-guru BI yang terlibat pada tahap seminimum yang mungkin. Perlu diingatkan bahawa seseorang guru boleh dipanggil balik untuk menjalankan tugas rasmi untuk separuh tempoh cuti persekolahan seperti yang termaktub dalam Perintah Am Bab C (50).
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment