Assalamualaikum anak-anak calon UPSR
Terengganu 2012
Apa khabar kalian? Semoga semuanya
sihat dan bersemangat. Tenang dan tenteram. Masa pertarungan yang dinanti
sekian lama kian mampir. Usah gentar, usah takut. Ketakutan hanyalah ada pada
jiwa sang pengecut. Kamukan bukan insan seperti itu. Tidak! Kamu pahlawan dan
harapan yang telah diasuh dan dilatih oleh para pendeta untuk pertarungan ini.
Anak-anak kami yang berani,
Sebelum melangkah ke gelanggang pada 11,12 dan 13 September 2012 nanti ingin
kami berpesan dan menitipkan beberapa petua agar selari pencak dengan
rentaknya, selagu seirama buah
gurindamnya serta arif bijaksana mentafsir tipu muslihat persoalannya.
Pertama jangan alpa membaca Bismillah,
kunci pembuka resah dan susah. Berkatnya tidak payah dicerita. Semoga dengan
rahmat namaNya segala urusan bakal
menjadi mudah dan sempurna. Namun ingat, sebelum turun ke gelanggang salami
tangan ibu ayah yang dikasihi. Mohon keampunan dan restu. Insya’allah
doanya mustajab serasi dengan izin dan kehendak Allah. Mudah-mudahan
pertarungan menjadi mudah, kejayaan menjadi milik dengan gah.
Anak-anak yang budiman,
Jangan sesekali bergopoh-gapah, resah-gelisah.
Sediakan awal segala peralatan dan keperluan. Syaitan sentiasa mahu kita lalai
dan kucundang. Justru lawan syaitan itu dengan ketenangan dan kebijaksanaan.
Teliti soalan dan jawapan dengan minda sejati dan pandangan mata hati bukannya
gopoh-gapah membuta–tuli. Biar nampak mudah namun sabar, jangan terpesona
godaan syaitan madah berhelah. Insya’allah dengan “ketenangan dan kesabaran”
yang kusut dapat dilerai, yang sukar dapat diungkai.
Anak-anak yang bijaksana,
Sesudah selesai sesuatu pertarungan
dan didapati ada berlaku sedikit kesilapan tingkah dan langkah, jangan sesal
dan gunda-gelana. Jangan terbuai dalam lamunan emosi hingga hilang fokus dan
kosentrasi. Kesilapan kecil bukanlah pembunuh kepada kemaraan perjuangan yang
lebih besar. Tumpukan segala daya dan tenaga untuk memenangi dan menguasai pertarungan
seterus nya. Jadikan kesilapan yang ada itu guru untuk mengajar kita supaya
bijaksana,sabar dan teliti. Ingat orang yang bijaksana itu, “Apa yang diusaha
dan dicapai hari ini lebih baik dari semalam dan apa yang diusaha dan dicapai
besok lebih baik dari hari ini”.
Anak-anak pewaris bangsa,
Jangan sesekali memandang enteng
pertarungan ini. Pertarungan UPSR ini adalah yang pertama dan terakhir. Tiada
lagi pertandingan ulangan sama ada menang atau kecundang. Tidak ada. Oleh itu
guna peluang ini sebaik mungkin. Jangan undur dan mengaku kalah. Kamu adalah
sang juara terhebat. Harapan untuk membawa obor amanah dan maruah
diri,keluarga,bangsa,agama dan negara pada masa depan. Sekolah Berasrama Penuh,
Maktab Rendah Sains Mara dan bermacam lagi sekolah hebat sedang menunggu kamu.
Kamu adalah permata kami yang perlu dicanai di sekolah-sekolah hebat ini agar
gemerlap menyinari semesta tamaddun bangsa pada masa depan. Jangan lepas
peluang ini.
Rebut, rebut, rebut dan rebut.
Anak-anak yang bersemangat waja,
Katakan kepada dirimu sendiri..
Jika ada 1,000 manusia yang beroleh
5A UPSR 2012
Akulah salah seorang daripadanya….
Jika ada 100 manusia yang beroleh 5A
UPSR 2012
Katakan kepada dirimu sendiri..
Akulah salah seorang daripadanya…
Jika ada 10 manusia yang beroleh 5A
UPSR 2012
Katakan kepada dirimu sendiri…
Akulah salah seorang daripadanya…
Jika ada 1 sahaja manusia yang
beroleh 5A UPSR 2012
Katakan kepada dirimu sendiri..
AKUlah itu….
Anak-anak kami yang kami kasih kami
doakan…
Ya Allah Ya Tuhan Kami,
Berikah anak-anak kami yang bakal
menduduki UPSR
Kekuatan minda, jiwa, rohani dan
spiritual,
Campak ke dalam hati mereka ketenangan dan keberanian..
Ya Allah Ya Rahim
Dengan sifat penyayang dan pengasihMU
Berikan kesihatan yang mantap serta
terhindar dari
Segala penyakit dan musibah sepanjang
Menduduki ujian UPSR ini…
Lapang dan permudahkanlah urusan
mereka
menghadapi ujian ini agar nanti bakal
menjadi anak-anak pintar soleh
mengenang budi
serta pendokong ummah dan agamaMu
dipersada dunia dengan cemerlang dan terbilang.
Ya Allah…
Hanya kepadaMu kami memohon
Keampunan dan pertolongan
Amin….
Salam Perjuangan
USR Blogger Team
JPN Terengganu
09.09.2012
http://unitrendahspsjpnt.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment