YAB
TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN
PERDANA MENTERI
MERANGKAP
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI
MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN HARI GURU KALI KE-41
PADA
16 MEI 2012 (RABU);
PUKUL 10.00 PAGI
BERTEMPAT
DI DEWAN JUBLI PERAK,
KUALA KANGSAR, PERAK
TEMA:
“GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam
Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Yang
Amat Berhormat Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir, MB Perak;
Yang
Berhormat Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran I;
Yang
Berhormat Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi, Timb. Menteri Pelajaran II;
Yang
Berbahagia Dato' Dr. Rosli bin Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran
Malaysia;
Yang
Berbahagia Dato' Sri Abdul Ghafar bin Mahmud,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
Yang
Berbahagia Tuan Haji Mohd. Idris bin Haji Ramli, Timbalan Pengarah Jabatan
Pelajaran Negeri Perak
Timbalan-Timbalan
Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,
Rektor
Institut Pendidikan Guru Malaysia,
Ketua-Ketua
Bahagian Kementerian Pelajaran Malaysia,
Pengarah-Pengarah
Pelajaran Negeri,
Tan
Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan
dan para pendidik yang saya hormati sekalian.
1. Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat
Allah S.W.T. dengan limpah izin dan kurnia-Nya, dapat kita sama-sama berkumpul
di Bandar DiRaja Kuala Kangsar, Perak pada hari ini sebagai tanda pengiktirafan
dan terima kasih kita yang tidak
terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru, warga Kementerian
Pelajaran dan semua insan yang bergelar pendidik di negara kita.
Saya
ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Haji
Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak atas kesudian kerajaan negeri Perak
menjadi tuan rumah sambutan Perayaan Hari Guru yang ke-41 pada tahun ini.
GURU
INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
Saudara
dan saudari yang saya hormati sekalian,
2. Malaysia sedang berada di ambang negara maju.
Untuk tempoh lapan tahun dari sekarang, negara
kita akan melalui satu fasa transformasi penting yang akan menentukan
samada kita berjaya melangkah ke gerbang negara maju apabila fajar tahun 2020
menyinsing. Dalam era transformasi ini, seluruh minda dan kudrat rakyat perlu
digembleng untuk memacu kemajuan negara dalam persekitaran global yang lebih
mencabar.
3. Sepanjang perjalanan kita melalui liku zaman
transformasi, bukan sedikit cabaran yang bakal kita hadapi. Bagi para guru,
cabaran paling getir adalah bagaimana
untuk melonjakkan kualiti dan ekuiti pendidikan dalam tempoh yang terdekat.
Tujuannya ialah, pertama, supaya sistem pendidikan negara kita mampu melahirkan
insan yang berupaya memacu kemajuan pesat negara dan mengisi keperluan sebuah
masyarakat maju. Dan kedua, supaya setiap murid di negara kita, tanpa mengira
kaum, agama, wilayah dan status sosial berpeluang untuk mengecap nikmat
pendidikan yang berkualiti secara adil dan saksama.
4. Lantaran itu, kerajaan memberikan tumpuan
utama kepada usaha meningkatkan kualiti
pendidikan negara secara menyeluruh. Ini kerana kita tahu bahawa menyediakan
pendidikan yang berkualiti untuk rakyat adalah satu-satunya wadah bagi
melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan berdaya saing. Modal insan inilah
yang akan memacu kemajuan negara kita ke tahap yang lebih tinggi. Di pundak merekalah
letaknya harapan kita untuk melihat kemajuan dan pembangunan negara dijana
dengan lebih pesat dan mapan, demi kesejahteraan dan kemakmuran masa depan kita bersama.
5. Usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan
negara telah kita mulakan. Sejak tiga tahun yang lalu, kita telah melaksanakan
empat inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor
pendidikan, yang bertujuan untuk memperluas akses kepada pendidikan yang
berkualiti dan berkemampuan. Alhamdulillah, berkat kegigihan para guru di
segenap pelusuk negara dan sokongan padu seluruh warga Kementerian, kita telah
menempa kejayaan
yang membanggakan. Dalam tempoh yang singkat, kadar penyertaan murid
pra-sekolah berjaya kita tingkatkan, sasaran penguasaan literasi dan numerasi
murid mampu kita capai, bilangan sekolah berprestasi tinggi bertambah dan
bai’ah dengan pengetua dan guru besar terlaksana. Syabas dan tahniah saya
ucapkan kepada semua guru dan warga kementerian yang telah menggerakkan seluruh
kudrat dan ikhtiar untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara.
Saudara
dan saudari yang saya hormati,
6. Kita pastinya berbangga dengan kejayaan besar
yang dicipta oleh guru-guru kita. Selama lebih lima dekad berada di persada
pendidikan negara, guru-guru kita telah memberi sumbangan yang amat bermakna
kepada kemajuan dan pembangunan yang kita kecapi hari ini. Berkat sentuhan para
gurulah, lahirnya insan-insan yang terdidik dengan ilmu dan adab, yang kini
berada di setiap lapangan ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan sebagainya
untuk menggerakkan
kemajuan bangsa dan nusa. Kejayaan negara kita beralih daripada sebuah negara
berasaskan ekonomi pertanian kepada sebuah negara perindustrian baru yang pesat
berkembang, sebahagian besarnya adalah kerana jasa dan bakti para guru.
Justeru, tidak ada sesiapapun yang boleh memandang rendah dan memperleceh
peranan serta sumbangan besar para guru terhadap kemajuan yang dicapai oleh
negara kita hari ini.
7. Sementara kita menghargai segala jasa guru,
kita tidak mengambil sikap mudah berpuashati dengan pencapaian sedia ada. Dalam
menghadapi persaingan global yang semakin sengit, kita tahu bahawa sistem dan
amalan pendidikan di negara kita perlu ditransformasi. Kualiti guru-guru kita
perlu dimantapkan, mutu kepimpinan sekolah perlu ditingkatkan, kurikulum dan
sistem pentaksiran perlu diperkemaskan, prasarana sekolah perlu ditambahbaik, sumber
dan sistem penyampaian pendidikan perlu diurus dengan lebih cekap.
Pendek
kata, keseluruhan sistem pendidikan kita perlu disemak dan dimantapkan
kualitinya secara bersepadu.
8. Sehubungan itu, Kementerian telah memulakan
proses Kajian Semula Pendidikan Negara. Satu laporan awal yang menggariskan
aspek-aspek utama yang perlu diberi perhatian telah pun disediakan oleh
kumpulan pakar. Kita juga telah memulakan proses Dialog Nasional Pendidikan
Negara untuk mempelawa pandangan dan saranan daripada seluruh rakyat, tentang
cara bagaimana kita boleh meningkatkan
mutu dan tahap pendidikan negara kita agar setanding dengan negara-negara maju.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengundang guru-guru menyertai dialog
pendidikan negara dan tampil dengan idea-idea bernas untuk meningkatkan mutu
pendidikan kita.
9. Apatah lagi, aspek paling penting dalam
proses kajian semula pendidikan ini ialah kualiti guru. Hanya guru yang
berkualiti dapat mewujudkan pendidikan yang berkualiti. Saya percaya, guru-guru
yang telah lama berkecimpung dalam bidang pendidikan dapat mengemukakan saranan
terbaik tentang bagaimana kualiti guru, termasuk kualiti pengajaran dan
pembelajaran, dapat kita tingkatkan.
GURU
BERKUALITI, GURU BERINOVASI
Saudara
dan saudari yang saya hormati,
10. Dalam menempuh era globalisasi yang semakin
diwarnai oleh ekonomi berteraskan ilmu dan inovasi, maka pada hemat saya, guru
yang berkualiti adalah guru yang berinovasi. Izinkan saya memberi sedikit
huraian tentang apa yang dimaksudkan dengan guru berinovasi. Pada pengamatan
saya, guru berinovasi ialah guru yang mempunyai kebolehan untuk melengkapkan
murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara kritis, kebijaksanaan
menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi. Dalam konteks ini,
sebelum melangkah masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi akan menekuni
kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai.
Ketika
berada di dalam bilik darjah, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu
cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, tetapi sentiasa berfikir
di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah dan pendekatan baru yang
lebih berkesan. Yang penting, objektif pembelajaran dicapai.
11. Selanjutnya, seorang guru berinovasi juga
akan memberi tumpuan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh
merangsang daya fikir dan daya kreativiti murid. Keutamaan guru berinovasi
ialah untuk memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajar di dalam
bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan, tetapi untuk
membolehkan mereka menyelesaikan permasalahan yang dihadapi di dunia nyata.
Bermaksud,
guru berinovasi ialah guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling
kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah
kebijaksanaan berfikir. Seterusnya, guru berinovasi juga berupaya menilai
pencapaian dan potensi murid secara holistik, serta sentiasa mengambil langkah
proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya mereka dapat bersaing di
dunia yang semakin mencabar.
12. Ini bermakna, guru berinovasi ialah guru yang
sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah
mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang
dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di
alam nyata. Untuk itu, guru berinovasi akan sentiasa menggunakan pelbagai
kaedah dan cara untuk mengasah daya fikir, daya kreativiti dan daya tahan
murid, dan seterusnya menjadikan mereka insan yang berdaya saing dan berakhlak
mulia. Sekiranya semua guru di negara
kita adalah guru berinovasi, saya yakin matlamat kita untuk melahirkan modal
insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan berketrampilan akan
tercapai.
KEJAYAAN
GURU DAN SEKOLAH BERINOVASI
13. Keyakinan saya berasaskan kepada fakta bahawa pada masa ini di sekolah-sekolah kita
di segenap ceruk tanah air, terdapat mutiara inovasi yang bergemerlipan.
Antaranya, murid Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, Subang Jaya telah merangkul
pingat emas dalam Pertandingan World Robotic. Olympiad di Abu Dhabi, Emeriah
Arab Bersatu pada bulan November tahun lalu.
Kejayaan
ini membuktikan pendidikan berteraskan kreativiti dan inovasi mampu melahirkan
murid yang berjaya menempa kecemerlangan di peringkat antarabangsa. Tahniah
saya ucapkan kepada murid dan guru SMK USJ 4, Subang Jaya.
14. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Cikgu
Harris Ganae bin Nanar dari Sekolah Menengah Sains Kepala Batas yang berjaya
memenangi Pingat Emas bagi kategori Modul Pengajaran Terbaik dalam pertandingan
ASEAN Camp for Gifted In Science pada tahun 2011. Cikgu Harris juga patut
dipuji kerana hasil inovasi beliau, Sekolah Menengah Sains Kepala Batas telah
meraih banyak kejayaan dalam Pertandingan Rekacipta di peringkat kebangsaan dan
antarabangsa. Ini termasuk Pertandingan Inovasi Sains SBP Kelapa Sawit anjuran
Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan The Second APEC Conference for the Gifted In
Science di Korea.
15. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah
kepada Cikgu Khairuddin bin Nasa dan Cikgu Abdul Razak bin Haron dari Sekolah
Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun Perak, yang telah berjaya
merangkul Anugerah Guru Inovatif 2012. Semoga kejayaan anda berdua akan
mendorong guru-guru di seluruh negara untuk menjadi guru berinovasi,
bersesuaian dengan tema Hari Guru tahun ini.
MEMANTAPKAN
BUDAYA INOVASI DI SEKOLAH
Saudara
dan saudari yang saya hormati sekalian,
16. Kementerian akan terus berusaha untuk
meningkatkan pembudayaan inovasi di sekolah. Bermula tahun 2011, Kementerian
telah melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang menekankan
aspek pemikiran kritis, kreatif dan inovatif sejak peringkat awal persekolahan.
Saya yakin transformasi kurikulum yang dilaksanakan akan membuka peluang kepada
guru untuk mengenalpasti strategi penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran
secara berterusan. KSSR diharap menjadi landasan kepada guru untuk menjana
pelbagai kaedah pengajaran dan seterusnya mengatasi masalah murid lemah
menerusi teknik pembelajaran secara intervensi.
17. Kementerian Pelajaran juga telah bekerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia
(AIM) untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui Program i-Think. Program
ini adalah antara pendekatan baru yang sesuai diguna pakai oleh guru untuk
meningkatkan pena’akulan dalam kalangan murid.
Program ini telah dirintis di sepuluh buah sekolah dan diharapkan dapat
diperluaskan ke seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan
pembelajaran.
18. Selain itu, Kementerian Pelajaran dan
Kementerian Pengajian Tinggi sedang merangka Pelan Tindakan Pembangunan Modal
Insan Inovatif untuk membudayakan inovasi dan kreativiti dalam kalangan murid.
Melalui pelan ini, sekolah akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang
menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara kreatif bagi melahirkan modal
insan yang inovatif.
Pelan
Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif diharap akan digunakan sepenuhnya
oleh guru sebagai garis panduan untuk mencapai hasrat negara meningkatkan
keupayaan daya saing negara yang diukur berdasarkan kemampuan rakyat untuk
berinovasi.
MEMARTABAT
PROFESYEN KEGURUAN
19. Usaha membudayakan inovasi di sekolah tidak
akan tercapai tanpa guru-guru yang berkualiti. Oleh itu, Kementerian sentiasa
berusaha meningkatkan kualiti guru melalui sokongan dasar, latihan dan
insentif. Dalam hubungan ini, Kementerian komited untuk mencapai sasaran 60
peratus guru siswazah di sekolah rendah dan 90 peratus guru siswazah di sekolah
menengah menjelang tahun 2015. Sehingga kini, program pensiswazahan guru telah
berjalan lancar dengan 69.6 peratus daripada 66,124 guru yang disasarkan telah
menerima tawaran
mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi.
20. Biarpun mengharap dedikasi guru yang tidak
terhingga dalam mendidik anak bangsa, kerajaan tetap mengambil perhatian serius
terhadap keluhan guru yang terbeban dengan pelbagai tugas dalam memastikan
kelancaran dan keberkesanan organisasi sekolah. Oleh itu, Jawatankuasa Kerja
Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani
14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru. Antaranya, Jawatankuasa
Kerja ini memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah yang merupakan satu sistem
tunggal kemasukan data untuk mengurangkan beban tugas guru yang menggunakan
pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini.
Sistem
ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah, dan dijadualkan semua
sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini
menjelang tahun 2013.
21. Selain itu, KPM juga sedang menjalankan
kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 sehingga Jun 2012 untuk melihat impak penempatan Pembantu
Tadbir bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru.
Seterusnya
satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi
perluasan penempatan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah di bawah
Kementerian. Bagi menangani isu beban tugas guru ini juga, semua Jabatan
Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara
serta menambahbaik pengendalian ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah. Oleh
itu, pada tahun ini hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan. Pemansuhan
sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan dikuatkuasakan mulai tahun 2013,
di mana semua ujian akan dijalankan dalam waktu pengajaran dan pembelajaran.
22. Selaras dengan usaha kerajaan untuk menambah
baik Skim Perkhidmatan Pendidikan, peruntukan tempoh minimum kenaikan pangkat secara
Time-Based berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana diumum oleh YAB
Perdana Menteri pada 8 Mac yang lalu. Bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Siswazah gred DG41, hanya 8 tahun diperlukan untuk kenaikan ke gred DG44, 8
tahun untuk gred DG44 ke DG48, 6 tahun untuk gred DG48 ke DG52, dan hanya 3
tahun untuk DG52 ke DG54. Manakala bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan
Diploma gred DGA29, hanya 8 tahun diperlukan untuk naik ke gred DGA32, 8 tahun
untuk gred DGA32 ke DGA34, dan hanya 5 tahun untuk gred DGA34 ke DGA38.
23. Lanjutan pengumuman YAB Perdana Menteri,
seramai 390 orang guru telah dinaikkan ke gred DG54, manakala 676 orang ke gred
DG52, 3,938 orang ke gred DG48 dan 19,805 orang ke gred DG44. Bagi Guru Bukan
Siswazah pula, seramai 399 orang dinaikkan ke gred DGA38, manakala 2,639 orang dinaikkan
ke gred DGA34 dan 9,519 orang ke gred DGA32. Dianggarkan seramai
8,222 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831 orang Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma akan dipertimbangkan untuk kenaikan
pangkat apabila memenuhi syarat tempoh perkhidmatan mulai 1 Jun 2012 sehingga
31 Disember 2012. Guru-guru boleh membuat semakan di laman web Kementerian
Pelajaran mulai hari ini.
24.
Selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan
dan memartabatkan profesion keguruan, saya ingin memaklumkan bahawa proses
kenaikan pangkat Pengetua dari gred DG48 ke DG52 dan Penolong Kanan dari DG44
ke DG48 telah dilaksanakan oleh Kementerian.
Setakat
ini seramai 854 orang Pengetua telah dinaikkan pangkat dari DG48 ke DG52 dan
4,270 orang Penolong Kanan telah dinaikkan pangkat dari DG44 ke DG48. Kenaikan
pangkat ini melibatkan Pengetua dan
Penolong Kanan yang merupakan penyandang sedia ada sebelum atau pada 31
Disember 2011, dan yang memangku jawatan sebelum atau pada 31 Disember 2010.
Tarikh kuatkuasa kenaikan pangkat ini adalah pada 1 Januari 2012. Baki
penyandang jawatan
Pengetua dari gred DG48 ke DG52 seramai
430 orang dan baki penyandang jawatan Penolong Kanan Gred DG44 ke Gred DG48
seramai 2,655 orang akan diperakukan secara berperingkat mulai Jun 2012 setelah
calon-calon memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
25. Bagi melaksanakan semua urusan kenaikan
pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, kerajaan telah memperuntukkan 934 juta
ringgit, iaitu satu jumlah besar yang membuktikan kesungguhan kerajaan memberi pengiktirafan
kepada usaha para guru dalam membentuk modal insan yang berpersonaliti unggul.
Justeru, saya berharap agar peluang kenaikan pangkat ini akan memberi semangat
dan dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan
prestasi.
Saudara
dan saudari yang saya hormati sekalian,
26. Saya yakin guru berinovasi akan dapat
mentransformasi pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan murid yang berdaya
saing, berakhlak mulia dan bersemangat waja. Saya berharap guru juga sentiasa
memelihara kemuliaan akhlak dan ketinggian budi pekerti supaya guru terus
dihormati dan menjadi suri teladan kepada murid dan masyarakat.
27. Untuk memastikan ilmu pengetahuan dapat
diterima dengan sebaiknya oleh murid, saya amat berharap agar guru bukan sahaja
menyampaikan ilmu, tetapi bertindak sebagai murabbi yang berperanan mendidik
rohani, jasmani, akal dan emosi murid supaya mereka dapat menghayati dan
mengamalkan ilmu yang dipelajari. Maka, guru menggalas amanah yang amat mulia
dalam memperbaharui dan memperbaiki kehidupan manusia. Tajdid pendidikan akan terhasil
apabila guru dapat membangun jiwa, membina akal dan membentuk akhlak manusia
dengan asuhan ilmu dan adab yang mulia.
28. Sesungguhnya, tidak terhitung jasa dan bakti
guru kepada bangsa dan negara. Justeru, saya bagi pihak kerajaan ingin
mengucapkan jutaan terima kasih kepada para guru dan semua insan yang bergelar
pendidik, baik yang berada di sekolah, di institut pendidikan guru, di
kolej-kolej matrikulasi, di institusi pengajian tinggi, di institusi-institusi
latihan atau di mana jua anda berada, samada yang masih berkhidmat atau telah
bersara. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas segala
sumbangan dan pengorbanan anda semua dalam menggalas amanah mulia mendidik anak
bangsa dan mengangkat martabat nusa. Kepada guru-guru pesan saya, sayangilah
murid anda, dan kepada murid nasihat saya, hormatilah dan hargailah jasa guru
anda.
Akhir
kalam, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan
Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-41 Tahun 2012.
Selamat
Hari Guru! Terima Kasih Cikgu!
Wabillahi
al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dipetik dari laman sesawang :
Kementerian Pelajaran Malaysia
http://www.moe.gov.my/?id=13&aid=2663
No comments:
Post a Comment