SK Menerong [TBA 5014] merupakan sebuah sekolah yang terletak di dalam daerah Hulu Terengganu. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) Luar Bandar. Proses P & P di sekolah ini berjalan pada sidang pagi sahaja. Pada waktu petang, bilik-bilik darjah digunakan untuk kelas Fardhu Ain (KAFA) bagi murid Tahun 2, 3, 4, dan 5 yang diadakan pada hari Ahad, Isnin, dan Rabu sahaja.
Talian Tel. : 09-6125625
Talian faks.: 09-6129954
Alamat email : skmenerong@gmail.com

Renungan...

Thursday, 8 March 2012

Pelarasan Gaji SSM Turut Dinikmati Penjawat Awam Di Tangga Gaji Maksima - CUEPACS


08 Mac, 2012 20:39 PM


KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Penjawat awam yang telah mencapai tangga gaji maksima akan turut menikmati pelarasan gaji di bawah penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).


"Mekanisma pelarasan dan butiran terperinci akan kita bincangkan dalam suruhanjaya yang ditubuhkan nanti," kata Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman ketika dihubungi Bernama Khamis.


Najib hari ini mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan SSM yang ditambah baik selain mengumumkan pelarasan gaji di antara tujuh peratus dan 13 peratus bagi penjawat awam mengikut gred.


Perdana Menteri juga mengumumkan penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan malah rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.


Omar berterima kasih kepada Perdana Menteri bagi pihak penjawat awam di atas pengumuman tersebut dan meminta penjawat awam agar bersabar dengan pelaksanaan pelarasan gaji tersebut.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan pula berkata keputusan membatalkan SBPA dilihat sebagai tindakan bijaksana yang memberi keadilan kepada semua pihak.


"Mungkin ada pihak yang kurang puas hati dengan keputusan ini, namun kita perlu rasional bahawa kerajaan dalam masa yang sama tidak mampu memuaskan hati semua pihak," katanya.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) Khairil Niza Khairuddin yang menyambut baik pelarasan gaji itu bagaimanapun mahu kerajaan bertindak mengawal kenaikan harga barang di pasaran supaya tidak menjejaskan kenaikan gaji penjawat awam.


Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata pembatalan SBPA adalah bukti kerajaan mengiktiraf dan memahami beban rakyat terutamanya penjawat awam.


"Sistem negara moden memperuntukkan kerajaan perlu mengambil kira dan pandangan dari pihak peniaga mahupun masyarakat sivil dan pembatalan ini jelas menunjukkan Perdana Menteri kita telah mengotakan janjinya sebelum ini," katanya.


Anggota tentera Saiful Azmie Mohammed, 35, yang bakal menerima kenaikan gaji 13 peratus berkata pembatalan SBPA adalah satu tindakan yang wajar.


"Anggota beruniform seperti saya yang berada dalam kumpulan antara gred 42 hingga 44 tidak ada bantahan dengan pembatalan dan kenaikan gaji," katanya.


Seorang guru Mohd Sanusi Ismail, 46, berkata penjawat awam perlu bersyukur dengan kenaikan tersebut dan tidak patut mengeluh mahukan gaji yang lebih tinggi daripada kerajaan.


"Jumlah kenaikan telah diputuskan, saya tidak kisah kerana bagi saya mudah, jika kewangan kerajaan mampu dan ada bajet lebih, sudah pasti rakyat dan penjawat awam orang pertama yang akan menerimanya," katanya.


Pensyarah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam Zariyawati Shaari, 32, berkata pembatalan SBPA mempunyai kebaikan dan keburukan.


"Saya menerima kenaikan 13 peratus, namun masih terlalu awal untuk menilai dan terdapat beberapa isu yang masih tidak jelas mengenai pembatalannya.


Penolong Pentadbir Tanah Ahmad Fayadh Abdul Manap, 26, pula kecewa dengan pembatalan SBPA.


"Saya rasa SBPA ini memberi satu fasa baru kepada penjawat awam secara keseluruhannya. Sepatutnya SBPA yang perlu ditambah baik bukan SSM yang dikekalkan.


"Perlu diingatkan bahawa mereka yang mendapat kenaikan gaji berdasarkan skim SBPA merupakan pegawai kerajaan yang mempunyai kelayakan akademik setimpal," katanya.


Beliau berkata kenaikan gaji pegawai kerajaan melalui skim SBPA secara tidak langsung boleh membantu mereka untuk membayar balik pinjaman pendidikan ketika menuntut di institut pengajian tinggi sebelum ini.


Kakitangan Majlis Perbandaran Bentung A Kalaichalvi, 32, berkata beliau berpuas hati dengan pengumuman hari ini kerana jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dengan nasib kakitangan awam terutamanya golongan bawahan.


Wan Othman Deraman, 55, dari Majlis Daerah Besut berpendapat pelarasan gaji 13 peratus bagi kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga 54 merupakan keputusan yang adil untuk semua penjawat awam.


"Pemansuhan SBPA pula kembali merapatkan jurang antara pegawai atasan dan kekananan," katanya.


Mohd Noor Shukor, 54, yang bertugas di Jabatan Pertanian Negeri Perak pula beranggapan ia sesuatu yang adil dan saksama dan dapat menghapuskan segala kritikan terhadap kerajaan sejak SBPA diperkenalkan.


"Terima kasih Perdana Menteri kerana memberi khabar gembira dan berharap semua berpuas hati dan membalas jasa baik kerajaan dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik," katanya.


Petugas Jabatan Imigresen Johor Kee Siew Lan, 28, pula mengucapkan terima kasih kerana sudi mendengar setiap masalah yang dihadapi penjawat awam dan pemansuhan skim itu merupakan langkah tepat demi memastikan penjawat awam terus memberi komitmen dalam mutu kerja.


Di KEMAMAN, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata pengumuman Perdana Menteri mengenai pembatalan SBPA dan mengembalikan SSM yang ditambah baik adalah pilihan terbaik yang diberikan bagi penjawat awam.


"Kakitangan awam patut berpuas hati dengan apa yang diperjuangkan oleh CUEPACS sehingga Perdana Menteri sanggup membatalkan SBPA itu untuk memberi kepuasan kepada kakitangan kerajaan.


"Ini menunjukkan kerajaan semasa adalah kerajaan yang prihatin dan sentiasa menjaga kebajikan serta mendengar masalah rakyat," katanya. Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata kira-kira 4,000 penjawat awam termasuk berstatus kontrak di bawah Jabatan Ketua Menteri Melaka akan menerima kenaikan antara 7 hingga 13 peratus itu mengikut tarikh penyelarasan yang ditetapkan kerajaan pusat.


Katanya penyelarasan tersebut merupakan satu kenaikan yang wajar dan sebagai motivasi agar penjawat awam di negara ini dapat meningkatkan produktiviti negara ke arah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. -- BERNAMA

No comments:

Warga SK Menerong...

Warga SK Menerong...

www.satisfaction.com