Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia, 1Ummah;
Saudara dan saudari sekalian,
- Setinggi kesyukuran penuh kepujian kepada Allah SWT, dengan nikmat dan izin-Nya jua, dapat kita meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tanggal 12 Rabiulawal 1433 Hijrah ini bersamaan 5 Februari 2012 Masehi. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW jua ke atas keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas sekalian Tabiin dan ulama sepanjang zaman.
- Sesungguhnya, baginda Rasulullah SAW telah berjaya membawa transformasi murni kepada umat sejagat. Terbukti apabila kegelapan jahiliah telah sirna bila berhadapan dengan sinar risalah nubuwah. Transformasi insani ini lahir daripada kasih sayang dan keperihatinan baginda terhadap kesejahteraan umat sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Quran, surah at-Taubah ayat ke-128 yang bermaksud:
- Menjejaki sirah gemilang ini, kita dapat menyaksikan bagaimana melalui dakwah imaniah yang dibawa, akhirnya memunculkan satu tamadun yang sangat hebat kepada ummah. Maka bertepatan sekali dengan tema “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah” yang dipilih untuk tahun ini dalam usaha kita menjayakan agenda transformasi negara.
- Persefahaman inilah yang saya utarakan melalui Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) ke seluruh dunia dengan seruan bagi memupuk sifat kesederhanaan dan keseimbangan dalam semua aspek kehidupan manusiawi. Sememangnya, keharmonian dan perpaduan rakyat pelbagai kaum yang kita kecapi pada hari ini, menjadi teladan kepada bangsa-bangsa lain di dunia.
- Justeru, di dalam mendahulukan perpaduan, kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat. Melalui program Inisiatif Kerajaan, kita telah mewujudkan beberapa produk di bawah jenama 1Malaysia seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Menu Rakyat 1Malaysia, Amanah Saham 1Malaysia, Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M), Baucar Buku 1Malaysia (BB1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan terbaru Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia). Semua inisiatif ini jelas bertepatan dengan konsep negara Madinah yang telah diasaskan oleh Rasulullah SAW dalam menjaga kebajikan rakyat.
- Sempena Maulidur Rasul kali ini, saya dan keluarga berdoa agar Allah SWT memberikan kepada kita semua limpahan taufik dan hidayah-Nya untuk kita memperteguhkan tekad dalam melaksanakan pembangunan negara. Ya Allah, abadilah rahmat dan nikmatMu di bumi bertuah ini; serta sempurnakanlah iltizam kami bagi memperjuangkan agenda ummah dengan segala kesyumulannya serta penuh hikmah. Kepada Mu-lah jua kami memohon kekuatan dan inayah. Amin.
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”
Sekian.
Wabillahit Taufik wal Hidayah. Wassalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.
Dipetik daripada http://www.1malaysia.com.my
No comments:
Post a Comment