SK Menerong [TBA 5014] merupakan sebuah sekolah yang terletak di dalam daerah Hulu Terengganu. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) Luar Bandar. Proses P & P di sekolah ini berjalan pada sidang pagi sahaja. Pada waktu petang, bilik-bilik darjah digunakan untuk kelas Fardhu Ain (KAFA) bagi murid Tahun 2, 3, 4, dan 5 yang diadakan pada hari Ahad, Isnin, dan Rabu sahaja.
Talian Tel. : 09-6125625
Talian faks.: 09-6129954
Alamat email : skmenerong@gmail.com

Renungan...

Sunday, 15 May 2011

PERUTUSAN HARI GURU 2011 : KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan pelajar yang dikasihi sekalian,

1. Terlebih dahulu saya ingin melafazkan rasa syukur kerana sekali lagi dapat kita menyambut Hari Guru yang telah mula diraikan semenjak tahun 1972. Betapa mulia darjat guru sehingga 16 Mei setiap tahun dikhususkan sebagai hari menterjemah rasa penghormatan yang amat tinggi kepada tuan-puan warga pendidik sekalian. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua warga guru atas jasa bakti yang tidak pernah mengenal erti jemu dan lelah dalam usaha mendidik anak-anak bangsa yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri, agama, bangsa dan negara.

2. Pendidikan merupakan wadah utama menentukan perkembangan kemajuan dan kemakmuran negara. Pendidikan menjadi peneraju dalam membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeperibadian mulia. Sejarah telah membuktikan pendidikan berjaya membina tamadun sesebuah masyarakat dan menjamin keutuhan sesuatu empayar. Kegemilangan zaman empayar Rom, keagungan kerajaan Islam Abbasiyah dan kemasyhuran Dinasti Ming di China dicapai melalui kepesatan pelbagai bidang ilmu, termasuk bidang sains dan teknologi.

Siapalah yang dapat menafikan bahawa sesungguhnya tunjang utama dalam kemajuan pendidikan tidak lain dan tidak bukan adalah guru.

3. Sehubungan itu, amat wajarlah pemilihan tema hari guru pada tahun ini iaitu “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”. Peranan dan fungsi guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan. Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat.

4. Pelbagai dasar, polisi dan pembaharuan pendidikan direncana dan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan tujuan untuk memantapkan proses dan pengendalian pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah. Matlamat akhirnya sudah tentulah untuk menghasilkan anak didik yang mampu memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara. Semua dasar dan pembaharuan pendidikan ini tidak akan memberi apa-apa makna tanpa warga pendidik sebagai golongan yang berada di barisan hadapan dalam memacu arus pendidikan agar sentiasa dinamik dan progresif. Di bahu gurulah diletakkan amanah memastikan kelancaran dan keberkesanan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan 1 Murid 1 Sukan (1M1S).

5. Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang selepas ini akan diikuti pula oleh Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) juga tidak akan berjaya tanpa komitmen dan sokongan jitu para guru. Pengharapan yang tinggi digantungkan kepada para guru sebagai pemangkin transformasi untuk memastikan anak didik dipersiap dan diperlengkapkan dengan elemen sains dan teknologi; komunikasi; kerohanian, sikap dan nilai; perkembangan fizikal dan estetika; kemanusiaan juga keterampilan diri. Persekitaran dunia yang semakin hari semakin kompleks dan mencabar menuntut generasi dan anak bangsa masa hadapan dibekalkan dengan keupayaan mapan mengharungi apa juga rintangan yang menerjah.

6. Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi pelan hala tuju Malaysia menjelang tahun 2020 yang dilancarkan pada awal tahun 2010 menggariskan beberapa pelan tindakan berkaitan sistem pendidikan Malaysia. Sasaran utama adalah untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar. Bidang yang menjadi tumpuan adalah prasekolah, kemahiran asas literasi dan numerasi, Sekolah Berprestasi Tinggi dan peningkatan prestasi Pengetua dan Guru Besar. Namun demikian, secantik dan segah mana pun pelan pendidikan yang direncanakan pasti sukar untuk berjaya tanpa komitmen dan usaha gigih para guru. Betapa besar peranan para guru yang berupaya mencorak dan membentuk generasi masa muka.

Warga pendidik yang diraikan sekalian,

7. Sesuatu yang pasti, transformasi dalam pendidikan akan terus berlaku. Kenyataan ini adalah selaras dengan aspirasi Malaysia menjadi negara maju dengan acuan tersendiri yang mengambil kira kepercayaan, budaya dan nilai setempat yang terpelihara sekian lama. Justeru saya menyeru agar warga pendidik sentiasa bersedia untuk menyambut sebarang perubahan pendidikan bagi diterjemahkan semasa proses P&P dalam bilik darjah. Wahai guru, begitu tinggi harapan yang disandarkan oleh masyarakat kepada anda semua. Berikanlah tumpuan sepenuhnya terhadap tanggung jawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum, kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didikmu. Ketahuilah bahawa golongan pendidik bukanlah golongan yang dipinggirkan dalam setiap perancangan kerajaan di peringkat nasional.

8. Pihak kerajaan tidak pernah sekali-kali memandang sepi jasa bakti yang dicurahkan oleh para guru. Pelbagai insentif dan inisiatif disediakan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin. Keprihatinan kerajaan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha seperti menubuhkan jawatankuasa mengkaji beban tugas guru, cadangan mewujudkan jawatan pembantu guru, menambah baik infrastruktur sekolah, menyediakan peluang guru-guru untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan menambah kuota pengetua serta guru cemerlang sehingga ke peringkat JUSA C. Sekadar menyebut beberapa contoh, sehingga Disember 2010, kuota Guru Cemerlang Gred DG54 Sekolah Menengah telah ditambah menjadi 166 dari jumlah asal sebanyak 100 kuota manakala bagi Guru Cemerlang Gred DG52 Sekolah Menengah menerima pertambahan sebanyak 166 kuota menjadikannya berjumlah 416 daripada kuota asal sebanyak 250.

9. Keprihatinan kerajaan juga adalah menyeluruh tanpa garis sempadan. Cadangan penstrukturan semula pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan bagi guru-guru di Sabah dan Sarawak membuktikan bahawa bidang pendidikan, guru-guru dan murid-murid walau di mana sahaja berada menjadi keutamaan dalam agenda semasa kerajaan. Konsep pendemokrasian pendidikan sentiasa dipraktiskan oleh pihak KPM bagi memastikan peluang mengikuti pendidikan berkualiti dapat dikecapi secara sama rata di seluruh negara tanpa mengira batas geografi, gender, tahap sosio ekonomi, bangsa dan
fahaman politik. Tiada istilah diskriminasi dalam sistem pendidikan negara. Semua kanak-kanak mendapat hak yang adil dan saksama dalam konteks pemerolehan ilmu. Pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir. Sekolah pendidikan khas dan kelas integrasi pendidikan khas disediakan bagi kanak-kanak kelainan upaya. Kanak-kanak dalam kalangan kurang berkemampuan pula diberi bantuan melalui Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, Rancangan Makanan Tambahan, Skim Bantuan Tuisyen dan Bantuan Pakaian Seragam Pasukan Beruniform. Manakala bagi kanak-kanak yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah layak menerima Biasiswa Kecil Persekutuan atau Program Pelajar Projek Khas Sekolah Berasrama Penuh.

10. Menyedari tanggung jawab dan fungsi guru yang amat besar dan penting, pastilah bukan calang-calang calon yang layak dipilih bertugas di sekolah dan dipanggil ‘cikgu’. Sehubungan itu, KPM telah mengambil langkah memperkemas dan menambah baik syarat dan kriteria pengambilan guru pelatih bagi kursus pra perkhidmatan. Pencapaian akademik yang baik, penglibatan aktif dalam kokurikulum, pencapaian MteST dan INSAK (Inventori Sahsiah Keguruan), prestasi temuduga individu dan kumpulan dan ujian bertulis Bahasa Inggeris diambil kira bagi sebelum seseorang calon guru pelatih dipilih bagi menjamin kualiti pendidik yang dikeluarkan oleh institusi keguruan. Langkah untuk meningkatkan profesionalisme guru akan meningkatkan martabat keguruan untuk terus dihormati, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

11. Usaha memartabatkan profesion keguruan tidak akan mencapai sasaran jika dirancang dan dilaksanakan pada peringkat kerajaan atau kementerian sahaja. Warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu memainkan peranan yang berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing. Guru janganlah jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran semasa dan sentiasa berfikiran proaktif, kreatif serta inovatif. Saya juga ingin menyarankan agar guru-guru mengaplikasi dan mengamalkan kaedah pembelajaran dan pengajaran terkini seiring dengan proses globalisasi agar kekal relevan dan mampu menarik minat murid-murid untuk menimba ilmu.

12. Warga guru yang dihargai sekalian, anda semua merupakan insan yang dianugerahkan dengan kegigihan dan kecekalan yang amat tinggi. Biar acap kali diterjah dengan dugaan dan cabaran dalam berbagai bentuk, kubu kesabaran kekal teguh dan kental. Teruskanlah melaksanakan amanah yang diberikan dengan tulus, berpaksikan integriti dan berdasarkan etika perkhidmatan. Imej profesion keguruan pasti akan dapat ditingkatkan. Saya juga ingin menyeru agar para guru semua mematuhi tata cara yang ditetapkan dalam menangani isu persekolahan terutama yang berkaitan dengan disiplin murid. Tanganilah setiap masalah yang timbul secara berhikmah. Nasihatilah murid-murid dengan lemah lembut dan sentuhlah hati mereka dengan keluhuran, keikhlasan dan kemurnian jiwa guru semua.

13. Akhir kalam, renungkanlah semula peranan dan tanggung jawab tuan-tuan dan puan-puan semua sebagai penjana transformasi pendidikan negara. Ketinggian kedudukan warga pendidik dalam masyarakat tidak akan tergugat selagi warga pendidik semua jelas dengan misi dan matlamat yang ingin dicapai serta tidak mudah berputus asa. Sebagai pemimpin kepada anak didik, saya berharap agar guru menghayati kata-kata Khalifah Abdul Malik bin Marwan ini, "Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat".

WARGA PENDIDIK YANG DIKASIHI SEKALIAN
TERIMA KASIH CIKGU … “SELAMAT HARI GURU”!

Datuk Abd. Ghafar Mahmud
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

No comments:

Warga SK Menerong...

Warga SK Menerong...

www.satisfaction.com